Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Program High-Five Society 5.0 telah berjaya dianjurkan di Tasik Ilham, UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau dengan penyertaan seramai 24 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) yang berumur seawal 15 tahun hingga 55 tahun.
Program ini dianjurkan oleh pelajar Semester 3 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi sebagai sebahagian daripada keperluan akademik bagi kursus Recreation for Persons with Disabilities serta Sponsorship in Sports dan Pelajar Semester 4 Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi bagi keperluan subjek Sports Event Management.
Penganjuran program ini selari dengan prinsip “Sukan untuk Semua” seperti yang termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 serta hasrat kerajaan untuk memperluas pelibatan golongan OKU dalam aktiviti riadah dan rekreasi yang inklusif.
Melalui pendekatan berasaskan alam semula jadi dan aktiviti berkumpulan, program ini bukan sahaja menyediakan ruang pembelajaran praktikal, malah memberikan peluang kepada peserta untuk membina keyakinan diri serta meningkatkan interaksi sosial.
Berbeza daripada siri terdahulu, High-Five Society 5.0 memberikan penekanan kepada kemahiran asas rekreasi luar seperti ikatan tali, pembinaan gajet menggunakan bahan semula jadi serta kemahiran perkhemahan termasuk menghidupkan api dan memasak yang membolehkan peserta mempelajari kemahiran baharu yang praktikal dan sesuai diaplikasikan dalam situasi sebenar.

Menurut salah seorang peserta, Puan Aimy Nur Syafiqah, menyatakan bahawa program ini memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada dirinya. Katanya,
Sangat seronok. Aktiviti ini mencabar tetapi memberi rasa puas.
Sementara itu, rakan beliau, Puan Mira Nirwani, turut menyatakan keterujaannya apabila dapat menggunakan sumber semula jadi seperti kayu api dan membina peralatan sendiri. Jelasnya,
Aktiviti ini seperti perkhemahan sebenar dan memberikan pengalaman baharu kepada kami.

Wakil Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Perlis (PESRON), Encik Alif Malek pula menyatakan bahawa pendekatan aktiviti berkumpulan menjadikan program ini sesuai untuk peserta OKU daripada pelbagai kategori. Jelasnya,
Kalau ada peserta yang tidak mampu melakukan sesuatu, yang lain boleh membantu. Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri mereka.
Dari aspek keselamatan, beliau turut memuji pengurusan program yang teratur dan memuaskan.
Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Nur Zainie Abdul Hamid, Penyelaras Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU, UiTM Cawangan Perlis dan dilaksanakan di bawah pengawasan barisan pensyarah FSR.
Peserta program terdiri daripada wakil PESRON, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Anak Istimewa, PDK Jauhar Jannah dan PDK Sanglang.

Secara keseluruhannya, High-Five Society 5.0 berjaya mencapai objektif dalam membina keyakinan, kemahiran dan hubungan sosial peserta OKU melalui pendekatan rekreasi luar yang inklusif, sekaligus menyokong usaha UiTM dalam mempromosikan kesejahteraan dan keterangkuman komuniti.
Kejayaan peserta dalam melengkapkan setiap aktiviti rekreasi dapat menghapuskan stigma negatif masyarakat terhadap OKU dan mengalih persepsi daripada rasa simpati kepada penghormatan.