Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Microstachys A.Juss. merupakan genus herba dan pokok renek dalam famili Euphorbiaceae yang terdiri daripada 22 spesies. Menurut Plants of the World Online, genus ini dapat dikenal pasti melalui perbungaan staminat (jantan) yang kecil, memanjang dan muncul secara tunggal.

Buahnya berbentuk kapsul tiga segmen yang menyerupai buah getah, iaitu satu daripada ciri umum dalam famili ini. Penyebaran biji benih berlaku melalui mekanisme letupan, sama seperti pokok getah (Hevea brasiliensis).

Kebanyakan spesies Microstachys bersifat endemik di Amerika Selatan dan memiliki taburan yang meliputi kawasan dari Mexico hingga Bolivia. Kepelbagaian tertinggi bagi spesies ini direkodkan di Brazil.

Di Semenanjung Malaysia, dua spesies telah dikenal pasti, iaitu Microstachys chamaelea (L.) Müll.Arg. dan Microstachys corniculata (Vahl) A.Juss. ex Griseb. yang merupakan rekod baharu bagi flora tempatan. Penemuan terbaharu ini dilaporkan oleh Esser, H.-J. dalam jurnal Gardens’ Bulletin Singapore 75 (2023) berdasarkan spesimen herbarium yang dikutip dari Hutan Simpan Bukit Belata Tambahan, Selangor pada tahun 2016. Kini, spesimen tersebut disimpan di Herbarium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Microstachys chamaelea (L.) Müll.Arg.

Pokok amin-amin tumbuh di kawasan terbuka.

Pokok amin-amin yang lebih dikenali sebagai amin-amin atau ambin-ambin dan dipanggil daun merayat Borneo ialah herba renek separa berkayu yang boleh mencapai ketinggian hingga satu meter. Spesies ini tumbuh subur di kawasan terbuka seperti tepi jalan yang menerima cahaya matahari, sekali gus menjadikan spesies ini tahan lasak serta berperanan penting dalam proses pemulihan tanah.

Sebelum ini, tumbuhan ini diletakkan di bawah genus Sebastiania dan dikenali sebagai Sebastiania chamaelea (L.) Müll.Arg., namun kini diklasifikasikan semula dalam genus Microstachys. Nama spesifik chamaelea yang bermaksud “chameleon” merujuk keupayaan warna tumbuhan ini yang boleh berubah mengikut peringkat pertumbuhan atau keadaan cahaya persekitaran.

Taburan M. chamaelea meliputi kawasan di Afrika Barat Tropika hingga Asia dan utara Australia yang merangkumi India, Sri Lanka, selatan China dan Asia Tenggara (termasuklah Malaysia). Di Malaysia, pokok ini biasanya ditemukan di kawasan terbuka yang menerima cahaya matahari penuh seperti kawasan yang berhampiran dengan pantai, tanah berpasir, tepi jalan dan kawasan terganggu.

Tumbuhan ini mudah dikenal pasti melalui daun kecil yang tunggal, tirus di bahagian hujung serta tersusun berselang-seli pada batang dengan bahagian tepi daun bergerigi halus. Bunganya halus dalam jambak menegak; bunga betina terletak di pangkal tangkai, manakala bunga jantan di bahagian hujung.

Buahnya pula berbentuk kapsul tiga segmen dengan duri tajam. Pada kebiasaannya, spesies ini mempunyai lapan duri pada setiap segmen yang tersusun selari dalam dua baris.

Antara ciri morfologi pokok amin-amin termasuklah memiliki jambak bunga yang tumbuh menegak dan buahnya mempunyai lapan duri pada setiap segmen.

Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini digunakan secara meluas. Air rebusan keseluruhan tumbuhan ini digunakan sebagai tonik untuk melegakan cirit-birit dan disentri, selain mandian herba bagi meredakan sakit gigi pada kanak-kanak. Di Thailand, daun muda tumbuhan ini dimasak bersama-sama sayuran lain sebagai penawar untuk mempercepat pemulihan wanita selepas bersalin.

Di India pula, jus daripada tumbuhan ini digunakan secara tradisional untuk merawat sifilis dan pelbagai penyakit kulit. Kajian awal mendapati bahawa tumbuhan ini mengandungi sebatian kimia dengan sifat sitotoksik (bertindak terhadap sel tumor) dan mempunyai aktiviti antioksidan yang berpotensi untuk diteroka dengan lebih mendalam.

Microstachys corniculata (Vahl) A.Juss. ex Griseb.

Microstachys corniculata merupakan spesies yang baru direkodkan secara rasmi di Malaysia pada tahun 2023. Nama spesifik corniculata merujuk struktur seperti tanduk kecil pada buah atau bunga betina yang menjadi ciri morfologi utama spesies ini.

Sebelum ini, Microstachys corniculata hanya diketahui tumbuh dan direkodkan di Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Kehadirannya di Malaysia dipercayai berpunca daripada kemasukan tidak sengaja melalui bahan pertanian seperti biji benih atau bijirin seperti kacang soya.

Spesies ini ialah herba renek separa berkayu yang mampu mencapai ketinggian hingga 60 sentimeter. Spesies ini tahan lasak dan mampu tumbuh di kawasan tanah kering, sedikit berbatu dan terdedah,  termasuklah di tepi jalan, tanah pertanian serta kawasan yang telah digondolkan. Keupayaannya untuk tumbuh dengan cepat menjadikan tumbuhan ini berpotensi untuk digunakan dalam pemulihan tanah terganggu serta pengurangan hakisan. Walau bagaimanapun, statusnya sebagai spesies invasif masih belum dapat dipastikan kerana data lapangan masih terhad.

Setakat ini, tiada rekod penggunaan tumbuhan ini dalam perubatan tradisional di Malaysia. Namun begitu, di Amerika Tengah dan Selatan, M. corniculata digunakan secara tradisional untuk merawat penyakit kulit dan keradangan.

Dari segi morfologi, spesies ini mempunyai daun tunggal yang tersusun secara berselang-seli, berbentuk ovat atau eliptik dan meruncing di bahagian hujungnya. Bahagian tepi daunnya pula bergerigi halus dan berbulu halus di bahagian bawah permukaan daun.

Bunganya halus dan tersusun menegak dalam jambak dengan bunga betina di pangkal tangkai serta bunga jantan di bahagian hujung. Buahnya pula berbentuk kapsul dengan tiga segmen. Setiap segmen mempunyai empat duri yang keras dan menyerupai tanduk (dua di bahagian atas dan dua di pangkal segmen).

Jambak bunga pokok amin-amin kecil yang tumbuh menegak bersama-sama buah kapsul tiga segmen yang masing-masing mempunyai empat duri, iaitu dua di pangkal dan dua di hujung setiap segmen.
Pokok berbuah hijau ialah Microstachys corniculata, manakala pokok berbuah merah ialah Microstachys chamaelea.

 

Daun Microstachys chamaelea.
Daun Microstachys corniculata.

Sebagai kesimpulannya, penemuan M. corniculata di Malaysia menambah satu lagi rekod yang bernilai kepada flora negara, khususnya dalam famili Euphorbiaceae yang terkenal dengan kepelbagaian morfologi dan taburan yang meluas. Kehadirannya menunjukkan kemungkinan bahawa terdapat laluan pergerakan benih melalui aktiviti perdagangan atau pertanian antarabangsa.

Walaupun spesies ini mempunyai potensi dalam pemulihan kawasan tanah terganggu, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan untuk menilai risikonya sebagai tumbuhan invasif. Kajian yang lebih terperinci yang meneliti aspek biologi, ekologi dan taburan semasa amat penting untuk memahami peranan spesies ini dalam ekosistem tempatan.

Nik Faizu Nik Hassan,
Pegawai Penyelidik,
Program Hutan Asli,
Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar,
FRIM.

Rafidah Abdul Rahman,
Pegawai Penyelidik,
Program Biodiversiti Flora,
Bahagian Biodiversiti Hutan,
FRIM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi