Diterbitkan pada 26 Oktober 2025, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Seiring perkembangan teknologi automotif hari ini, trend memilih kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna tempatan.

Bagi mengupas topik ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan program Borak Permotoran: “Kenderaan Elektrik Pilihan Masa Kini?”, semalam.

Ahli panel program terdiri daripada Pengurus Jualan Kanan, JM Automobil (EV) Sdn. Bhd.,  Encik Muhammad Azrul Shahril; Pegawai Pemasaran Kemudi Timur Elektronik Sdn. Bhd., Encik Mohd Nor Abdul Rahman Ab Manan; dan Pengurus Cek Dik Agency, Encik Mohd Norhisyam Mohd Mokhtar.

Sementara itu, Pengurus Jualan Sayap Niaga Sdn. Bhd., Encik Azizi Abdullah bertindak sebagai moderator. 

Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Haji Che Ismail ketika ditemui selepas program ini berkata, program tersebut mengupas isu teknologi dan inovasi dalam dunia automotif, khususnya berkaitan dengan kenderaan elektrik dengan menggunakan bahasa kebangsaan terutamanya kepada golongan muda yang meminati dunia permotoran.

Perbincangan tersebut bukan setakat membicarakan teknologi permotoran, bahkan mengangkat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi dalam bidang teknikal.

Pada masa yang sama, pengunjung dapat menyaksikan pameran kereta eletrik dan motosikal elektrik seperti EV Bike, Kruz dan Bold oleh Proton e.MAS, BYD dan Kemudi Timur Elektonik Sdn. Bhd.

Borak Permotoran anjuran DBPWT dengan kerjasama JM Automobil (EV) Sdn. Bhd.,  Kemudi Timur Elektronik Sdn. Bhd dan Cek Dik Agency turut disertai oleh ahli kelab permotoran yang bernaung di bawah Gabungan Kelab Kereta Pantai Timur.

Program tersebut merupakan salah satu pengisian Karnival Lestari Bahasa yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Platinum Mall, Kota Bharu, Kelantan dari 23 hingga 25 Oktober 2025.

Kredit Foto: Nik Ridzuan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi