Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hutan darat merujuk kawasan hutan yang mempunyai bentuk muka bumi berbukit dan beralun dengan ketinggian hingga 1000 meter dari paras laut. Hutan ini merangkumi beberapa kategori, iaitu hutan dipterokarpa tanah pamah, hutan dipterokarpa bukit dan hutan dipterokarpa bukit tinggi. Hutan darat terosot pula merujuk kawasan hutan darat yang telah mengalami penurunan kualiti ekosistem disebabkan oleh faktor antropogenik atau semula jadi atau kedua-duanya.

Secara umumnya, hutan darat terosot menunjukkan kerosakan pada struktur dan komposisi spesies, di samping pengurangan kepelbagaian biologi. Keadaan ini memberikan kesan langsung terhadap fungsi ekosistem yang penting seperti penyediaan sumber air, penyerapan karbon serta pemeliharaan flora dan fauna. Antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan ini termasuklah kebakaran hutan, khususnya akibat pembakaran terbuka, selain aktiviti pembalakan dan penggunaan tanah yang tidak lestari.

Dari sudut semula jadi, hutan darat terosot memerlukan tempoh yang sangat panjang untuk pulih dan kembali kepada keadaan asal. Sehubungan dengan itu, pemulihan hutan darat terosot secara terbantu memainkan peranan penting, iaitu melalui penanaman anak pokok spesies hutan darat di kawasan yang terjejas. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mudah kerana melibatkan proses yang kompleks dan memerlukan perancangan yang rapi. Cabaran bukan sahaja tertumpu pada proses penanaman dan memastikan kadar kelangsungan hidup anak pokok, malah melibatkan kos pelaksanaan, penyelenggaraan serta pemantauan pertumbuhan pokok sehingga membentuk kanopi hutan yang stabil pada masa hadapan.

Secara konvensional, peralatan asas seperti cangkul digunakan untuk penyediaan lubang tanam. Kaedah ini memerlukan tenaga kerja yang banyak dan tempoh yang lebih panjang. Selain itu, penyediaan lubang tanam secara manual sering menghasilkan saiz dan kedalaman yang tidak seragam. Ketidakseragaman ini boleh menjejaskan kedudukan akar, kestabilan anak pokok serta keupayaan akar menembusi tanah bagi mendapatkan air dan nutrien. Keadaan tersebut seterusnya berpotensi menurunkan kadar kelangsungan hidup dan pertumbuhan awal anak pokok, khususnya pada peringkat awal penanaman yang kritikal.

Faktor keletihan pekerja, perbezaan kemahiran individu serta variasi keadaan tanah turut menyumbang kepada ketidakseragaman kualiti kerja lapangan. Dalam skala penanaman yang besar, kekangan ini menjadi lebih ketara dan boleh menjejaskan kecekapan pelaksanaan projek pemulihan secara keseluruhan. Oleh itu, kebergantungan sepenuhnya pada kaedah konvensional dilihat kurang praktikal dalam memastikan proses pemulihan hutan darat terosot dapat dilaksanakan secara konsisten, berkesan dan kos efisien.

Sebagai alternatif, penggunaan gerimit tanah (soil auger) merupakan pendekatan separa mekanikal yang boleh digunakan dalam penyediaan lubang tanam. Kaedah ini membolehkan kerja penggalian dilaksanakan dengan lebih pantas berbanding dengan kaedah konvensional sepenuhnya. Penggunaan gerimit tanah menghasilkan lubang tanam yang lebih seragam dari segi saiz dan kedalaman, sekali gus meningkatkan kualiti kerja lapangan. Selain menjimatkan masa, kaedah ini juga mengurangkan keperluan tenaga kerja yang banyak, terutamanya bagi projek penanaman berskala sederhana hingga besar, seterusnya membantu menurunkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan pelaksanaan di lapangan.

Dari sudut teknikal, lubang tanam yang lebih gembur hasil penggunaan gerimit tanah menyediakan persekitaran yang lebih sesuai untuk perkembangan sistem akar anak pokok. Keadaan ini dapat meningkatkan kestabilan anak pokok selepas penanaman, memudahkan penyerapan air dan nutrien serta berpotensi meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan pertumbuhan awal anak pokok.

Walau bagaimanapun, keberkesanan penggunaan gerimit tanah dipengaruhi oleh faktor keadaan tanah, topografi dan kemahiran pengendali peralatan. Di kawasan berbatu atau bertanah keras, prestasi peralatan ini mungkin terhad dan memerlukan pelarasan teknik atau sokongan kaedah lain. Namun demikian, penggunaan gerimit tanah dilihat sebagai pendekatan separa mekanikal yang lebih praktikal berbanding dengan kaedah konvensional dalam konteks pemulihan hutan darat terosot.

Sementara itu, penggunaan jentera seperti skid steer loader mewakili pendekatan mekanisasi yang lebih menyeluruh dalam penyediaan lubang tanam, khususnya bagi projek penanaman berskala besar. Dengan penggunaan jentera, kerja penyediaan lubang tanam dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan konsisten, sekali gus meningkatkan produktiviti di lapangan.

Penggunaan skid steer loader membolehkan lubang tanam disediakan dalam saiz yang lebih besar, terutamanya di kawasan tanah yang padat atau sukar digali secara manual. Keupayaan jentera ini beroperasi secara berterusan juga dapat mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja manual serta meminimumkan masalah keletihan pekerja yang sering menjejaskan kualiti kerja dalam tempoh pelaksanaan yang panjang.

Dari segi kos, walaupun penggunaan jentera melibatkan perbelanjaan awal yang lebih tinggi, pendekatan ini berpotensi menjimatkan kos keseluruhan projek melalui pengurangan tempoh pelaksanaan dan keperluan tenaga kerja. Selain itu, kecekapan penyediaan lubang tanam menggunakan jentera boleh menyumbang kepada peningkatan kadar kelangsungan hidup anak pokok sekiranya dilaksanakan dengan teknik dan kawalan yang sesuai.

Namun begitu, penggunaan skid steer loader perlu dirancang dengan teliti bagi mengelakkan gangguan berlebihan terhadap struktur tanah dan persekitaran sekeliling. Faktor seperti pemadatan tanah, kerosakan vegetasi sedia ada serta kesesuaian topografi perlu diambil kira agar kaedah mekanisasi ini selari dengan objektif pemulihan hutan darat terosot yang mampan dan berkesan.

Perbandingan kos dan keberkesanan antara tiga teknik pemulihan hutan darat terosot menunjukkan bahawa penggunaan gerimit tanah merupakan pendekatan yang paling efektif secara keseluruhannya. Walaupun kos penyediaan tapak dan input seperti baja  setara dengan teknik lain, jumlah kos keseluruhan menggunakan gerimit tanah adalah paling rendah, iaitu RM39,734.91 per hektar, berbanding dengan kaedah konvensional (RM54,192.20 per hektar) dan penggunaan skid steer loader (RM66,334.00 per hektar).

Dari segi keberkesanan, penggunaan gerimit tanah mencatatkan kadar kelangsungan hidup tertinggi, iaitu sebanyak 89.2 peratus, di samping kos peratus kelangsungan hidup yang paling rendah, sekali gus menunjukkan pulangan pelaburan yang lebih baik. Selain itu, teknik ini turut merekodkan purata pertumbuhan diameter tahunan tertinggi dengan kos bagi setiap sentimeter pertumbuhan yang jauh lebih rendah berbanding dengan dua teknik yang lain.

Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan bahawa setiap teknik pemulihan mempunyai kelebihan dan kekangannya yang tersendiri. Namun demikian, penggunaan gerimit tanah menawarkan keseimbangan terbaik antara kos dan keberkesanan dengan kadar kelangsungan hidup serta pertumbuhan anak pokok yang lebih baik, sekali gus menjadikannya pilihan yang sesuai untuk pemulihan hutan darat terosot secara mampan.

Jadual 1 Perbandingan kos dan teknik pemulihan hutan darat terosot.

Keadaan di hutan darat terosot selepas aktiviti pembalakan.
Pemulihan hutan secara konvensional dengan menggunakan cangkul.
Penggunaan gerimit tanah dapat mempercepat kerja penyediaan lubang.
Jentera skid steer loader mampu menghasilkan lubang tanam yang lebih besar dan mempercepat proses kerja.
Keadaan pokok selepas tiga tahun penanaman.

 

Farah Shahanim Mohamed Mohidin dan Nurcahaya Khairany Mohamad Azmi, Pegawai Penyelidik, Cawangan Silvikultur Hutan, Program Hutan Asli, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi