Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mempamerkan kepakaran dan produk inovasi terkini dalam bidang marin melalui penyertaan dalam Program Hari Perikanan 2025 anjuran Jabatan Perikanan Malaysia yang berlangsung di Pantai Merdeka, Kuala Muda, Kedah, baru-baru ini.
UiTM Cawangan Perlis tampil sebagai pempamer utama melalui Program Teknologi Marin Lestari dan Stesen Penyelidikan Marin dengan memperkenalkan pelbagai inovasi berimpak tinggi yang pernah meraih pingat emas pada peringkat antarabangsa.
Antara inovasi yang diketengahkan termasuklah teknologi pemetaan marin, pembangunan produk makanan laut, perikanan dan sains marin yang dihasilkan oleh penyelidik universiti.

Penyertaan UiTM Cawangan Perlis dipimpin oleh tiga pensyarah, iaitu YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam, Puan Rohayu Ramli dan Gs. Sharir Aizat Kamaruddin dari Fakulti Sains Gunaan.
Menurut Penasihat Persatuan MARTECH dan pensyarah kanan bidang biologi marin, Puan Rohayu Ramli, penyertaan ini menjadi platform penting bagi memperkenalkan hasil penyelidikan universiti kepada komuniti dan industri perikanan.
“Melalui program sebegini, kami dapat berkongsi teknologi dan inovasi yang berpotensi membantu komuniti nelayan serta menyokong amalan perikanan yang lebih efisien dan lestari,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyertaan universiti turut membuka ruang kerjasama dengan agensi kerajaan dan industri bagi memperkukuh pembangunan sektor marin negara.
Sebanyak 12 pelajar Sarjana Muda Sains Teknologi Marin Lestari turut bertugas di reruai UiTM Cawangan Perlis bagi memberikan penerangan kepada pengunjung mengenai kajian dan teknologi marin.

Mahasiswa, Irfan Fathi Zul Faqar, berkata peluang menyertai pameran ini memberikan pengalaman yang bermakna dalam memanfaatkan pengetahuan teori kepada situasi sebenar.

“Sepanjang pameran, saya berpeluang menerangkan aspek pemuliharaan ekosistem laut, teknologi lestari dan inovasi yang dihasilkan universiti kepada orang ramai,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa penglibatan ini turut membantunya mengasah kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keyakinan diri, di samping meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga kelestarian sumber laut.
Reruai UiTM Cawangan Perlis turut menarik perhatian dengan pameran peralatan sains marin seperti penderia CTD untuk mengukur kekonduksian dan suhu air,serta teknologi sonar bagi mengesan objek di bawah air melalui gelombang bunyi.
Selain itu, koleksi ikan awetan untuk kajian anatomi dan fisiologi, peta kualiti air laut berasaskan sistem maklumat geografi (GIS) serta produk inovasi makanan berasaskan rumpai laut seperti Lenti Tea turut mendapat sambutan pengunjung.


Program Hari Perikanan 2025 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Dato’ Luqman Ahmad dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain.