Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa di Planetary Health Annual Meeting (PHAM) 2025 di Rotterdam, Belanda pada 7 Oktober lalu atas inisiatif memperkenalkan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Pengiktirafan tersebut menandakan pengiktirafan global terhadap komitmen Malaysia dalam mengarusperdanakan pendekatan berasaskan sains untuk melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar.
PHAM merupakan acara tahunan anjuran Planetary Health Alliance yang menghimpunkan pakar sains, pembuat dasar dan aktivis alam sekitar dari seluruh dunia bagi membincangkan usaha menangani cabaran perubahan iklim serta kemerosotan ekosistem global.
Melalui pengiktirafan ini, Malaysia kini berada dalam kelompok kecil negara yang diiktiraf sebagai pelopor dalam mengamalkan prinsip kesihatan planet secara menyeluruh dan mampan.
Pelan NPHAP dimandatkan oleh Majlis Sains Negara pada tahun 2022 melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).
Pelan ini menjadi hala tuju baharu negara dalam memastikan pembangunan nasional kekal dalam batas kemampanan bumi berasaskan pendekatan whole-of-nation yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, termasuklah ahli akademik, pembuat dasar, golongan belia dan sektor perniagaan.
Dalam perutusan khasnya ke PHAM 2025, Menteri MOSTI, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut memperkukuh semangat Malaysia untuk terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam memastikan keseimbangan antara kesejahteraan manusia, kemampanan alam sekitar dengan daya tahan ekonomi.
Beliau menegaskan bahawa pelan itu direka bagi mengekalkan keharmonian antara keperluan pembangunan dengan tanggungjawab menjaga planet bumi demi generasi akan datang.

Presiden ASM, YBhg. Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula menjelaskan bahawa NPHAP akan menjadi panduan utama dalam merangka dasar kebangsaan yang bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi turut memastikan pemeliharaan alam semula jadi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Planetary Health Alliance, YBrs. Dr. Rachel Marcus menyifatkan inisiatif Malaysia sebagai contoh proaktif kepada dunia dalam melaksanakan tindakan konkrit terhadap isu kesihatan planet.
NPHAP akan memperincikan enam bidang utama yang diterjemahkan melalui 53 strategi dan 222 pelan tindakan bagi menyokong kesejahteraan rakyat serta kemampanan bumi.
Pelan tersebut dijangka dilancarkan secara rasmi pada National Planetary Health Forum akan datang sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha Malaysia menuju masa hadapan yang seimbang dan lestari.