Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Kumpulan penyelidik Sustainable Polymeric Materials (SuPMA), Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) berjaya menghasilkan jubin getah (rubberized tiles) berasaskan bahan kitar semula sebagai satu inovasi hijau yang menyokong kelestarian alam sekitar dan meningkatkan aspek keselamatan di kampus.
Kumpulan penyelidik ini diketuai oleh YBrs. Dr. Dalina Samsudin dan turut dianggotai oleh YBrs. Puan Nor Mazlina Abdul Wahab, YBrs. Dr. Nurul Aizan Mohd Zaini, YBrs. Encik Muhamad Naiman Sarip dan YBrs. Encik Mohd Syamaizar Mustafa dari Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis.
Projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara SuPMA, UiTM Green Centre dan Bahagian Pengurusan Fasiliti UiTM, selain sokongan industri NT Rubber Seals Sdn. Bhd.
Menurut YBrs. Dr. Dalina Samsudin yang juga merupakan Penyelaras Strategik dan Transformasi Universiti (PSTU), penghasilan jubin getah ini memanfaatkan sisa buangan botol minuman plastik berasaskan polyethylene terephthalate (PET) dan ethylene propylene diene rubber (EPDM) yang dikitar semula.

Bahan-bahan tersebut diformulasikan semula dengan menggabungkannya bersama-sama getah asli Malaysia bagi menghasilkan bahan komposit yang lebih kukuh, tahan lasak dan sesuai untuk kegunaan jangka panjang.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan jumlah sisa plastik dan getah yang berakhir di tapak pelupusan, malah membantu meminimumkan pencemaran alam sekitar,” ujar beliau.
“Pada masa yang sama, pendekatan ini menyokong amalan ekonomi kitaran melalui penggunaan semula bahan buangan bernilai tinggi serta mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah baharu dalam industri bahan binaan,” kata beliau lagi.
Dari sudut prestasi produk, beliau menjelaskan bahawa penambahan plastik ke dalam getah meningkatkan ketahanan mekanikal, rintangan haus dan kekuatan mampatan jubin.
Selain itu, jubin getah ini lebih tahan terhadap cuaca, kelembapan serta degradasi kimia.

Katanya,
“Gabungan bahan ini menghasilkan jubin yang lebih fleksibel dan mampu menyerap hentakan, manakala ciri antigelincir yang dimiliki juga meningkatkan tahap keselamatan pengguna, terutamanya di kawasan laluan pejalan kaki yang terdedah kepada hujan.
“Jubin ini memerlukan penyelenggaraan minimum dan mempunyai jangka hayat penggunaan yang panjang,” jelas beliau lagi.
Inisiatif ini telah diterjemahkan melalui pemasangan jubin getah di laluan pejalan kaki yang sering digunakan oleh pelajar untuk ke kelas.
Pemasangan tersebut memberikan manfaat langsung kepada komuniti kampus dengan menyediakan permukaan laluan yang lebih selamat, selesa dan ergonomik.

“Semasa cuaca hujan, risiko tergelincir dapat dikurangkan dengan ketara manakala sifat penyerapan hentakan jubin ini juga membantu mengurangkan keletihan kaki serta risiko kecederaan, sekali gus meningkatkan keselesaan pergerakan harian pelajar,” tambah beliau.
Sementara itu, YBrs. Encik Mohd Syamaizar Mustafa, ahli penyelidik SuPMA, berkata idea pembangunan jubin getah ini tercetus daripada keperluan untuk menyediakan laluan pejalan kaki yang lebih selamat di kampus, di samping mempromosikan budaya kitar semula dalam kalangan warga universiti.
“Projek laluan pejalan kaki daripada getah kitar semula ini merupakan satu inisiatif UiTM Cawangan Perlis ke arah kelestarian alam sekitar dan mencerminkan kerjasama bersepadu antara penyelidik, pengurusan kampus dan pihak industri bagi menterjemahkan penyelidikan kepada aplikasi sebenar,” kata beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan utama projek ini adalah untuk meningkatkan keselamatan laluan pejalan kaki, khususnya di kawasan kolej kediaman dan akademik, sambil menyemai kesedaran tentang kepentingan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar.
Mengulas perancangan masa hadapan, beliau menyatakan harapan agar penggunaan jubin getah ini dapat diperluas ke lebih banyak lokasi di dalam kampus serta diperkenalkan kepada komuniti luar.
“Pihak penyelidik amat berharap projek ini dapat diluaskan ke kawasan lain, bukan sahaja di UiTM Cawangan Perlis tetapi juga di komuniti luar sebagai alternatif lestari kepada bahan turapan konvensional,” kata beliau.
Kejayaan penghasilan inovasi jubin getah dari barangan kitar semula ini membuktikan peranan penting institusi pengajian tinggi dalam memacu inovasi hijau berasaskan penyelidikan, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan dan usaha menjadikan kampus sebagai persekitaran yang lebih selamat, kondusif dan mesra alam.