Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPenaga– Seramai 60 orang murid Tingkatan 2 SMK Sri Muda, Penaga telah menyertai Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) untuk pemerkasaan STEM, yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kimia bersama-sama Bahagian Akademik dan Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini merupakan inisiatif USM bagi memperkukuh pembelajaran Kursus Kimia Analisis II dalam kalangan pelajar, selain bertujuan meningkatkan literasi sains dan menanam minat murid sekolah terhadap aliran STEM.
Program yang diketuai oleh YBrs. Dr. Norazzizi Nordin ini melibatkan penyertaan aktif 71 orang pelajar kursus Kimia Analisis II, termasuk 45 orang pemudah cara yang bertanggungjawab memimpin murid sekolah dalam pelaksanaan aktiviti.
Program ini merangkumi beberapa komponen utama, termasuk aktiviti guna tangan (hands-on), pameran dan permainan interaktif yang bertemakan aplikasi teknik kimia analisis dalam kelestarian pengurusan sumber air.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah penentuan kandungan oksigen terlarut dan kekeruhan sampel air sungai sebenar menggunakan model fizikal spektrometer serta rawatan sampel air sungai tercemar menggunakan kaedah elektrolisis mudah.
Selain itu, murid turut mengunjungi pameran pendidikan dan menyertai permainan interaktif “Uji Minda STEM” bagi mengukuhkan pemahaman konsep sains secara santai.
Menurut YBrs. Dr. Norazzizi Nordin, program SULAM ini bukan sahaja menjadi wadah kepada pelajar universiti untuk mengaplikasikan pengetahuan kimia analisis dalam situasi dunia sebenar, malah turut memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan serta pemikiran kritikal mereka.
“Pendekatan SULAM dalam program ini memberikan pengalaman pembelajaran bermakna kepada pelajar kursus ini dan dalam masa sama memanfaatkan komuniti sasaran, iaitu murid sekolah melalui pendidikan saintifik dan konsep kelestarian,” ujar beliau.
Pengetua SMK Sri Muda, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada USM atas usaha membawa pengalaman pembelajaran berkualiti tinggi ke sekolah luar bandar.
Beliau menegaskan bahawa pendedahan awal kepada kaedah saintifik moden mampu meningkatkan literasi STEM dalam kalangan murid, sekali gus melahirkan generasi celik sains yang peka terhadap isu kelestarian.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen USM dalam memasyarakatkan ilmu, menyokong agenda kelestarian negara dan memperkukuh pendidikan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi berteraskan komuniti.