Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai satu daripada rakan strategik utama mengumumkan National Science Challenge (NSC) 2026, iaitu pertandingan kuiz sains peringkat kebangsaan kini kembali dan bakal mencabar minda pelajar di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, ASM menyatakan bahawa pendaftaran untuk pertandingan ini akan dibuka pada Februari 2026, sekali gus memberikan peluang kepada pelajar untuk menyertai satu daripada acara sains yang berprestij di negara ini.
NSC 2026 bukan sekadar pertandingan kuiz sains biasa, tetapi direka untuk mencabar pemikiran kritis para pelajar sambil mengasah kemahiran kerja berpasukan dan pertandingan ini dijangka akan menarik penyertaan lebih banyak pelajar yang berminat dalam bidang sains dan teknologi.
Hadiah utama yang menanti para pemenang ialah Piala Pusingan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, hadiah tajaan lawatan sambil belajar ke luar negara, biasiswa pendidikan NSC–ASM, peralatan elektronik serta sijil penghargaan.
Dalam kenyataan yang sama, pihak ASM turut mempelawa orang ramai untuk memberikan jangkaan mereka mengenai tema pertandingan tahun ini dan idea yang dikemukakan mungkin terpilih sebagai tema rasmi NSC 2026.
NSC yang dianjurkan oleh ASM telah menjadi wadah penting untuk melahirkan bakat muda dalam bidang sains, selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih banyak pelajar yang berminat dan cemerlang dalam aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Para pelajar dan guru sekolah yang berminat boleh melawati laman sesawang ASM sebagai sumber sahih yang utama untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh pembukaan pendaftaran dan syarat penyertaan pertandingan ini.