Diterbitkan pada 19 September 2025, 17:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Camp Dream. Speak. Live., iaitu program terapi intensif, khusus untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami kegagapan.

Program yang berlangsung dari 15 September 2025 hingga 19 September 2025 itu merupakan program berkaitan dengan kegagapan yang pertama di Malaysia.

Program tersebut dianjurkan oleh Program Sains Pertuturan, UKM dengan kerjasama Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, FSK, UKM serta melibatkan kerjasama strategik dengan Arthur M. Blank Center for Stuttering Education and Research, University of Texas at Austin, sekali gus memastikan pendekatan yang digunakan menepati standard antarabangsa.

Pelaksanaan program tersebut diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Chu Shin Ying, pakar dalam bidang kegagapan dan gangguan pertuturan motor dari Program Sains Pertuturan, FSK, UKM dan dibantu oleh beberapa orang fasilitator yang terdiri daripada ahli terapi pertuturan tempatan yang telah menerima latihan khusus daripada pakar Arthur M. Blank Center for Stuttering Education and Research.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Chu Shin Ying, penganjuran program tersebut telah membuktikan komitmen UKM dalam menyokong komuniti yang memerlukan bantuan dan memberikan impak yang bermakna kepada kanak-kanak dan remaja di Malaysia yang menyertainya.

Ujar beliau,

UKM amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Arthur M. Blank Center for Stuttering Education and Research yang merupakan pelopor dalam bidang kegagapan kerana latihan yang diberikan membolehkan penganjur memperoleh pendekatan terkini yang terbukti berkesan kepada para peserta.

YBrs. Profesor Madya Dr. Chu Shin Ying ketika berinteraksi dengan para peserta dalam satu daripada sesi terapi.

Sepanjang program tersebut berlangsung, antara topik yang diketengahkan termasuklah hal berkaitan dengan pendedahan diri, bahasa dan keterbukaan tentang kegagapan, cara mengharungi kesukaran, cabaran bercakap serta pengurusan emosi dan keyakinan diri.

Peserta menjalani aktiviti “What I Wish People Knew About Stuttering” yang menekankan tentang keterbukaan dan keyakinan diri.

Sebanyak empat orang ahli terapi swasta turut menyumbang tenaga dalam menjayakan program berkenaan, iaitu Choong Xiao Ping, Eh Yee Ling, Preeta A/P Rajandran dan Cho Kai Shuo.

Sebagai tanda penghargaan, semua peserta diberikan pingat setelah berjaya menamatkan program intensif yang berlangsung selama lima hari tersebut.

Para peserta menerima pingat sebagai tanda penghargaan setelah berjaya menamatkan program terapi intensif selama lima hari.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi