Diterbitkan pada 14 Oktober 2025, 14:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kualiti dan inovasi yang menjadi denyut nadi kemajuan dalam dunia yang sarat dengan cabaran globalisasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk memenuhi tanggungjawab organisasi dalam era persaingan intelektual yang kini semakin sengit.

“Kejayaan sebenar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai institusi yang menjadi tunjang pembangunan dan pemartabatan bahasa, sastera serta persuratan kebangsaan tidak hanya diukur melalui bilangan penerbitan atau program yang dilaksanakan, tetapi dinilai berdasarkan impak dan manfaatnya kepada masyarakat serta keupayaan bahasa Melayu menjangkau pelbagai bidang ilmu dan teknologi,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ketika merasmikan Majlis Hari Inovasi DBP 2025 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ketika berucap dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2025.

Menurut beliau, kualiti merupakan jiwa kepada keunggulan, manakala inovasi ialah nadi kemajuan; tanpa kualiti, wibawa akan pudar dan tanpa inovasi, kemajuan akan terhenti.

Beliau juga menjelaskan bahawa inovasi perlu dilihat sebagai budaya kerja yang berasaskan idea baharu, daya cipta dan usaha gigih untuk melakukan perubahan, bukan semata-mata terbatas pada aspek teknologi.

Mengulas tentang perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau menekankan bahawa meskipun AI berupaya menganalisis dan menghasilkan teks menyerupai penulisan manusia, namun bakat serta daya kreativiti seorang penulis merupakan anugerah yang tiada bandingannya. Oleh itu, DBP disarankan untuk memanfaatkan teknologi AI secara strategik dalam pembentukan istilah, penterjemahan dan pembangunan korpus bahasa Melayu agar terus relevan dalam ekosistem digital global.

Katanya lagi, kualiti dan inovasi perlu bergerak seiring dalam perjalanan sesebuah organisasi kerana kualiti membina asas yang kukuh, manakala inovasi mendorong kemajuan dalam memperkukuh budaya kerja yang berdaya saing serta berimpak tinggi.

Tegasnya,

Saya yakin, semangat kerja berpasukan, komitmen terhadap nilai kualiti serta keberanian warga DBP dalam meneroka perkara baharu akan menjadikan DBP terus unggul sebagai institusi ilmu dan bahasa kebangsaan yang disegani bukan sahaja di Malaysia, malah di persada serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya berkata, penganjuran Majlis Hari Inovasi DBP 2025 bukan sekadar pentas penghargaan, tetapi menjadi wadah yang mengiktiraf hasil inovasi warga kerja dan rakan sinergi DBP, di samping menggalakkan persaingan sihat, memupuk budaya kreatif dan inovatif dalam setiap kaedah kerja, sekali gus memperkenalkan hasil inovasi yang dapat dijadikan contoh kepada agensi lain demi peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menekankan bahawa Majlis Hari Inovasi DBP bukan sekadar pentas penghargaan, tetapi sebagai wadah untuk mengiktiraf hasil inovasi warga kerja DBP.

Sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan dan daya cipta warga DBP, sebanyak tujuh kategori anugerah diperkenalkan, iaitu Hadiah Galakan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK); Hadiah Pemenang Mencipta Tema Hari Inovasi; Anugerah Karyawan Inovatif; Anugerah Citra Karya yang merangkumi Karya Buku Kreatif, Karya Eceran Ilmiah, Karya Eceran Kreatif dan Karya Media Baharu; Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik; Anugerah Citra Projek serta Anugerah Inovasi Ketua Pengarah.

Yang menariknya, tahun ini menyaksikan peningkatan mendadak sebanyak 98 peratus dengan 119 penyertaan bagi Hadiah Inovasi dan Anugerah Citra DBP 2024–2025 berbanding dengan hanya 60 penyertaan pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan iltizam, semangat dan keberanian warga DBP untuk terus berdaya saing dalam memperkaya inovasi produk serta memperkukuh proses kerja organisasi.

YBrs. Dr. Hazami Jahari turut menjelaskan bahawa kini DBP sedang menyusun langkah strategik untuk mendepani cabaran pada lima tahun akan datang melalui Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2026–2030, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dalam usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dan memantapkan kecekapan organisasi.

