Diterbitkan pada 8 Disember 2025, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau — Pencemaran plastik terus menjadi ancaman utama alam sekitar apabila Malaysia merekodkan sisa plastik per kapita yang signifikan setiap tahun, sekali gus meletakkan negara antara penyumbang utama plastik ke lautan.

Pensyarah Kanan Program Teknologi Marin Lestari, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Puan Rosnani Nazri berkata peningkatan sisa plastik terutamanya di ekosistem sungai dan pantai jelas menunjukkan masalah itu semakin meruncing dan memerlukan tindakan segera pada semua peringkat masyarakat.

YBrs. Puan Rosnani Nazri komited dengan agenda melestarikan alam sekitar.

Kata beliau,

“Pencemaran plastik berlaku apabila bahan yang tidak mudah terurai ini terkumpul di tanah, sungai dan lautan. Ia bukan lagi isu tempatan, tetapi krisis global kerana lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun. Situasi ini memberikan kesan langsung kepada ekosistem marin, hidupan laut dan keselamatan makanan manusia.

Menurutnya lagi, kajian di beberapa kawasan seperti Sungai Klang dan Pantai Timur menunjukkan peningkatan ketara mikroplastik, terutamanya selepas musim banjir dan akibat pembuangan sisa tidak terkawal.

Kita sedang berhadapan ancaman yang senyap tetapi sangat berbahaya,” kata beliau.

Beliau menambah, meskipun kesedaran awam semakin meningkat, tabiat menggunakan plastik sekali guna masih sukar dihapuskan kerana faktornya yang murah, mudah dan sudah lama menjadi budaya masyarakat.

Generasi muda kini, terutamanya mahasiswa lebih sedar dan terdedah kepada pendidikan hijau, namun golongan dewasa memerlukan masa untuk mengubah tabiat ini, kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa institusi pendidikan perlu memimpin perubahan. Di UiTM Cawangan Perlis, beberapa program telah dilaksanakan termasuklah pekeliling BYOC (Bring Your Own Container), projek Rubberize Walkway oleh Program Teknologi Polimer dan kempen Penghijauan Malaysia sejak tahun 2022.

Mahasiswa dan komuniti setempat bersama-sama menjalankan aktiviti gotong-royong di persekitaran Taman Rekreasi Bukit Jernih, Mata Ayer, Perlis.

Mahasiswa adalah agen perubahan di mana mereka perlu dididik bukan sahaja melalui bilik kuliah, tetapi menerusi projek inovasi dan aktiviti kesukarelawan,” kata beliau.

Mengulas pelibatan komuniti, beliau berkata NGO seperti Grass Malaysia, Trash Hero dan Kuasa Perak memainkan peranan besar melalui kempen, bengkel dan kerjasama dengan sekolah, institusi pendidikan tinggi serta pihak berkuasa tempatan.

Dari sudut teknologi, beliau berkata inovasi seperti bioplastik berasaskan jagung dan tebu, teknologi radiasi untuk pelupusan plastik serta sistem kitar semula pintar merupakan antara pendekatan saintifik yang sedang berkembang.

“Di UiTM Cawangan Perlis sendiri, kajian dan program seperti RePlasPro yang menukarkan bahan plastik terbuang kepada produk inovatif sedang diperluas bagi menyokong usaha negeri Perlis menguruskan sisa pepejal secara lebih sistematik,” kata beliau.

Mengulas dasar negara, beliau menyifatkan Malaysia Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018–2030 sebagai pelan komprehensif yang memberikan hala tuju yang jelas kepada semua pihak.

Namun, pihak berkuasa tempatan perlu menambah baik fasiliti kitar semula, menguatkuasakan larangan plastik sekali guna dan memperbanyakkan kempen kesedaran di peringkat komuniti,” tambah beliau.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan gaya hidup tanpa plastik sebagai norma baharu.

Jadilah pengguna bijak. Pilih alternatif yang lestari. Setiap tindakan kecil memberikan impak besar jika dilakukan secara kolektif,” katanya lagi.

Beliau ditemu ramah sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat UiTM Cawangan Perlis.

Sementara itu, pelbagai program menarik turut dijalankan di UiTM Cawangan Perlis termasuklah pembersihan kawasan rekreasi dan pertandingan menghasilkan poster kreatif yang berlangsung di bangunan Kompleks STAR dan Tasik Elham dalam usaha memberikan kesedaran kepada mahasiswa.

Para peserta diminta menghasilkan poster kreatif dalam bahasa Melayu bagi meningkatkan perasaan cinta akan bahasa kebangsaan.

Pertandingan mereka poster kreatif ini menyaksikan tempat pertama disandang oleh Puan Nur Aina Umairah Mahamad Fazri; tempat kedua dimenangi oleh Puan Nurin Dania Farisah Ismail dan tempat ketiga dianugerahkan kepada Puan Nur Hasyimah Mahamad Hazlan.

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, kempen global tahun ini bergabung dengan inisiatif #BeatPlasticPollution yang diterajui oleh UNEP bagi menggerakkan komuniti di seluruh dunia untuk melaksanakan serta menyuarakan penyelesaian terhadap pencemaran plastik.

Hari Alam Sekitar Sedunia akan memberikan tumpuan kepada bukti saintifik yang semakin meningkat mengenai kesan pencemaran plastik, sekali gus memperkukuh momentum untuk menolak, mengurangkan, menggunakan semula, mengitar semula dan menilai semula penggunaan plastik demi membina masa hadapan yang lebih bersih dan mampan.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi