Diterbitkan pada 12 November 2025, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tokyo – Sejarah baharu tercipta apabila Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menerima Anugerah The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito di Istana Imperial Tokyo.

Anugerah berprestij itu merupakan antara pengiktirafan tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Jepun kepada individu yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama antarabangsa.

Penganugerahan ini menjadi bukti penghormatan dunia terhadap sumbangan besar Premier Sarawak dalam memperluas jaringan kerjasama antara Jepun dengan Malaysia, khususnya menerusi inisiatif pembangunan lestari di Sarawak.

Sebagai anak Sarawak pertama dari Borneo yang menerima anugerah itu, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg bukan sahaja mengharumkan nama negeri di persada dunia, malah menonjolkan potensi besar Sarawak dalam bidang inovasi tenaga boleh baharu dan diplomasi ekonomi hijau.

Majlis penganugerahan itu merupakan sebahagian daripada Autumn Imperial Decorations 2025 yang menghimpunkan penerima dari seluruh dunia bagi mengiktiraf usaha mereka dalam memajukan bidang diplomasi, tenaga dan inovasi teknologi.

Sumbangan Premier Sarawak dalam memperkenalkan inisiatif tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidrogen hijau serta menggalakkan pelaburan Jepun dalam sektor tenaga dan semikonduktor di Sarawak menjadi faktor utama pemilihannya sebagai penerima anugerah tersebut.

Inisiatif berkenaan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini, malah membuka peluang baharu kepada kerjasama penyelidikan dan teknologi antara kedua-dua negara.

Selain itu, komitmen beliau dalam memperkukuh kerjasama pengurusan sumber hutan dan pembangunan lestari turut memperlihatkan keupayaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik Jepun dalam agenda alam sekitar global.

Dalam laporan media tempatan, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dipetik berkata bahawa pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan yang besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada seluruh rakyat Sarawak yang mendukung aspirasi pembangunan negeri yang berteraskan inovasi dan kelestarian.

Beliau menyifatkan bahawa pengiktirafan antarabangsa ini menjadi dorongan untuk Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan industri semikonduktor yang berpotensi besar membentuk masa hadapan ekonomi negeri.

Terdahulu, Premier Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pukul 8.50 malam waktu tempatan dan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, YBhg. Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany sebelum menghadiri majlis rasmi berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi, beliau turut dijadualkan menyampaikan amanat khas bersempena dengan ulang tahun ke-30 jalinan kerjasama antara Persatuan Jepun–Malaysia dengan Jabatan Hutan Sarawak yang menyaksikan keakraban hubungan dua hala dalam usaha konservasi dan pembangunan mapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi