Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPrestasi ternakan sering menjadi tajuk perbualan utama dalam kalangan penternak, khususnya mereka yang baru menceburi bidang ini. Banyak orang tertanya-tanya mengapakah ternakan di ladang yang sama menunjukkan kadar pertumbuhan dan hasil yang tidak sama walaupun diberikan makanan yang serupa?
Setiap ternakan dilahirkan dengan potensi genetik yang berbeza. Faktor genetik menentukan kadar pertumbuhan, keupayaan pembiakan, kecekapan penggunaan makanan dan ketahanan terhadap penyakit. Sebagai contoh, baka biri-biri Dorper secara semula jadi mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih cepat berbanding dengan biri-biri Malin. Hal ini demikian kerana baka biri-biri Dorper telah dipilih secara genetik untuk pengeluaran daging yang tinggi. Namun begitu, baka yang baik tanpa pemakanan yang mencukupi tidak akan mencapai potensi sebenarnya.
Pemakanan pula memainkan peranan penting dalam membekalkan tenaga, protein, vitamin dan mineral untuk menyokong fungsi tubuh dan tumbesaran. Ternakan yang mendapat makanan berkualiti rendah atau tidak seimbang akan menunjukkan pertumbuhan yang perlahan, walaupun baka tersebut mempunyai potensi genetik yang tinggi. Selain itu, faktor pengurusan seperti kesihatan, tekanan persekitaran dan sistem pemeliharaan (intensif atau separa intensif) turut memberikan kesan terhadap kadar pertumbuhan. Gabungan genetik unggul, pemakanan berkualiti dan pengurusan penternakan yang cekap merupakan kunci utama kepada kejayaan dalam penternakan moden.
Genetik merujuk pewarisan sifat daripada induk kepada anak melalui asid deoksiribonukleik (DNA). Setiap ternakan mewarisi kombinasi gen daripada induk jantan dan betina yang menentukan ciri penting seperti kadar tumbesaran, keupayaan pembiakan, kecekapan penggunaan makanan, ketahanan terhadap penyakit dan kualiti daging atau susu. Dalam konteks penternakan moden, penternak perlu memahami peranan genetik kerana dapat membantu penternak memilih induk yang mampu menghasilkan anak yang lebih baik daripada generasi sebelumnya.
Istilah “anak hebat daripada induk hebat” menggambarkan konsep ini dengan tepat. Seekor anak yang menunjukkan prestasi cemerlang biasanya datang daripada induk yang memiliki kualiti genetik unggul. Sebagai contoh, induk kambing betina yang subur, kerap beranak kembar dan mempunyai pengeluaran susu yang tinggi berkemungkinan besar akan melahirkan anak yang juga cepat membesar dan sihat. Namun demikian, faktor pemakanan, persekitaran dan pengurusan ternakan juga menyumbang untuk mencapai prestasi tersebut.
Faktor genetik juga menentukan keupayaan fisiologi dan metabolisme haiwan. Sebagai contoh, baka Boer mempunyai keupayaan untuk menukar tenaga makanan kepada tisu otot dengan lebih efisien, manakala baka Katjang mempunyai genetik yang lebih tahan terhadap parasit dan cuaca tropika. Dalam jangka masa panjang, pemilihan genetik yang sistematik mampu mengubah keseluruhan prestasi ladang. Seekor pejantan unggul boleh meninggalkan kesan genetik kepada ratusan keturunan dalam masa beberapa tahun.
Selain itu, genetik juga berkait rapat dengan keserasian terhadap persekitaran tempatan. Baka yang dibawa dari luar negara mungkin mempunyai kadar pertumbuhan yang tinggi di negara asal, tetapi prestasinya boleh merosot apabila berhadapan dengan suhu, kelembapan dan jenis makanan tropika yang berbeza. Di sinilah pentingnya pemilihan dan pembiakbakaan baka tempatan yang telah menyesuaikan diri dengan iklim Malaysia.
Pemilihan baka yang sesuai dengan objektif pengeluaran dan keadaan persekitaran tempatan menjadi asas penting dalam mencapai prestasi optimum. Baka ternakan tempatan seperti kambing Katjang, lembu Kedah-Kelantan (KK) dan ayam kampung biasanya mempunyai kadar pertumbuhan yang agak rendah. Oleh itu, beberapa kajian telah dijalankan bagi meningkatkan prestasi baka ternakan tempatan.
Kambing Katjang mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap penyakit dan parasit tempatan. Namun begitu, disebabkan kadar tumbesarannya yang lambat, baka ini kurang digemari oleh penternak. Kambing Boer pula ialah baka yang dibawa masuk dari luar negara. Walaupun baka ini mempunyai kadar tumbesaran yang tinggi, namun daya ketahanan terhadap penyakit dan adaptasi terhadap persekitaran tempatan agak rendah. Hal ini menyebabkan kadar kematian baka ini di persekitaran tempatan agak tinggi.
Penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan program pembiakbakaan antara kambing Katjang dengan Boer. Kacukan kambing Katjang x Boer (BK) yang dijalankan merupakan usaha peningkatan genetik bagi meningkatkan prestasi baka tempatan. Kacukan ini menghasilkan baka kambing kacukan dengan kadar pertumbuhan serta kadar pembiakan yang lebih baik dan ketahanan terhadap penyakit tempatan berbanding dengan baka asal.
Dalam sektor unggas pula, pembangunan baka ayam saga merupakan contoh kejayaan MARDI dalam mempertingkatkan genetik unggas tempatan. Ayam saga ialah baka ayam kampung tulen yang melalui proses pembiakan dan pemilihan genotipik serta fenotipik yang dikehendaki. Hasil penyelidikan MARDI ini menumpukan pada peningkatan kadar pertumbuhan, kadar peneluran dan kecekapan penukaran makanan yang lebih baik daripada ayam kampung biasa.
Potensi genetik yang baik tidak akan muncul tanpa pemakanan yang seimbang. Walaupun seekor ternakan memiliki genetik unggul, prestasi sebenar hanya dapat dizahirkan apabila nutrien yang dibekalkan menepati keperluan fisiologi dan tahap pengeluaran haiwan tersebut. Pemakanan yang seimbang membekalkan tenaga, protein, mineral dan vitamin yang mencukupi bagi menyokong pembentukan otot, sistem imun, penghasilan susu serta kadar tumbesaran yang optimum.
Tenaga dan protein merupakan dua komponen paling kritikal dalam pemakanan ternakan. Tenaga diperlukan untuk aktiviti fizikal dan metabolisme, pembiakan, pengeluaran susu serta menyokong sistem imun. Sementara itu, protein penting untuk pertumbuhan, pembentukan otot, penghasilan enzim dan hormon. Ketidakseimbangan antara kedua-duanya akan menyebabkan penggunaan nutrien tidak efisien. Sebagai contoh, jika tenaga tinggi tetapi protein rendah, sebahagian tenaga akan disimpan sebagai lemak dan bukannya otot. Begitu juga sebaliknya, jika protein berlebihan tetapi tenaga terhad, sebahagian protein akan digunakan sebagai sumber tenaga dan bukannya untuk pertumbuhan.
Mineral juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan fungsi fisiologi dan kesihatan ternakan. Mineral terlibat dalam pembentukan tulang dan gigi, pengawalan keseimbangan cecair badan, fungsi saraf dan otot serta aktiviti enzim dan hormon. Makromineral seperti kalsium, fosforus, magnesium, natrium dan sulfur diperlukan dalam jumlah yang besar untuk pertumbuhan, penghasilan susu dan pembentukan rangka yang kuat.
Sementara itu, mikromineral seperti zink, tembaga, kobalt, iodin dan selenium walaupun diperlukan dalam jumlah yang kecil, tetapi amat penting untuk sistem imun, pembentukan enzim, pigmen bulu dan fungsi pembiakan. Kekurangan mineral boleh menyebabkan masalah seperti pertumbuhan terbantut, bulu kusam, kesuburan rendah dan penyakit otot atau tulang.
Pemakanan yang seimbang dan mencukupi boleh meningkatkan potensi genetik sesuatu baka ternakan. Contoh jelas kejayaan pendekatan ini ialah pembangunan baka lembu Kedah-Kelantan Elit (KK Elit). Lembu KK Elit sememangnya baka tempatan yang tahan lasak, tetapi melalui pengurusan pemakanan yang efisien dan formulasi pemakanan yang memenuhi keperluan nutrien ternakan tersebut dapat meningkatkan kadar pertumbuhannya.
Kajian menunjukkan bahawa lembu KK Elit mampu mencapai peningkatan berat badan antara 20 peratus hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding dengan lembu KK biasa. Selain itu, komposisi tubuhnya juga lebih padat dengan otot dan kurang lemak berlebihan, menandakan kecekapan penggunaan nutrien yang lebih baik.
Pemberian pemakanan yang tepat dari segi kualiti dan kuantiti yang ditetapkan boleh mempengaruhi ekspresi genetik dan hormon pertumbuhan serta kadar penukaran makanan kepada daging. Hal ini bermakna, walaupun dua ekor haiwan mempunyai genetik yang sama, hasil akhirnya boleh berbeza bergantung pada cara pemakanannya diurus.
Interaksi antara genetik dengan pemakanan memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi ternakan. Genetik menetapkan potensi asas seperti kadar pertumbuhan dan kecekapan makanan, manakala pemakanan merealisasikan potensi tersebut.
Terkini, satu cabang sains, iaitu nutrigenomik telah diterokai. Nutrigenomik menghubungkan antara pemakanan dengan genetik, yakni setiap nutrien seperti protein, lemak, vitamin dan mineral boleh mengaktifkan atau menyekat gen tertentu yang berkaitan dengan pertumbuhan, sistem imun, penghasilan susu atau daging.
Melalui pendekatan ini, diet boleh dirangka secara lebih tepat mengikut keperluan genetik sesuatu baka. Contohnya, baka yang cepat membesar mungkin memerlukan nisbah tenaga dan protein yang berbeza berbanding dengan baka tahan lasak. Dalam konteks penternakan moden, nutrigenomik menjadi asas kepada konsep precision feeding dan pemakanan tepat, iaitu pemberian makanan berasaskan genetik untuk memaksimumkan prestasi dan kesihatan ternakan.
Dalam amalan penternakan sebenar, kejayaan dicapai apabila penternak mengimbangkan baka berkualiti dengan pemakanan yang mencukupi. Pemilihan baka tahan lasak perlu disokong dengan formulasi makanan berdasarkan fasa fisiologi dan keperluan nutrien. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah mengurangkan kerugian sesebuah ladang.
Secara keseluruhannya, genetik dan pemakanan bukan dua perkara berasingan tetapi saling melengkapi. Genetik menyediakan potensi, manakala pemakanan menjadi pemacu untuk merealisasikannya. Kejayaan program pembiakbakaan seperti kambing BK, ayam saga dan lembu KK Elit membuktikan bahawa gabungan genetik unggul dengan pemakanan seimbang mampu meningkatkan prestasi ternakan. Pembangunan baka ini merupakan satu daripada usaha untuk memperkasakan keterjaminan makanan negara.