Ujarnya,

Pelan strategik tersebut berteraskan lima keutamaan, iaitu memperkasakan ekosistem bahasa Melayu sebagai bahasa negara; menyebarluaskan penggunaannya pada peringkat antarabangsa; mengoptimumkan kemampanan kewangan organisasi; memperkasakan agenda pendigitalan organisasi serta mempertingkatkan tadbir urus penyampaian perkhidmatan agar terus relevan dan berimpak tinggi.

Selaras dengan hala tuju itu, DBP turut memberikan tumpuan pada isu semasa seperti pengukuhan bahasa Melayu dalam era teknologi AI, galakan penyelidikan dan inovasi, penerokaan industri bernilai tinggi serta pemerkasaan perpaduan sosial melalui bahasa kebangsaan yang menjadi wahana integrasi nasional.

Katanya lagi,

Dalam memastikan pelan strategik tersebut berfungsi secara menyeluruh dan berkesan, DBP turut memperkenalkan pelbagai pelan sokongan seperti Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia; Pelan Perniagaan; Pelan Strategik Pendigitalan dan Pelan Komunikasi yang berperanan melengkapi keseluruhan kerangka pembangunan organisasi.

Pada masa yang sama, DBP terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak melalui Garis Panduan Pengurusan Program Kerjasama dan Sumbangan DBP bagi memastikan setiap kolaborasi memberikan manfaat kepada pembangunan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan.

DBP juga melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan Garis Panduan Geran Penyelidikan DBP bagi menggalakkan penyelidikan berimpak tinggi serta membuka ruang kerjasama baharu dengan pelbagai institusi akademik dan rakan strategik dalam memperluas khazanah ilmu serta sumber data bahasa Melayu.

Sebagai pusat data korpus bahasa Melayu, DBP turut menambah baik sistem teknologi maklumat dan komunikasi organisasi, termasuklah merancang penganjuran Minggu Digital DBP sebagai inisiatif membudayakan kerja digital, meneroka peluang pendigitalan kandungan dan operasi kerja serta memperkukuh jaringan kerjasama digital bersama-sama dengan sektor awam dan swasta.

Sebelum mengakhiri ucapan, YBrs. Dr. Hazami Jahari menegaskan bahawa segala usaha yang dilaksanakan menuntut kejituan usaha, ketelitian kerja dan kesepaduan semangat seluruh warga DBP agar budaya inovasi terus hidup, berkembang dan menjadi nadi kekuatan organisasi.

Dalam majlis yang sama, tiga pameran turut diadakan, iaitu pameran Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia DBP 2025–2030, pameran Majalah Dalam Kelas dan pameran aplikasi pendidikan digital interaktif Buku Teks Digital Interaktif (BTDI) Cekap Baca.

Pameran Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia DBP 2025–2030 memperincikan hala tuju DBP dalam memperkukuh pengurusan dan pembangunan modal insan melalui tiga teras utama, iaitu pemantapan keupayaan organisasi, pembangunan pekerja berkualiti serta pembentukan budaya kerja cemerlang yang selaras dengan visi dan misi DBP.

Sekitar berlangsungnya pameran Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia DBP 2025–2030 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Sementara itu, pameran Majalah Dalam Kelas menampilkan konsep interaktif dan didik hibur yang menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan daya cipta dalam kalangan pelajar serta guru bagi memperkaya kualiti pengajaran dan pembelajaran berteraskan ilmu bahasa, sastera, penerbitan dan bidang lain di dalam bilik darjah.

YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim semasa menjawab kuiz yang disediakan di reruai pameran Majalah Dalam Kelas.

Seterusnya, pameran BTDI “Cekap Baca” memperkenalkan aplikasi pembelajaran pertama terbitan DBP yang mengintegrasikan teknologi dan kemahiran literasi secara menyeluruh bagi membudayakan amalan membaca serta memperluas capaian bahan bacaan berbahasa Melayu dalam ekosistem digital, selaras dengan teras Dasar Pendidikan Digital.

YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ketika berkunjung ke reruai pameran BTDI Cekap Baca.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M. Azahari Edin; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan dan DBP Wilayah; Ketua Editor; Ketua Bahagian serta warga kerja DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi