Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPatani – Sebagai usaha untuk memperkukuh jalinan akademik serantau melalui kolaborasi ilmu, budaya dan khidmat komuniti antara institusi pendidikan tinggi, program mobiliti pelajar telah dianjurkan di Prince of Songkla University (PSU).
Program yang diadakan di bawah inisiatif Student Partnership for Academic and Regional Knowledge (SPARK) 2025 itu disertai oleh 13 orang peserta dan lima orang pensyarah dari Bahagian Geografi dan Bahagian Sastera, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta berpeluang untuk melaksanakan aktiviti komuniti di Kampung Banka Rubar, Patani, iaitu sebuah kawasan pesisir yang terkenal dengan projek pemuliharaan ekosistem marin dan pembiakan semula ketam biru (Portunus pelagicus), sejenis spesies marin daripada famili Portunidae yang penting dalam ekosistem dan ekonomi masyarakat tempatan.
Menerusi aktiviti tersebut, para peserta dapat berinteraksi secara langsung dengan masyarakat nelayan setempat bagi memahami nilai kelestarian alam sekitar yang diamalkan melalui projek Crab Bank, iaitu inisiatif komuniti untuk memastikan sumber ketam biru terus lestari dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Menurut Penyelaras Program dari USM, YBrs. Dr. Nik Norliati Fitri, program ini bukan sahaja memperkukuh aspek pembelajaran berasaskan lapangan, malah membuka ruang pemahaman yang lebih luas terhadap konteks sosiobudaya dan ekonomi masyarakat pesisir di rantau Asia Tenggara.
Katanya,
Pendekatan yang merentas sempadan seumpama ini adalah penting untuk memperkaya pengetahuan pelajar melalui pengalaman sebenar di lapangan, terutamanya dalam bidang geografi manusia dan kesusasteraan masyarakat setempat.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan dari PSU, Patani, Encik Sofiyudin menyatakan bahawa kolaborasi seperti ini mampu memperkukuh hubungan akademik dan kebudayaan antara Malaysia dengan Thailand.
Ujarnya,
Kerjasama antara PSU dengan USM amat bermakna kerana bukan sahaja memperluas jalinan akademik, malah memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan kelestarian sumber alam melalui pengalaman komuniti tempatan.

Program tersebut diakhiri dengan sesi perkongsian ilmiah antara pensyarah dengan pelajar dari kedua-dua institusi yang membuka ruang kepada potensi penyelidikan bersama dalam bidang geografi sosial, sastera serantau dan kelestarian komuniti pesisir.