Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dunia penerbitan ilmiah tempatan melangkah ke fasa baharu apabila OpusSoft, pembangun sistem pengurusan jurnal dalam talian pertama di Malaysia melancarkan platform versi terbaharu, iaitu OpusSoft 3.0 yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Versi terbaharu ini menawarkan penyelesaian menyeluruh bagi keseluruhan proses penerbitan jurnal, bermula daripada penyerahan manuskrip hingga penerbitan akhir, sekali gus meletakkan Malaysia setanding dengan platform pengurusan jurnal global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OpusSoft, Encik Ramesh Balakrishnan, pembangunan OpusSoft 3.0 bertujuan untuk membantu penerbit jurnal menyeimbangkan antara keperluan penerbitan pantas dengan jaminan kualiti yang tinggi.

Katanya,
Versi terbaharu ini menyelaraskan keseluruhan aliran kerja penerbitan jurnal, meningkatkan kecekapan dan memperkukuh produktiviti pasukan editorial melalui penggunaan teknologi automasi dan AI yang pintar.
Antara inovasi utama yang diperkenalkan termasuklah ciri Galley Proof automatik yang mampu memformat artikel mengikut gaya sesebuah jurnal dalam tempoh kurang daripada 10 saat, sekali gus menggantikan proses manual yang lazimnya memakan masa berhari-hari.
OpusSoft turut memperkenalkan Reviewer Recommendation Engine berkuasa AI yang membantu pasukan editorial untuk mengenal pasti calon penilai terbaik berdasarkan kepakaran, sejarah kerjasama, petikan dan impak penyelidikan.
Fungsi ini turut disepadukan dengan Web of Science Reviewer Locator yang menjadikannya lebih mudah untuk mencari penilai berkaliber tinggi dalam masa yang singkat.
Untuk memperkukuh kualiti penerbitan, OpusSoft 3.0 juga menampilkan integrasi dengan Crossref, agensi pendaftaran pengecam objek digital atau digital object identifier (DOI) antarabangsa yang membolehkan editor mendaftarkan DOI dalam masa kurang daripada lima minit, sekali gus mengurangkan ralat dan mempercepat proses pengesahan artikel ilmiah.
Penerbitan web pula membolehkan artikel yang sudah diberikan DOI diterbitkan secara terus ke laman web jurnal dengan hanya satu klik serta menghasilkan versi cetak yang boleh dimuat turun dan diedarkan.
Ramesh Balakrishnan turut menjelaskan bahawa pasukannya kini sedang membangunkan asas automasi untuk proses kajian semula setara (peer review) yang dibantu oleh AI, bermula dengan sistem prasaringan manuskrip yang berupaya mengenal pasti kesesuaian, penjajaran skop dan potensi isu kualiti dengan lebih cekap.
Ujarnya,
Langkah ini akan mempercepat dan memperkemas proses kajian dan seterusnya meningkatkan keberkesanan penerbitan penyelidikan.
Platform OpusSoft kini digunakan secara meluas oleh pelbagai penerbit jurnal tempatan, misalnya Malaysian Journal of Microbiology (MJM), Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences (MJMHS-UPM), Asia-Pacific Journal of Molecular Biology and Biotechnology (APJMBB), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Tropical Biomedicine.
Sebagai sistem pengurusan jurnal berasaskan perisian yang pertama di Malaysia, OpusSoft dilihat berpotensi besar untuk mentransformasikan landskap penerbitan akademik negara.
Platform ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan editorial, malah memudahkan penerbitan jurnal di Malaysia memenuhi keperluan pengindeksan antarabangsa dan seterusnya memperkukuh keterlihatan dan impak penyelidikan negara pada peringkat global.
Kata Ramesh Balakrishnan,
Kami berhasrat untuk menjadikan penerbitan penyelidikan di Malaysia sebagai penanda aras kepada kecekapan dan inovasi di rantau ini.
Pada tahun 2024, OpusSoft menerima geran daripada Cradle Fund, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang membantu menyokong peningkatan produk serta usaha pemasarannya.
Dengan adanya sokongan tersebut, kini OpusSoft bersedia untuk mengembangkan operasinya ke seluruh Asia Tenggara dalam tempoh 12 bulan akan datang melalui pengenalan keupayaan berbilang bahasa dan sistem yang lebih fleksibel bagi memenuhi keperluan pasaran serantau.
Sebagai rekod, OpusSoft yang ditubuhkan pada tahun 2018 dan berpangkalan di Kuala Lumpur itu merupakan platform pengurusan jurnal berasaskan awan yang dimiliki oleh Opustech Sdn. Bhd serta direka khas untuk membantu organisasi penyelidikan dan penerbit jurnal mengurus aliran kerja penerbitan secara lebih cekap dan teratur.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan OpusSoft, orang ramai boleh melayari laman sesawang OpusSoft.