Diterbitkan pada 21 September 2025, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mengungguli Pertandingan Poster Idea Inovatif dan Kreatif Antarabangsa 2025 (IICIPC 2025) apabila meraih sembilan pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam keputusan rasmi yang diumumkan secara dalam talian, semalam.

Keputusan rasmi IICIPC 2025  yang menunjukkan kejayaan kontinjen UiTM Cawangan Perlis merangkul sembilan pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Pertandingan yang julung-julung kali dianjurkan itu menjadi wadah penting bagi mengetengahkan hasil penyelidikan, teknologi dan inovasi pada peringkat serantau.

Penyertaan UiTM Cawangan Perlis dalam kategori Profesional: Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menyerlahkan keupayaan pensyarah dan mahasiswa menterjemahkan idea berimpak kepada penyelesaian praktikal yang bermanfaat untuk komuniti dan industri.

Sebanyak 12 produk inovasi terpilih dihantar oleh kontinjen UiTM Cawangan Perlis yang menggabungkan idea kreatif dan penyelidikan bernilai tinggi.

Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Perlis, Puan Nur Syafiqah Rahim menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti potensi besar kampus tersebut sebagai hab inovasi serantau.

“Kemenangan ini bukan sahaja mengiktiraf kerja keras pensyarah dan mahasiswa, malah memperkukuh profesionalisme pensyarah melalui bimbingan projek, selain memperluas kemahiran teknikal dan insaniah mahasiswa,” katanya dalam temu bual selepas pengumuman keputusan.

Puan Nur Syafiqah Rahim teruja dengan kejayaan UiTM Perlis dalam IICIPC 2025.

Beliau menambah bahawa kejayaan itu turut meningkatkan ketampakan UiTM Cawangan Perlis dalam bidang sains dan teknologi serta memupuk minat terhadap STEM dalam kalangan generasi muda.

“Inovasi yang lahir daripada penyelidikan di kampus mampu memberikan impak kepada komuniti serta menyokong agenda negara ke arah masyarakat berpengetahuan,” jelas beliau.

Pengarah IICIPC 2025, Encik Nadzri Salleh pula menyatakan bahawa pertandingan ini menyediakan platform untuk mempamerkan penyelidikan dan inovasi dalam format poster yang jelas dan berimpak.

Beliau turut mengingatkan peserta agar terus memperhalusi kualiti projek serta mengekalkan ketekunan dalam menghasilkan penyelesaian kreatif untuk cabaran masa hadapan.

Sebanyak 107 poster inovasi daripada Malaysia, Thailand dan Indonesia dipertandingkan yang dinilai secara profesional oleh 36 orang juri pakar bagi menjamin ketelusan dan standard tinggi.

IICIPC 2025 yang dianjurkan oleh MNNF Network dilihat sebagai wadah global untuk para pemikir, penyelidik, pendidik, pelajar dan golongan profesional untuk mempersembahkan idea asli serta kreatif melalui persembahan visual dalam bentuk poster.

Pertandingan ini terbuka kepada semua peringkat umur dan bidang, sekali gus menawarkan peluang kepada peserta untuk berkongsi idea serta penyelesaian terhadap isu dunia sebenar dalam bidang STEM serta sains sosial dan kemanusiaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi