Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha memperkasakan masyarakat untuk menghadapi kecemasan diperkukuh melalui pelaksanaan Program Sijil Kompetensi Asas Perawat Kecemasan Komuniti anjuran Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka.
Program tersebut merupakan komponen utama inisiatif paramedik komuniti di bawah Belanjawan Negeri Melaka 2025 yang digubal bagi melahirkan masyarakat yang berkemahiran dalam memberikan rawatan awal sebelum ketibaan pasukan perubatan profesional.
Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Ruslinda Mustafar ketika merasmikan program berkenaan menyatakan bahawa program tersebut bukan sahaja meningkatkan kemahiran perawatan kecemasan, malah menyemai semangat kemanusiaan dan keprihatinan yang menjadi roh sebenar paramedik komuniti.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Shamsuriani Md. Jamal menjelaskan bahawa program yang dianjurkan adalah sebahagian daripada usaha jabatan untuk memperluas kepakaran akademik UKM ke peringkat komuniti.
Katanya,
Pendekatan latihan berasaskan kompetensi membolehkan orang awam bertindak dengan lebih pantas dan tepat ketika kecemasan sementara menunggu ketibaan pasukan paramedik.
Tambah beliau, Jabatan Perubatan Kecemasan UKM komited meneruskan kerjasama strategik dengan agensi negeri dan persekutuan bagi memperluas pelaksanaan program latihan komuniti pada masa akan datang.
Beliau juga berkata, inisiatif ini berpotensi untuk menjadi model latihan komuniti yang mampan dan inklusif, selain menjadi sebahagian daripada rangka kerja Program Sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi kecemasan dan bencana.
Kerajaan Negeri Melaka melalui Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia yang diterajui oleh Tuan Haji Sha’ari Samsudin bekerjasama dengan Fakulti Perubatan UKM bagi memastikan sukarelawan PARAKOM berada pada tahap kompetensi yang optimum.
Sebanyak 35 orang peserta terpilih untuk mengikuti latihan berasaskan kompetensi itu yang berlangsung secara gabungan pembelajaran dalam talian dan sesi praktikal bersemuka.
Dalam program tersebut, para peserta didedahkan kepada kemahiran bantuan hayat asas atau basic life support (BLS) yang merangkumi teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR) individu dan berkumpulan, penggunaan automated external defibrillator (AED), bantuan pernafasan dengan menggunakan mask device dan kaedah mengendalikan kes tercekik.

Latihan yang diberikan turut merangkumi modul Child and Infant BLS serta rawatan awal seperti menangani luka, pendarahan dan lecur, selain teknik pembalutan dan pensplinan (splinting) yang betul.
Setiap peserta perlu melepasi ujian bertulis dan praktikal sebelum dianugerahkan sijil sebagai pengiktirafan terhadap penguasaan kemahiran yang dipelajari.
Pada masa yang sama, komuniti setempat turut diberikan pendedahan tentang sistem rujukan kecemasan, cara komunikasi berkesan dengan talian 999 dan peranan sokongan kepada agensi penyelamat.
Turut hadir ialah pensyarah dan fasilitator dari Fakulti Perubatan, UKM dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, urus setia program serta wakil UPEN Melaka.