Diterbitkan pada 8 Januari 2026, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan pada tahun 2026 sebagai fasa pelaksanaan reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, selaras dengan tema Amanat Tahun Baharu 2026, “Memodenkan Sistem Kesihatan, Melonjakkan Mutu Perkhidmatan”, empat lonjakan utama telah digariskan sebagai panduan gerak kerja KKM sepanjang tahun ini.

“Yang paling kritikal ialah reformasi digital dan pada tahun ini, KKM akan memperluas Clinic Management System Subscription ke 2489 fasiliti primer dan Total Hospital Information System ke 16 hospital,” ujarnya dalam Majlis Perjumpaan dan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kesihatan.

Beliau juga memaklumkan ingin menoktahkan sistem manual yang membebankan dan bergerak ke arah visi “One Patient, One Record” menerusi platform National Health Interoperability Platform.

Menurut beliau, pihaknya komited untuk melantik 4500 orang pegawai perubatan dan 935 orang jururawat secara tetap pada tahun ini serta segala urusan penempatan dan kenaikan pangkat akan diuruskan menerusi Integrated HR Dashboard yang telus serta berasaskan data.

Katanya lagi,

KKM akan memperketat penguatkuasaan Akta 852 dan menyasarkan pengharaman open system vape demi melindungi generasi pada masa hadapan daripada dijangkiti penyakit tidak berjangkit.

KKM juga mendukung agenda ekonomi negara melalui Tahun Pelancongan Perubatan dengan sasaran pulangan sebanyak RM15 bilion menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, KKM menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta, iaitu hasil penjimatan subsidi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), khususnya untuk pembelian peranti perubatan bagi pesakit miskin serta kelonggaran tatacara perolehan untuk menyegerakan pembaikan klinik yang daif.

Beliau turut menyeru seluruh warga KKM untuk memecahkan tembok pemisah dan bergerak sederap sebagai satu kumpulan dan melaksanakan amanah yang diberikan bukan sekadar tuntutan kerja, tetapi sebagai satu amal ibadah untuk negara dan rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi