Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Denai Sungai Langat menjadi pentas kolaborasi serantau apabila delegasi daripada 10 negara Asia berganding tenaga dalam program pembersihan anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Program anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) ini dilaksanakan bersempena dengan Mesyuarat Penilaian Tahunan Asian International Mobility for Students (AIMS) ke-19 yang dihoskan oleh Malaysia bersempena dengan kepengerusian ASEAN 2025, sekali gus menjadikan aktiviti ini sebahagian daripada usaha mempererat jaringan diplomasi pendidikan serantau.
Aktiviti ini bermula pada pukul 9.00 pagi dengan sesi taklimat keselamatan sebelum para peserta memulakan misi membersihkan laluan denai sepanjang dua kilometer yang berakhir sekitar pukul 11.00 pagi.

Hasil gotong-royong yang dijalankan menghasilkan kutipan sebanyak 10.2 kilogram sisa pepejal yang melambangkan semangat tanggungjawab, disiplin dan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dalam kalangan peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Selain menjadi platform tanggungjawab sosial, program ini turut berperanan memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi serantau serta memperkenalkan Denai Sungai Langat sebagai destinasi ekopelancongan dan komuniti lestari yang berpotensi untuk diteroka bersama.

Bagi memperkayakan pengalaman peserta, sesi perkongsian turut diadakan bersama-sama Encik Shaiful Azli Muhamad Surol yang merupakan pengasas perusahaan sosial pelancongan 2705 Event yang berkongsi pengalamannya memulihara Sungai Klang dan Jambatan Kota melalui kolaborasi dengan Majlis Perbandaran Klang.

Beliau menekankan pentingnya kerjasama bersepadu antara universiti, kerajaan tempatan dengan komuniti setempat untuk memulihkan fungsi sungai sebagai ruang kehidupan yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Majlis penutup program disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, YBrs. Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa inisiatif seperti ini menggambarkan semangat UKM sebagai universiti yang mendidik melalui pengalaman dan tindakan.
“Usaha sebegini membentuk pelajar dan warga universiti untuk memahami nilai tanggungjawab sosial serta kemanusiaan, selaras dengan aspirasi UKM sebagai universiti watan bertaraf global,” katanya.

Penyertaan program ini melibatkan 10 negara, iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Jepun, Kemboja, Korea Selatan, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam melalui kehadiran pegawai hubungan antarabangsa, ahli akademik dan wakil Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut menjadikan program ini sebagai wadah pertukaran idea dan pengalaman antara negara