Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSurabaya – Keakraban antara dua institusi pengajian tinggi serumpun terus diperkukuh melalui Program Mobiliti Akademik Universiti Sains Malaysia (USM) ke Universitas Negeri Surabaya (UNESA) yang menjadi wadah penting dalam menjalin kerjasama akademik, pertukaran budaya dan pengayaan ilmu antara dua negara jiran bagi berkongsi akar sejarah dan nilai kemanusiaan yang sama.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM dengan kerjasama Fakultas Ekonomi dan Bisnis (FEB), UNESA itu menghimpunkan para pelajar dan pensyarah dari kedua-dua universiti dalam pelbagai aktiviti akademik, sosial dan budaya yang menekankan semangat serumpun, seilmu dan sekata.
Hari kemuncak program dimulakan dengan Majlis Sambutan Rasmi di kampus utama UNESA yang disambut mesra oleh Dekan FEB, UNESA, YBrs. Profesor Dr. Anang Kistyanto dan warga FEB.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan kuliah umum yang bertajuk “Digital Transformation and Public Expenditure Efficiency: Strategies for Sustainable Economic Growth in Malaysia and Indonesia” yang disampaikan oleh Pensyarah Bahagian Ekonomi, PPPJJ, USM, YBrs. Dr. Lim Chee Ann.

Dalam sesi kuliah tersebut, YBrs. Dr. Lim Chee Ann mengetengahkan peranan teknologi digital dalam memperkukuh kecekapan perbelanjaan awam serta mewujudkan ekosistem ekonomi yang mampan dan inklusif, khususnya di kedua-dua negara ini.
Menurut beliau,
Kerjasama akademik seperti ini membuka ruang dialog rentas negara untuk memahami cara sesuatu dasar ekonomi dan inovasi digital dapat disepadukan bagi memperkukuh daya saing serantau.
Selepas sesi ilmiah, para peserta berkunjung ke Kampus Lidah Wetan UNESA bagi mengikuti aktiviti kebudayaan, iaitu bengkel interaktif pembuatan batik tradisional Indonesia yang memberikan peluang kepada mereka untuk menyelami kehalusan seni warisan masyarakat Jawa.
Di bawah bimbingan pengajar batik tempatan, para peserta berpeluang mencuba sendiri teknik mencanting lilin dan mewarnakan kain batik, sekali gus memberikan pengalaman yang menguji kesabaran serta ketelitian tangan.

Yang lebih menarik, aktiviti tersebut turut menyaksikan pertukaran budaya batik antara kedua-dua negara ini dengan pelajar USM memperkenalkan corak batik Malaysia yang menonjolkan warna terang serta motif flora tropika, berbeza dengan batik Jawa yang sarat dengan simbol falsafah kehidupan dan harmoni.
Perbandingan tersebut bukan sekadar mengenai seni tekstil, tetapi menjadi cerminan perpaduan nilai dan kreativiti dua bangsa serumpun yang kaya dengan warisan seni.

Menurut Encik Muhammad Razin, seorang daripada peserta program, pengalaman mempelajari membuat batik memberikan kesan yang mendalam terhadap dirinya.
Katanya,
Kami mempelajari bahawa seni batik bukan sekadar hasil tangan, tetapi wadah dalam menyampaikan nilai dan falsafah hidup masyarakat, sekali gus mengajar kami tentang erti kesabaran, kehalusan budi dan cinta terhadap warisan bangsa.
Pelajar dari UNESA, Armillulia Annastiarochim pula menyatakan bahawa walaupun batik di negaranya berbeza gaya dan semangat, namun maknanya tetap sama, yakni mengangkat identiti bangsa melalui seni dan program seumpama ini membuatkan dirinya berasa dekat sebagai keluarga Nusantara.”
Selain bengkel batik, para peserta turut berpeluang melawat kemudahan pembelajaran di FEB, UNESA yang memberikan pendedahan kepada sistem pengajaran yang berasaskan teknologi serta pendekatan pembelajaran kolaboratif yang diamalkan di Indonesia.

Para pelajar USM juga mengambil kesempatan itu untuk berinteraksi dengan pelajar tempatan, bertukar pandangan mengenai gaya pembelajaran dan pengalaman akademik masing-masing.
Menurut seorang daripada pensyarah dari UNESA, Ibu Heni Purwa Pamungkas, kehadiran delegasi USM amat bermakna dalam memperkukuh hubungan antara dua universiti tersebut.
Ujarnya,
Kami percaya bahawa program seperti ini bukan sahaja mempererat hubungan akademik, tetapi turut memperkasakan pemahaman budaya dan membina sahsiah global pelajar kerana pertukaran ilmu dan budaya adalah asas kepada pembangunan serantau yang berteraskan kemanusiaan.
Menurut YBrs. Dr. Lim Chee Ann, program mobiliti telah membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman, interaksi dan pertukaran budaya.
Tambah beliau,
Apabila pelajar dan pensyarah menjejakkan kaki ke negara jiran, mereka sebenarnya sedang membuka jendela baharu tentang ilmu dan persahabatan yang melangkaui sempadan.
Program Mobiliti USM–UNESA telah mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkukuh jaringan akademik serantau serta memupuk semangat kebersamaan dan warisan budaya Nusantara dalam kalangan warga universiti.