Diterbitkan pada 8 Januari 2026, 08:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Program pembersihan pantai yang dilaksanakan di kawasan pesisiran Kuala Perlis bukan sekadar aktiviti kebajikan alam sekitar, malah berperanan penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan flora dan fauna marin serta mengekalkan keseimbangan ekosistem pantai.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Puan Rohayu Ramli, pembersihan pantai dapat membantu melindungi fauna daripada ancaman pencemaran sisa pepejal, di samping memulihara kesuburan flora pesisir.

Puan Rohayu Ramli ketika menyampaikan perkongsiannya kepada para peserta bersempena dengan program pembersihan di Pantai Kuala Perlis.

Menurut beliau,

Pencemaran plastik bukan sahaja mencacatkan pemandangan pantai, malah pecahannya menyebabkan haiwan seperti burung, krustasia dan ikan tersalah memilih makanan.

Beliau juga menyatakan bahawa sisa plastik berskala besar seperti pukat nelayan dan tali berpotensi menyebabkan haiwan marin terjerat dan menyukarkan pergerakan, pernafasan dan proses untuk mendapatkan makanan.

Ujarnya lagi, kewujudan mikroplastik dalam persekitaran marin akan memasuki rantaian makanan dan terkumpul pada setiap peringkat trofik dan seterusnya mengancam kesihatan ekosistem secara menyeluruh.

Plastik yang mendap di sedimen juga boleh menjejaskan sistem pernafasan tumbuhan pesisir seperti bakau melalui gangguan pada akar.

Para peserta dilengkapi dengan peralatan pembersihan dan pengumpulan sampah.

Dari sudut ekosistem marin, kebersihan pantai memainkan peranan penting dalam menjamin kualiti air dan sedimen.

Beliau menjelaskan bahawa habitat yang bersih dan sihat mampu menampung pelbagai organisma, bermula daripada pengeluar seperti fitoplankton hingga pengguna yang lebih besar.

Kepelbagaian organisma ini seterusnya membentuk rantaian makanan yang stabil dan mampan.

Mahasiswa UiTM Cawangan Perlis mengutip plastik dan sisa pepejal di pesisiran Pantai Kuala Perlis sebagai usaha memelihara kebersihan alam sekitar.

Beliau turut menegaskan bahawa program pembersihan pantai bukan sahaja berfungsi sebagai langkah pencegahan, malah boleh menjadi sebahagian daripada usaha pemantauan ekosistem marin sekiranya dirangka secara sistematik dan berasaskan pendekatan saintifik.

Katanya,

Program seperti ini berpotensi menyumbang kepada pemantauan keadaan ekosistem, pendidikan alam sekitar dan sokongan kepada dasar pemeliharaan.

Sinergi mahasiswa dan komuniti setempat berganding bahu membersihkan sampah demi kelestarian alam sekitar.

Pelibatan sukarelawan dan komuniti setempat dalam program ini turut memberikan impak yang besar terhadap peningkatan kesedaran masyarakat.

Tambah beliau, nilai murni seperti tanggungjawab bersama dan kecintaan terhadap alam sekitar dapat disemai secara berterusan, sekali gus membentuk perubahan sikap dan tingkah laku jangka panjang dalam kalangan masyarakat.

Mengulas harapan kepada masyarakat, khususnya generasi muda, beliau menekankan bahawa aktiviti pembersihan pantai merupakan inisiatif yang berkesan untuk mengekalkan kelestarian kawasan pesisir dan ekosistem marin.

Jelasnya,

Aktiviti sebegini secara tidak langsung memupuk semangat untuk mencintai dan menghargai keindahan alam serta hebahan yang berterusan tentang program ini mampu menyampaikan mesej kepada orang ramai agar terus menjaga alam sekitar daripada sebarang bentuk pencemaran.

Puan Rohayu Ramli bersama-sama penyelidik mengumpulkan serta mengukur berat dan jenis sisa sampah untuk mengkaji kesannya terhadap alam sekitar dan ekosistem marin.

Sebanyak 50 orang peserta dalam kalangan sukarelawan mahasiswa UiTM Cawangan Perlis, alumni dan komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam program pembersihan Dataran Integrated Multipurpose Attach Block (IMAB), Kuala Perlis ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi dan UiTM amat menyokong pelaksanaan program sinergi antara universiti dengan masyarakat setempat dalam usaha pembersihan dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan aspirasi pembangunan lestari negara.

Sokongan ini dizahirkan melalui penggalakan pelibatan warga universiti bersama-sama komuniti tempatan bagi memupuk kesedaran kolektif, memperkukuh tanggungjawab sosial serta membentuk budaya cinta akan alam sekitar, sekali gus menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai pemangkin perubahan positif dalam menjaga kelestarian ekosistem untuk kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi