Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Dalam usaha global menangani perubahan iklim, tumpuan dunia kini tertumpu kepada konsep karbon biru atau blue carbon yang semakin mendapat perhatian dalam komuniti saintifik antarabangsa.
Konsep ini merujuk kepada keupayaan ekosistem pesisir pantai seperti hutan bakau, padang rumpai laut (seagrass meadows) dan paya masin (salt marshes) untuk menyerap serta menyimpan karbon dioksida dari atmosfera dalam tempoh jangka panjang.
Menurut pensyarah dalam bidang Teknologi Marin Lestari di Stesen Penyelidikan Marin (MARES), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Encik Muhammad Akmal Roslani, ekosistem pesisir berfungsi sebagai “singki karbon semula jadi” yang jauh lebih berkesan berbanding dengan kebanyakan hutan daratan.
Melalui proses fotosintesis, tumbuhan dalam ekosistem ini menyerap karbon dan menyimpannya bukan sahaja pada batang serta daun tetapi juga dalam sedimen tanah yang kaya bahan organik.
Karbon yang tersimpan di bawah tanah ini boleh kekal stabil selama beratus-ratus tahun, menjadikan ekosistem tersebut salah satu benteng utama terhadap perubahan iklim.

“Hutan bakau boleh dianggap sebagai gudang karbon semula jadi yang luar biasa kerana tanahnya bersifat anaerobik atau kurang oksigen, menyebabkan bahan organik mereput dengan sangat perlahan dan membolehkan karbon kekal terperangkap dalam tanah untuk tempoh yang panjang,” jelas beliau.
Selain berperanan sebagai pelindung pantai daripada hakisan dan ribut, hutan bakau turut menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies marin serta sumber ekonomi bagi komuniti pesisir.
Menurut beliau, keupayaan hutan bakau untuk menyimpan karbon menjadikannya aset alam sekitar yang jauh lebih signifikan daripada yang disedari umum.
Kajian menunjukkan bahawa keupayaan penyimpanan karbon hutan bakau per hektar adalah jauh melebihi hutan tropika daratan dan sebahagian besar karbon ini tersimpan dalam lapisan sedimen bawah tanah yang stabil selama ribuan tahun.
“Hutan bakau bukan sekadar habitat biodiversiti atau kawasan perlindungan semula jadi tetapi aset karbon negara yang bernilai tinggi,” katanya.
“Menebang atau menukar kawasan bakau kepada pembangunan bukan sahaja menjejaskan fungsi penyerap karbon, malah membebaskan semula karbon yang telah tersimpan selama berabad-abad ke atmosfera,” tambah beliau.

Malaysia antara negara bertuah kerana memiliki garis pantai yang panjang serta kawasan bakau yang luas terutamanya di Sabah, Sarawak dan pantai barat Semenanjung, sekali gus memberi potensi besar untuk menjadikan karbon biru sebagai sebahagian daripada strategi mitigasi karbon negara.
Beliau menjelaskan bahawa hutan bakau boleh dimasukkan dalam Nationally Determined Contributions (NDC) Malaysia di bawah Perjanjian Paris sebagai sebahagian daripada penyelesaian berasaskan alam atau nature-based solutions.
Langkah ini bukan sahaja mengiktiraf peranan hutan bakau dalam mitigasi iklim tetapi turut menyokong pembangunan lestari yang memberi manfaat ekonomi kepada komuniti pesisir melalui insentif hijau dan program pemuliharaan.
“Dasar Perubahan Iklim Negara (NPCC 2.0) serta Dasar Kepelbagaian Biologi Negara sudah menekankan kepentingan penyelesaian berasaskan alam,” ujar beliau.
“Integrasi ekosistem karbon biru dalam dasar negara boleh menjadi tonggak utama strategi mitigasi iklim Malaysia,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, potensi besar hutan bakau sebagai penyerap karbon semula jadi kini berdepan pelbagai ancaman termasuk pembangunan pesisir, perbandaran dan aktiviti akuakultur seperti kolam udang yang sering menyebabkan penebangan besar-besaran.
“Kawasan bakau yang ditebang bukan sahaja kehilangan keupayaan menyerap karbon baharu, malah membebaskan semula karbon tersimpan dalam tanah ke atmosfera dalam bentuk gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa proses pemulihan hutan bakau yang musnah mengambil masa puluhan hingga ratusan tahun sebelum ekosistemnya kembali berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi.
Oleh itu, setiap bentuk pembangunan di kawasan pesisir perlu dirancang secara berhati-hati dan berpaksikan prinsip kelestarian.
Walaupun kesedaran terhadap perubahan iklim semakin meningkat, pemahaman masyarakat umum tentang konsep karbon biru masih rendah.
Menurut beliau, pendidikan alam sekitar di sekolah dan universiti perlu memberi penekanan terhadap peranan ekosistem pesisir sebagai penyerap karbon global.
“Dalam kalangan pelajar universiti, kesedaran lebih tinggi hasil pendedahan melalui kursus sains marin dan alam sekitar,” katanya.
“Namun begitu, dalam masyarakat umum, istilah karbon biru masih asing dan kita perlu membawa topik ini keluar dari bilik kuliah kepada wacana awam,” tambahnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi mempunyai peranan penting sebagai agen perubahan melalui penyelidikan, program tanam semula bakau, pemindahan ilmu dan latihan teknikal kepada komuniti pesisir.
Antara langkah strategik yang dicadangkan termasuklah mengarusperdanakan konsep karbon biru dalam dasar nasional, mewartakan kawasan bakau bernilai karbon tinggi sebagai zon perlindungan, memanfaatkan teknologi LiDAR, penderiaan jauh dan pemetaan satelit untuk pemantauan karbon, serta memberi insentif kepada komuniti tempatan yang aktif dalam pemuliharaan.
Beliau menegaskan bahawa melindungi hutan bakau bukan sekadar isu alam sekitar tetapi juga soal ekonomi dan masa depan negara.
“Hutan bakau ialah benteng semula jadi kita terhadap perubahan iklim,” katanya.
Beliau berharap usaha pemeliharaan hutan bakau dan pengiktirafan karbon biru di Malaysia tidak lagi menjadi agenda pinggiran, sebaliknya menjadi teras utama strategi pembangunan lestari negara.
“Jika hutan bakau dapat dijadikan aset karbon nasional yang strategik, kita bukan sahaja menyelamatkan iklim tetapi juga menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial generasi akan datang,” tegas beliau.
Sementara itu, kempen kesedaran sempena Hari Tropika Sedunia turut diadakan di UiTM Cawangan Perlis bagi menggalakkan pelajar menghargai peranan ekosistem tropika.

Mahasiswa menghasilkan poster kreatif bertemakan pemuliharaan tropika yang dihakimi oleh Encik Muhammad Akmal Roslani selaku ketua juri bersama-sama YBrs Dr. Tun Mohd Firdaus Azis dan Puan Norlin Shuhaime.
Tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Rieqbal Ahmad Shahbani diikuti Irish Muhaimin Khairul Shamsull di tempat kedua dan Muhammad Illyas Din Zainudin di tempat ketiga.

Hari Tropika Sedunia yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diraikan bagi mengiktiraf keunikan serta kepelbagaian luar biasa kawasan tropika dan menyoroti cabaran serta peluang yang dihadapi negara-negara dalam rantau ini.

Sambutan ini turut menjadi platform untuk menilai kemajuan di kawasan tropika, berkongsi kepakaran dan kisah kejayaan, serta menghargai potensi besar yang dimiliki wilayah beriklim tropika.