Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Fakulti Sains Kesihatan (FSK) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam penganjuran bengkel Beginner Course for Disability Management bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang pengurusan hilang upaya di tempat kerja.

Hampir 50 pelajar daripada Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri (KPKI) serta Program Terapi Carakerja (OT) menyertai bengkel tersebut di Bilik Mesyuarat Fakulti Sains Kesihatan, Kampus Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap cabaran yang dihadapi individu kurang upaya dalam konteks pekerjaan serta mengukuhkan pengetahuan mereka tentang peranan sosial dan kesihatan pekerjaan dalam organisasi.

Menurut Pengerusi Bengkel Beginner Course for Disability Management, YBrs. Dr. Putri Anis Syahira Mohamad Jamil, pendedahan melalui kursus ini membolehkan pelajar memahami teori dan aplikasi sebenar di lapangan melalui pendekatan berasaskan pengalaman.

“Melalui program ini, pelajar turut didedahkan kepada aplikasi sebenar di lapangan. Pendekatan ini dapat memperkukuh kefahaman mereka terhadap tanggungjawab sosial dan kesihatan pekerjaan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemu bual selepas sesi penutup.

Pelajar menjalani latihan lapangan bagi mempelajari teknik pengendalian dan penggunaan kerusi roda dengan kaedah yang betul.
Pelajar menjalani latihan lapangan bagi memahami teknik yang betul dalam penggunaan laluan cerun OKU sebagai sebahagian daripada modul pengurusan hilang upaya

Kursus dua hari tersebut merangkumi pelbagai modul utama yang dikendalikan oleh penceramah daripada PERKESO yang meliputi aspek teknikal, penilaian, intervensi dan kebolehpasaran kerja bagi individu hilang upaya.

Antara modul yang disampaikan termasuklah “Introduction of Social Security Organization (PERKESO) dan Disability Management in Assisting Return to Work” oleh Encik Muhammad Aiman Azman; “Basic Counselling Technique and Communication Skills in Disability Management serta Functional Limitations and Work Participation” oleh Puan Nur Atikah Sanib; “Initial Assessment Process, Planning Process in Disability Management dan Work Ability Assessment” oleh Puan Nur Atiqah Rahim; manakala modul “Employability” disampaikan oleh Puan Nur Amelia Azmi.

Peserta turut menjalani latihan berkumpulan berasaskan pendekatan biopsikososial bagi membantu pekerja yang hilang upaya kembali ke dunia pekerjaan melalui proses penilaian awal, perancangan intervensi dan penilaian tapak kerja.

Wakil PERKESO menegaskan bahawa kolaborasi bersama universiti seperti UKM amat penting dalam memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap bidang pengurusan hilang upaya yang masih baharu di Malaysia.

“Kita mahu graduan universiti bukan sahaja celik teori, malah memahami keperluan sebenar pekerja yang terlibat dalam proses pemulihan dan kembali bekerja. Hal ini sejajar dengan misi PERKESO untuk membangunkan tenaga kerja yang lebih inklusif,” katanya.

Usaha bersama ini turut mengukuhkan hubungan antara universiti dengan industri melalui perkongsian ilmu serta membuka peluang kepada pelajar untuk membina jaringan profesional dalam bidang keselamatan sosial dan kesihatan pekerjaan.

Pelajar menjalani ujian penilaian akhir sebagai syarat kelayakan untuk menerima Sijil Penyertaan “Beginner Course for Disability Management” daripada PERKESO.

Inisiatif ini turut selari dengan hasrat UKM melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan prihatin terhadap isu sosial serta kesihatan komuniti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi