Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProgram Inventori Koleksi Saintifik Biodiversiti Kebangsaan (PIKS-BioD) merupakan program pendokumentasian dan pendigitalan data flora dan fauna di Malaysia. Program yang telah bermula pada tahun 2016 ini merupakan inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk menghimpunkan maklumat biodiversiti di Malaysia melalui kolaborasi pusat penyelidikan dan institusi pengajian tinggi awam.
Pada akhir tahun 2023, Herbarium Universiti Kebangsaan Malaysia atau UKMB telah menerima dana bagi Program Inventori Koleksi Saintifik Biodiversiti Kebangsaan (PIKS-BioD) daripada NRES yang antaranya bertujuan untuk melaksanakan kerja pendokumentasian data koleksi spesimen lumut jati ke pangkalan data MyBIS (Malaysia Biodiversity Information System) dan pengurusan koleksi spesimen herbarium tersebut. Dana ini telah didaftarkan sebagai geran luar dengan kod ST-2023-050.
Laman sesawang MyBIS boleh dilayari melalui pautan https://mybis.gov.my/one/. Laman sesawang ini merupakan pangkalan data sehenti yang mengumpulkan dan menyediakan kemudahan akses kepada maklumat data kajian dan pengurusan biodiversiti di Malaysia. Selain itu, MyBIS juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran kepada orang awam tentang biodiversiti di Malaysia. MyBIS merupakan laman sesawang awam yang boleh diakses oleh seluruh lapisan masyarakat. Oleh itu, maklumat yang terdapat dalam laman tersebut boleh digunakan bukan sahaja untuk penyelidikan, malah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Walaupun pada asalnya dana yang dimohon adalah untuk data koleksi spesimen lumut jati sahaja, namun maklumat bagi koleksi spesimen tumbuhan tinggi, paku pakis dan alga turut dimuat naik ke dalam pangkalan data MyBIS. Koleksi spesimen lumut jati di UKMB dianggarkan berjumlah 60 ribu spesimen dan pada awalnya dijangkakan kira-kira lima ribu data koleksi spesimen herbarium akan dimuat naik.
Bagi kerja pengurusan herbarium, sampul spesimen herbarium telah dipindahkan daripada kotak kertas kepada kotak plastik putih. Hal ini dilakukan demikian kerana kotak kertas tidak kalis air dan mudah rosak, manakala kotak plastik pula lebih kukuh dan tahan lasak. Sampul spesimen diperiksa bagi memastikan tiada sebarang jangkitan kulat yang boleh merosakkan spesimen. Jika terdapat sampul spesimen yang rosak, sampul tersebut ditukar kepada sampul yang baharu. Spesimen herbarium juga disimpan pada suhu yang sesuai (20°C) dan kelembapan relatif yang ideal (50%) bagi memastikan spesimen dan sampul/kertas herbarium dapat bertahan dalam jangka masa yang panjang. Spesimen herbarium juga telah disusun dan dimasukkan ke dalam laci mengikut genus yang betul. Hal ini dapat memudahkan proses mengakses spesimen tersebut.


Sebelum data koleksi spesimen dimuat naik ke dalam pangkalan data MyBIS, nama saintifik lumut jati akan disemak terlebih dahulu di laman sesawang Tropicos yang diselenggara oleh Missouri Botanical Garden, United States of America; bagi tumbuhan bervaskular (tumbuhan tinggi dan paku pakis) di POWO (Plants of the World Online) yang diselenggara oleh Royal Botanic Gardens Kew, United Kingdom dan bagi alga pula di AlgaeBase yang diselenggara oleh University of Galway, Ireland. Semakan ini dilakukan bagi memastikan nama yang betul dan ejaan yang tepat bagi tumbuhan tersebut. Setelah mendapatkan nama saintifik yang sah dengan ejaan yang tepat, maklumat spesimen yang terdapat pada label dimuat naik ke laman sesawang MyBIS.
Sejumlah 20 270 data koleksi spesimen herbarium berserta 2002 imej telah berjaya dimuat naik sehingga Ogos 2025. Kod spesimen ID yang digunakan bagi UKMB ialah HBR (singkatan ejaan herbarium), manakala bagi setiap kumpulan tumbuhan pula singkatan UKMB-LJ digunakan bagi lumut jati, UKMB-PP bagi paku pakis, UKMB-TT bagi tumbuhan tinggi dan UKMB-AL bagi alga. Antara maklumat penting yang dimuat naik termasuklah nama saintifik, tahun dikumpul, nama pengumpul, cara dikumpul seperti menggunakan pisau, keadaan spesimen sama ada baik atau sangat baik, lokasi dijumpai, altitud, habitat dan maklumat tambahan seperti nama denai/rintis/trek.

Koleksi spesimen lumut jati yang terdapat di Herbarium UKMB ini diperoleh dari hutan simpan seluruh negeri, terutamanya di Semenanjung Malaysia melalui kerja lapangan dan ekspedisi saintifik yang kebanyakannya dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Penemuan spesies baharu bagi sains, iaitu Fissidens damanhurii Norhazrina dan Syazwana, iaitu spesies bagi lumut jati telah diterbitkan dalam Malayan Nature Journal. Holotip spesies tersebut telah ditempatkan di UKMB, manakala isotipnya telah didepositkan ke L, iaitu akronim bagi Naturalis Biodiversity Center, Leiden, Belanda. Antara lokasi sampel yang telah dikutip termasuklah Taman Negeri Perlis; Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah; Taman Negeri Bukit Panchor, Pulau Pinang; Gunung Korbu, Perak; Hutan Simpan Ulu Gombak, Selangor; Lembah Jemaloi, Negeri Sembilan; Hutan Simpan Bukit Senggeh, Melaka; Gunung Belumut, Johor; Bukit Fraser, Pahang; Gunung Chamah, Kelantan; Gunung Gagau, Terengganu; Lembah Danum, Sabah; dan Lanjak Entimau, Sarawak.

Sehingga bulan Ogos 2024, bagi koleksi lumut jati, sejumlah 18 153 data spesimen telah dimuat naik, merangkumi 91 lokasi pensampelan dan terdiri daripada 352 spesies, 13 subspesies dan 67 varieti dalam 127 genus dan 40 famili. Peratus kemasukan data adalah sebanyak 30 peratus daripada anggaran jumlah keseluruhan spesimen yang terdapat di herbarium lumut jati UKM. Berdasarkan data yang dimuat naik, famili terbesar yang direkodkan ialah Sematophyllaceae dengan 12 genus, diikuti oleh Hypnaceae, Meteoriaceae dan Pottiaceae dengan masing-masing lapan genus. Sementara itu, genus terbesar yang direkodkan ialah Syrrhopodon (26 takson), Acroporium (23 takson) dan Fissidens (22 takson). Bagi spesies yang tertinggi direkodkan ialah Syrrhopodon spiculosus var. spiculosus dengan 428 spesimen, Mitthyridium flavum dengan 405 spesimen dan Papillidiopsis complanata dengan 375 spesimen. Berdasarkan rekod data koleksi spesimen, lumut jati kebanyakannya dijumpai tumbuh di atas substrat kayu reput, batang pokok dan juga batu. Bagi koleksi tumbuhan lain pula, sejumlah 529 data spesimen bagi tumbuhan tinggi, 465 bagi paku pakis dan 247 bagi alga telah berjaya dimuat naik.

PIKS-BioD merupakan satu program yang memberikan impak yang besar dalam usaha pemuliharaan biodiversiti di Malaysia. Dengan jumlah koleksi spesimen yang semakin bertambah dan kepakaran felo penyelidik bersekutu di Herbarium UKMB, institusi ini diyakini berpotensi untuk muncul sebagai satu daripada pusat rujukan flora terpenting, bukan sahaja pada peringkat nasional, malah di persada antarabangsa. Melalui pengurusan data yang sistematik dan bersepadu, Herbarium UKMB berperanan menyokong agenda penyelidikan saintifik, pendidikan serta dasar pemuliharaan yang lebih berkesan. Keupayaan ini turut membuka peluang kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk institusi penyelidikan global, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam bidang biodiversiti. Dengan sokongan berterusan, Herbarium UKMB berupaya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi kajian dan rujukan biodiversiti tropika pada masa hadapan.