Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubang Jaya — Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) serta Perunding Ginekologi Onkologi dari Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Profesor Dr. Mohamad Nasir Shafiee menegaskan bahawa usaha berterusan dalam pencegahan, saringan awal dan pendidikan kesihatan awam memainkan peranan kritikal dalam mengurangkan kadar kematian akibat kanser wanita di negara ini.
Beliau berkongsikan perkara tersebut dalam syarahannya yang bertajuk “Cancer and Women” bersempena dengan Program 10th Anniversary Cancer Fundraising Initiative Seminar anjuran Fuel for Love for Fighters bersama-sama Koperasi Semarak Harapan Berhad.

Program yang menghimpunkan hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada pesakit, ahli keluarga pesakit, masyarakat serta pengamal kesihatan di Dorsett Grand Subang itu dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Menurut YBhg. Profesor Dr. Mohamad Nasir Shafiee, kanser payudara kekal menjadi penyumbang utama kepada morbiditi dan kadar kematian wanita di Malaysia, manakala kanser serviks pula merupakan antara penyakit yang boleh dicegah melalui saringan dan vaksinasi.
Beliau juga menjelaskan bahawa jangkitan papilomavirus manusia (HPV) dikenal pasti sebagai penyebab lebih 90 peratus kes kanser serviks, namun kesedaran wanita terhadap kepentingan saringan HPV dan ujian pap smear masih berada pada tahap sederhana.
Ujarnya,
Walaupun Malaysia mempunyai rekod yang cemerlang dalam pelaksanaan program vaksinasi HPV pada peringkat sekolah di Asia, namun realitinya masih banyak orang yang tidak cakna akan keberkesanan vaksin ini yang boleh mencegah kanser serviks hingga 97 peratus.
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sekitar tahun 2020 hingga tahun 2021 turut memberikan impak terhadap kelangsungan program vaksinasi HPV di sekolah dan dianggarkan sebanyak 225 000 orang pelajar tidak melengkapkan vaksinasi mereka.
Beliau turut menyatakan bahawa liputan vaksinasi HPV sebelum ini berjaya menurunkan kes prakanser dalam kalangan wanita yang menerima vaksin pada usia remaja, namun usaha kesedaran mengenai hal ini perlu terus diperkukuh, terutamanya dalam kalangan wanita dewasa yang belum divaksin atau tidak menjalani saringan secara berkala.
Selain kanser serviks dan payudara, YBhg. Profesor Dr. Mohamad Nasir Shafiee turut menyentuh beberapa isu penting berkaitan dengan kesihatan wanita seperti endometriosis, sindrom ovari polisistik (PCOS), masalah hormon dan kanser ovari dalam syarahannya.
Menurut beliau, banyak gejala ginekologi sering dianggap biasa oleh wanita seperti senggugut yang teruk, haid tidak teratur atau kembung perut berpanjangan sedangkan masalah tersebut boleh menjadi tanda awal penyakit yang lebih serius.
“Gejala yang tidak spesifik menyebabkan banyak pesakit datang lewat untuk diagnosis, maka pendidikan kesihatan wanita perlu diperkukuh agar mereka memahami tubuh sendiri dan dapat mengenal pasti tanda penyakit dengan lebih awal,” jelas beliau.
Dalam syarahannya juga, YBhg. Profesor Dr. Mohamad Nasir Shafiee turut menekankan kepentingan pendekatan rawatan holistik untuk pesakit kanser.
Katanya, rawatan yang dilakukan bukan sahaja melibatkan aspek klinikal seperti pembedahan, kemoterapi atau radioterapi, tetapi juga memerlukan sokongan psikologi, sosial, emosi dan spiritual bagi memastikan pesakit dapat melalui proses rawatan dengan lebih baik.
Dalam sesi perkongsiannya juga, beliau menjelaskan peranan pusat perubatan universiti dan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh usaha pencegahan dan rawatan kanser secara nasional.
Fakulti Perubatan UKM menerusi HCTM sentiasa terlibat aktif dalam penyelidikan kanser, pelaksanaan program saringan komuniti serta latihan kepakaran dalam bidang onkologi ginekologi, di samping menjalin kerjasama dengan sektor perubatan swasta seperti UKM Specialist Centre serta kolaborasi bersama-sama Koperasi Semarak Harapan Berhad dan Fuel for Love for Fighters untuk memperluas peluang pesakit mendapatkan rawatan yang lebih menyeluruh.
Beliau juga berkata, kehadiran golongan akademik dalam usaha meningkatkan kesihatan awam amat penting kerana sistem kesihatan yang lebih kukuh dapat dibina menerusi data klinikal, penyelidikan dan latihan pakar, sekali gus memastikan masyarakat memperoleh akses kepada rawatan yang berkualiti.
Menurutnya lagi, dapatan kajian penyelidikan turut menunjukkan hampir 60 peratus pesakit mengalami masalah kewangan yang serius selepas didiagnosis menghidap kanser ginekologi, manakala 30 peratus lagi berdepan dengan risiko kebankrapan.
Program tersebut turut menampilkan gabungan ceramah kesihatan, sesi motivasi, pameran perkhidmatan sokongan serta pelibatan sukarelawan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang cabaran yang dihadapi oleh pesakit kanser ini dan ahli keluarga mereka.