Diterbitkan pada 11 November 2025, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kamunting – Sekumpulan pelajar berkeperluan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting mencuri perhatian apabila melaksanakan projek “Bottle-Tyre-Plant” yang menggabungkan kreativiti kitar semula dan teknik pertanian bandar.

Projek tersebut memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami konsep kelestarian secara praktikal melalui penggunaan botol plastik dan tayar terpakai sebagai medium tanaman yang menyokong pembelajaran keusahawanan hijau.

Inisiatif ini dibimbing oleh YBrs. Dr. Khauthar Ismail dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama YBrs. Profesor Dr. Salmi Mohd Isa dari Graduate Business School, USM yang turut melibatkan kerjasama Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang.

Pelaksanaan projek tersebut disokong oleh Geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM yang memberikan penekanan terhadap pembangunan kemahiran pelajar keperluan khas melalui program berimpak komuniti.

Dalam sesi tersebut, pelajar mempelajari asas fertigasi dengan membina sistem tanaman dengan menggunakan botol plastik terpakai sebagai latihan pengenalan kepada teknik pertanian moden.

Pelajar menanam anak pokok cekur dalam bekas kitar semula yang telah diwarnakan.

Sistem fertigasi itu kemudiannya digunakan untuk menanam herba seperti ketumbar jawa, pandan, kunyit, halia dan cekur yang dipilih kerana mudah diurus serta mempunyai nilai pasaran yang stabil.

Pendekatan tersebut turut memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai potensi tanaman dapur sebagai projek ekonomi kecil yang menyokong pembangunan kemahiran pendapatan kendiri.

Pelajar mengisi medium tanaman ke dalam bekas kitar semula.

Menurut YBrs. Dr. Khauthar Ismail, projek itu membuktikan bahawa inovasi sosial boleh dicapai melalui kreativiti dalam memanfaatkan bahan terbuang tanpa memerlukan kos tinggi atau penggunaan teknologi kompleks.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengukuhkan kemahiran penyelesaian masalah pelajar, malah meningkatkan keyakinan mereka untuk berdikari dalam pelbagai situasi pembelajaran.

Sementara itu, Guru Pendidikan Khas, Puan Intan Hazlina Shamsul Badri menjelaskan bahawa program tersebut turut memperkukuh kesedaran pelajar terhadap amalan kitar semula melalui pendekatan pembelajaran yang amali dan mudah difahami.

Beliau menambah bahawa pendedahan awal ini penting bagi membentuk sikap bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar dalam kalangan pelajar berkeperluan khas.

“Program ini membuka ruang kepada murid untuk memahami kepentingan kitar semula dan menjaga alam sekitar melalui aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna,” ujar Puan Intan Hazlina Shamsul Badri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi