Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam — Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan penuaan sihat bersempena dengan Hari Fisioterapi Sedunia dan Hari Warga Emas Sedunia.

Program yang bertemakan “Healthy Aging with Elegance” itu disertai oleh dua komuniti, iaitu 10 orang penduduk Saujana Utama dan 30 orang ahli Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS).

Menurut Pengarah Program, Puan Farah Nur Izzah Abd Aziz, program ini melibatkan gabungan antara aktiviti fizikal, mental dengan sosial yang menyeronokkan serta bermanfaat kepada komuniti.

Ujarnya,

Program ini turut merangkumi aktiviti saringan kesihatan fizikal yang melibatkan penilaian risiko jatuh, tahap kelemahan serta penilaian kesihatan mental dan kognitif bagi mengesan tanda awal kemerosotan fungsi ingatan.

Inisiatif tersebut juga mendapat sokongan daripada rakan industri, iaitu BenPhysio Sdn. Bhd. dan Vibrance Pelvic Care Centre yang bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti berfokuskan kesedaran, saringan dan senaman bagi memperkukuh kesejahteraan warga emas.

Selain itu, MHE Medical Supplies Sdn. Bhd. (Meddina Healthcare) turut tampil sebagai penaja utama bagi menyokong inisiatif penuaan sihat anjuran UiTM.

Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen UiTM terhadap kesejahteraan masyarakat dan selari dengan semangat Hari Warga Emas Sedunia yang menekankan peranan generasi emas sebagai aset penting dalam komuniti.

Sesi saringan kesihatan fizikal.

Untuk memastikan para peserta mendapat maklumat yang tepat, sesi ceramah bertajuk “Muscle Matters in Healthy Ageing: Preserving Leg Strength for Independence and Health” telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Fisioterapi (pengkhususan Fisioterapi dalam Gerontologi), YBrs. Profesor Madya Dr. Maria Justine @ Stephany.

Katanya,

Sarkopenia bukan sekadar kehilangan otot, malah kehilangan fungsi dan kualiti hidup, sekali gus menuntut warga emas untuk menyedari bahawa kekuatan otot merupakan kunci kepada kebebasan bergerak serta pemeliharaan harga diri.

Sesi ceramah yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Dr. Maria Justine @ Stephany.

Program turut diserikan dengan aktiviti senaman berkumpulan yang dikendalikan oleh ahli fisioterapi dari BenPhysio dan UiTM.

Aktiviti tersebut menekankan empat komponen utama fisioterapi, iaitu mobiliti, kelenturan, penguatan otot dan keseimbangan badan melalui senaman seperti single-leg standing, squatting dan sit-to-stand yang disesuaikan mengikut kemampuan peserta.

Aktiviti senaman berkumpulan bersama-sama warga emas yang terlibat.

Wakil KPMS, Hajjah Latifah Sidek menyifatkan program ini sebagai platform yang berkesan untuk meningkatkan kesedaran warga emas tentang kepentingan aktiviti fizikal dan mental, selain mempererat hubungan sesama komuniti.

Sementara itu, wakil komuniti Saujana Utama, Puan Norsiah Mohamad Ali, menyatakan bahawa program tersebut memberi inspirasi kepada warga emas untuk kekal aktif dan sihat.

Kami berasa sangat dihargai menerusi pelbagai aktiviti yang membuatkan kami lebih bersemangat untuk kekal cergas dan sihat.

Program yang berlangsung dalam suasana ceria itu diakhiri dengan sesi fotografi dan penyampaian penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, sekali gus menzahirkan komitmen UiTM dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui amalan penuaan aktif dan sihat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi