Diterbitkan pada 2 November 2025, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 10, Masjid Baitul Mahabbah, Program Audiologi Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM serta Fakulti Pergigian, UKM menganjurkan Sambutan Hari Warga Emas 2025 bertemakan “Memperjuangkan Penuaan yang Sihat dan Inklusif”.

Penganjuran tersebut menjadi platform penyatuan komuniti bandar raya Shah Alam dalam usaha menghargai sumbangan warga emas serta meningkatkan kesedaran tentang keperluan penuaan yang sihat dalam masyarakat moden.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Sosioekonomi MBSA, YBrs. Tuan Haji Madiyan Haji Baweh dan menghimpunkan lebih 200 warga emas bersama ahli keluarga, sukarelawan mahasiswa, wakil agensi kerajaan, institusi pendidikan serta penaja.

Dalam ucapannya, YBrs. Tuan Haji Madiyan Haji Baweh menekankan bahawa usaha menyantuni warga emas perlu dilihat sebagai agenda pembangunan sosial jangka panjang yang menjadi teras kepada kesejahteraan bandar raya Shah Alam.

Timbalan Setiausaha Sosioekonomi MBSA, YBrs. Tuan Haji Madiyan Haji Baweh (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Warga Emas 2025 di Masjid Baitul Mahabbah, Seksyen 24, Shah Alam.

“Golongan warga emas ialah aset negara yang membawa pengalaman, nilai dan hikmah sebagai asas pembinaan masyarakat dan dalam hal ini, MBSA beriltizam untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar mesra usia yang memberi ruang, suara dan penghargaan kepada warga emas,” katanya.

Penegasan tersebut sejajar dengan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar penuaan sihat dan inklusif selaras dengan jangkaan Malaysia mencapai status negara tua menjelang tahun 2030.

Bagi menyemarakkan kesedaran itu, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang sambutan seperti pemeriksaan kesihatan percuma seperti saringan audiologi, pergigian dan kognitif yang dikendalikan oleh tenaga profesional kesihatan UKM.

Pengisian lain seperti forum kesihatan, senaman ringan dan aktiviti interaksi antara generasi bersama-sama sukarelawan mahasiswa turut mendapat sambutan yang memperlihatkan semangat kebersamaan antara warga emas dengan masyarakat muda.

Warga emas menyertai aktiviti kognitif dan permainan interaktif yang dijalankan oleh sukarelawan mahasiswa UKM semasa program Hari Warga Emas 2025.

Sesi “Ucapan HWE” pula memberikan peluang kepada warga emas untuk menyampaikan pesanan berinspirasi kepada komuniti sebagai wadah mengiktiraf kebijaksanaan dan pengalaman mereka dalam mendidik generasi baharu.

Wakil penganjur dari UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar menyatakan bahawa pelibatan universiti dalam program komuniti sebegini merupakan tanggungjawab ilmu yang berterusan terhadap masyarakat.

Menurutnya, fakulti yang terlibat mengamalkan pendekatan pelbagai disiplin yang merangkumi bidang diet dan nutrisi, psikologi, fisioterapi, terapi pertuturan serta pekerjaan bagi memastikan penyelidikan yang dijalankan memberikan kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.

“Keupayaan kami terletak pada usaha menterjemahkan hasil penyelidikan kepada aktiviti praktikal yang menyentuh kehidupan komuniti, khususnya dalam menggalakkan penuaan sihat dalam persekitaran yang inklusif,” katanya.

Program tersebut turut disokong oleh Pantai Integrated Rehab, Premier Integrated Lab  dan Biotropics Malaysia Berhad sebagai rakan penaja yang memainkan peranan penting dalam memperluas jangkauan inisiatif ini kepada masyarakat umum.

Peserta warga emas menunjukkan semangat yang positif ketika melakukan aktiviti senaman ringan dalam Sambutan Hari Warga Emas 2025 di Shah Alam.

Pihak penganjur merancang untuk meneruskan sambutan Hari Warga Emas secara tahunan dengan penambahbaikan berterusan serta peluasan pelaksanaan kepada zon komuniti lain sekitar Shah Alam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi