Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Keupayaan dan kecekapan penguatkuasaan hutan di Sarawak diperkukuh melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS), baru-baru ini.
Menerusi MoU ini, JHS akan menghantar pegawai penguat kuasanya mengikuti latihan khusus di ELMU dalam usaha meningkatkan profesionalisme dan kesiapsiagaan anggota yang terlibat dalam pengurusan serta perlindungan hutan negeri.
Pengarah Hutan Sarawak, YBhg. Datu Hamden Mohammad berkata, MoU berkenaan memberikan ruang kepada kedua-dua institusi untuk memperkukuh aspek latihan melalui pendekatan lebih sistematik bagi memenuhi keperluan penguatkuasaan pada masa ini.
Katanya,
Kerjasama ini bukan hanya membolehkan pegawai mengikuti program latihan di ELMU, malah membuka peluang untuk membangunkan modul bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan keupayaan penguat kuasa hutan di Sarawak dan di seluruh negara.
Sementara itu, Naib Canselor ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed menjelaskan bahawa kerjasama antara ELMU dengan JHS merupakan langkah penting dalam menyelaraskan kepakaran akademik dengan keperluan operasi lapangan.
Jelas beliau,
MoU ini mencerminkan komitmen ELMU untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan agensi penguatkuasaan melalui latihan dan penyelidikan yang kukuh dari segi akademik serta relevan dari segi operasi.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian MoU antara ELMU yang diwakili oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed dan JHS yang diwakili oleh YBhg. Datu Hamden Mohammad.

Dalam majlis yang sama, Seminar Kesedaran terhadap Perlindungan dan Penguatkuasaan Hutan 2025 turut berlangsung yang menampilkan lapan pembentangan kertas kerja oleh pakar pengurusan hutan dan ahli akademik, termasuklah Dekan Sekolah Sains Siasatan, ELMU, YBhg. Profesor Dr. Pakhriazad Hassan Zaki.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Konservasi Hutan dan Pembangunan), Tuan Haji Happysupina Sait dan Ketua Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan, JHS, Encik Roslan Othman.