Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Akademi Sains Malaysia (ASM) mempelawa pelajar ijazah sarjana muda dan sarjana di Malaysia untuk memohon Program Pelajar Musim Panas CERN 2026 yang menawarkan peluang eksklusif bagi menimba pengalaman penyelidikan bertaraf dunia di Switzerland.
Program selama lapan minggu hingga 13 minggu itu akan berlangsung antara Jun 2026 hingga September 2026 di Pertubuhan Penyelidikan Nuklear Eropah di Geneva yang merupakan makmal fizik zarah terbesar di dunia.
Melalui program ini, pelajar terpilih berpeluang bekerja dalam persekitaran penyelidikan antarabangsa yang dinamik bersama-sama pakar terkemuka serta menyumbang secara langsung kepada eksperimen sebenar dan penyelidikan termaju dalam bidang fizik zarah.
Pemohon mestilah pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang fizik, kejuruteraan, sains komputer dan/atau matematik yang telah menamatkan sekurang-kurangnya enam semester pengajian sepenuh masa menjelang tarikh program bermula, manakala pelajar ijazah sarjana dalam bidang yang berkaitan juga layak memohon.
Antara syarat lain termasuklah pemohon tidak pernah bekerja di CERN melebihi tiga bulan di bawah sebarang status, tidak pernah menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN sebelum ini, mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik serta masih berdaftar sebagai pelajar sepenuh masa sekurang-kurangnya hingga program bermula.
Program ini terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja, manakala pemohon bukan warganegara dinasihatkan untuk memohon melalui akademi atau institusi masing-masing dan tarikh akhir permohonan adalah pada 26 Januari 2026.
Program ini disifatkan sebagai peluang keemasan kepada pelajar Malaysia untuk menimba ilmu daripada pakar terbaik dunia, selain membina rangkaian antarabangsa yang bernilai untuk pembangunan kerjaya pada masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut, pelajar yang berminat boleh mengemukakan sebarang pertanyaan kepada urus setia menerusi e-mel [email protected], melalui talian 03-6203 0633 (sambungan 147) atau melayari laman sesawang ASM.