Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKertas merupakan medium yang penting dalam kehidupan manusia. Cuba lihat di sekeliling anda, apakah bahan keperluan harian yang diperbuat daripada kertas? Kertas terdiri daripada pelbagai jenis seperti kertas pencetakan dan penulisan seperti kertas A4 yang biasanya dijual di kedai buku, kertas surat khabar, kertas majalah, kertas pembungkusan, malah mata wang Malaysia juga diperbuat daripada kertas.
Walaupun sebelum ini kita cuba bergerak ke arah sistem tanpa kertas yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan pada penggunaan kertas, namun permintaan kepada industri pembuatan kertas masih tinggi hingga hari ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kertas masih diperlukan, terutamanya sebagai dokumen penting dalam perekodan sesuatu data atau sokongan (backup) apabila berlaku masalah dalam sistem digital.
Semasa penularan COVID-19, penggunaan kertas telah meningkat berikutan peningkatan keperluan kertas pembungkusan dalam pembelian barang secara dalam talian. Oleh itu, penggunaan kertas tidak dapat dinafikan kepentingannya walaupun dalam dunia serba moden ini.
Pada dasarnya, setiap bahan yang terdiri daripada gentian seperti apa-apa jua jenis batang pokok, jerami padi, batang pokok pisang, tandan kosong kelapa sawit, batang tebu dan batang buluh dapat dijadikan sebagai bahan mentah untuk pembuatan kertas.
Potensi Buluh sebagai Bahan Mentah Pembuatan Kertas
Buluh merupakan sumber asli hutan yang sebelum ini dianggap sebagai pokok semak yang tumbuh di antara pokok besar di dalam hutan. Namun begitu, berikutan penyusutan sumber kayu sebagai bahan mentah dalam industri pulpa dan kertas, buluh dilihat berpotensi untuk dijadikan sebagai sumber bahan mentah alternatif. Hal ini kerana sifat gentian buluh yang hampir menyamai sifat gentian kayu, malah lebih baik daripada sesetengah spesies pokok. Gentian buluh yang lebih panjang dapat membantu menghasilkan kertas yang lebih kuat.
Tempoh umur matang untuk buluh dituai adalah lebih pendek, iaitu antara tiga tahun hingga lima tahun berbanding dengan spesies pokok lain yang memerlukan tempoh antara lapan tahun hingga 15 tahun kecuali fast growing species yang juga boleh dituai dalam masa empat tahun hingga enam tahun. Walau bagaimanapun, diameter pokok yang dihasilkan adalah lebih kecil berbanding dengan pokok yang berumur antara lapan tahun hingga 15 tahun.
Hasil daripada kajian yang dijalankan, kertas yang diperbuat daripada buluh menunjukkan sifat mekanikal yang kuat kerana gentian buluh yang panjang menambah luas permukaan gentian yang membantu dalam pengikatan antara gentian semasa proses pembuatan kertas. Buluh juga dapat tumbuh dengan subur hampir di semua keadaan tanah kecuali tanah berpasir. Keadaan ini menjadikan buluh mudah untuk ditanam dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Buluh hanya perlu dibaja pada tahun pertama dan tahun kedua bagi menghasilkan akar buluh yang kuat dan membolehkannya membesar dengan subur dan cepat.
Penulis berkesempatan melawat kawasan perladangan buluh di Sabal, Simunjan, Sarawak serta merakam gambar bersama-sama beberapa spesies buluh yang terdapat di kawasan tersebut.




Gambar yang seterusnya menunjukkan proses penghasilan kertas daripada buluh semantan (Gigantochloa scortechinii) dalam skala makmal. Pertama sekali, batang buluh perlu dituai dan dipotong bagi memudahkan proses memasukkan batang tersebut ke dalam mesin woodchipper. Proses ini menghasilkan cip buluh.



Seterusnya, cip buluh dimasukkan ke dalam alat penghadam yang menggunakan haba dan bahan alkali seperti natrium hidroksida. Tujuannya adalah untuk melarutkan kandungan lignin di dalam buluh dan mendapatkan gentian buluh. Proses ini dipanggil pemulpaan, iaitu proses menghasilkan pulpa atau gentian daripada sumber kayu ataupun bukan kayu.


Bagi penghasilan kertas dalam skala makmal, gentian buluh yang diperoleh akan dicampurkan dengan air bagi menghasilkan larutan gentian buluh. Beberapa proses tambahan boleh dilakukan seperti pemukulan gentian untuk meningkatkan kebolehlenturan, penambahan warna untuk menghasilkan kertas berwarna serta penambahan aditif bagi memberikan ciri tertentu seperti kalis air atau berpermukaan licin. Pada kebiasaannya, proses penghasilan kertas berskala makmal hanya melibatkan campuran air dan pemukulan gentian.
Larutan gentian buluh ini kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin pembuatan kertas sehingga terbentuk kertas buluh. Warna kertas yang terhasil bergantung pada kepekatan alkali yang digunakan semasa proses penghadaman cip buluh.


Akhir sekali, setelah melalui proses pengeringan, kertas buluh yang terhasil akan dipotong mengikut saiz tertentu bagi tujuan pengujian kekuatan kertas.

Cabaran Penggunaan Buluh sebagai Bahan Mentah Pembuatan Kertas
Di sebalik potensi buluh sebagai bahan mentah dalam pembuatan kertas, terdapat beberapa cabaran dalam pembuatan kertas secara komersial. Untuk memastikan kelestarian sumber buluh, manusia tidak boleh bergantung pada sumber buluh asli di dalam hutan sahaja kerana pengambilan buluh tanpa kawalan akan menyebabkan kehabisan sumber asli buluh. Oleh itu, perladangan buluh dalam skala yang besar amat penting bagi menjamin kelestarian sumber bahan mentah buluh.
Seperti yang diperhatikan pada rumpunan buluh di Malaysia, hampir semua spesies buluh tempatan tumbuh secara serumpun. Situasi ini berbeza dengan spesies buluh di China dan Jepun yang tumbuh secara sebatang. Dalam struktur rumpunan ini, buluh matang biasanya berada di bahagian dalam. Keadaan tersebut menimbulkan cabaran dalam proses penuaian kerana buluh muda di bahagian luar perlu ditebang terlebih dahulu untuk mendapatkan batang buluh matang di bahagian dalam, Walau bagaimanapun, buluh muda masih mempunyai kegunaannya, khususnya dalam pembuatan kraf tangan yang tidak memerlukan kekuatan gentian yang tinggi.
Buluh merupakan sumber bahan mentah yang berpotensi besar dalam industri pulpa dan kertas di Malaysia. Namun begitu, bagi menjamin kelestarian bekalan buluh sebagai bahan industri, penanaman serta perladangan secara komersial perlu dipertingkat dan tidak hanya bergantung pada sumber buluh dari hutan asli.
Profesor Madya Ts. Dr. Nurul Husna Mohd Hassan, Ketua Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Pahang Kampus Jengka.