Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangWuduk merupakan ibadah asas yang ditetapkan sebagai syarat sah bagi solat, tawaf dan memegang mashaf al-Quran. Pensyariatan ini ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam ayat keenam dalam Surah al-Ma’idah serta hadis Rasulullah SAW yang bermaksud sesorang yang ingin menunaikan solat adalah wajib untuk bersuci dari segala hadas.
Hal ini menunjukkan bahawa wuduk merupakan lambang ketaatan seorang hamba serta persediaan rohani dan jasmani untuk menghadap Allah SWT. Amalan berwuduk yang diamalkan secara berterusan mendidik umat Islam memelihara kesucian diri, sambil menanam disiplin dan membentuk keteraturan dalam kehidupan seharian.
Dari sudut praktikal, wuduk mendatangkan manfaat yang besar kepada kesihatan fizikal dan mental. Sentuhan air pada kulit merangsang peredaran darah, menurunkan tekanan serta meningkatkan tumpuan, sebagaimana dibuktikan oleh kajian perubatan dan psikologi moden. Keadaan ini memperlihatkan bahawa syariat Islam mendahului konsep kebersihan dan pencegahan penyakit yang menjadi prinsip utama kesihatan awam pada masa ini.
Dari perspektif kerohanian pula, wuduk melengkapkan penyucian batin melalui niat dan doa yang mendekatkan hati kepada Allah SWT. Usaha ini turut menghubungkan dimensi fizikal dan kerohanian manusia. Wuduk seterusnya membentuk kesedaran kolektif tentang kepentingan menjaga kebersihan diri dan persekitaran, seiring dengan maqasid shariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Sains dan Hikmah Kesihatan di Sebalik Amalan Wuduk
Wuduk merupakan amalan penyucian diri yang disyariatkan dalam Islam sebagai syarat sah ibadah seperti solat. Namun begitu, pensyariatan ini tidak hanya menekankan aspek kerohanian, bahkan turut mengandungi hikmah kesihatan yang diakui oleh kajian moden.
Anggota wuduk seperti muka, tangan dan kaki merupakan bahagian tubuh yang paling kerap terdedah kepada kotoran dan bakteria. Membasuhnya secara berulang kali, pada setiap hari membantu mengekalkan kebersihan, mengurangkan risiko jangkitan serta mencegah penyakit kulit. Dalam hal ini, wuduk telah mendahului prinsip kesihatan awam moden yang menekankan pencegahan penyakit melalui kebersihan diri.
Selain aspek pencegahan, wuduk memberikan kesan positif terhadap sistem fisiologi dan kesihatan kulit. Sentuhan air pada anggota tertentu merangsang peredaran darah, menstabilkan tekanan serta memberikan kesegaran. Berkumur dan istinsyaq pula membantu membersihkan mulut serta saluran pernafasan daripada bakteria dan habuk, manakala basuhan pada wajah memberikan kelembapan semula jadi yang bermanfaat kepada kesihatan mata dan kulit. Dari sudut neurologi, air sejuk yang menyentuh kulit dapat mengaktifkan saraf parasimpatetik yang menenangkan tubuh, sekali gus berfungsi sebagai terapi semula jadi untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan fokus.
Hikmah wuduk juga merangkumi keseimbangan jasmani dan rohani. Pembersihan diri secara fizikal disertai dengan niat dan doa membangkitkan kesedaran bahawa seseorang sedang mempersiapkan diri untuk menghadap Allah SWT. Amalan ini menanam disiplin, meningkatkan ketenangan batin serta membentuk budaya hidup sihat yang konsisten.
Kejuruteraan Air Bersih dan Teknologi Rawatan Air
Air merupakan keperluan asas manusia yang digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan seperti minuman, pertanian, industri dan kesihatan awam. Dalam Islam, air turut diberikan kedudukan yang istimewa kerana menjadi syarat utama bagi ibadah seperti wuduk dan mandi wajib. Oleh sebab itu, penyediaan air bersih perlu diuruskan dengan teliti melalui pendekatan sains dan kejuruteraan.
Bidang kejuruteraan air bersih merangkumi perancangan, pengurusan, rawatan serta pengagihan air bagi memastikan kualitinya selamat dan menepati piawaian kesihatan. Proses rawatan bermula daripada pengambilan air mentah yang mengandungi pelbagai bahan cemar, sebelum melalui peringkat koagulasi, pemendapan, penapisan dan pembasmian kuman bagi menyingkirkan kotoran serta mikroorganisma berbahaya.
Kemajuan teknologi turut memperkenalkan kaedah lanjutan seperti osmosis songsang, penapisan membran dan nanoteknologi yang berupaya menyingkirkan bahan cemar halus, termasuklah logam berat dan virus. Selain aspek rawatan, sistem pengagihan air yang efisien juga penting bagi menjamin kualiti dan kuantiti bekalan sehingga sampai kepada pengguna. Dalam konteks Islam, isu penyediaan air bersih mempunyai kaitan langsung dengan kesahan ibadah kerana air yang digunakan mestilah air mutlak yang suci lagi menyucikan. Oleh itu, kejuruteraan air tidak hanya menjawab keperluan saintifik dan teknikal, bahkan selari dengan tuntutan syariat.
Namun demikian, cabaran seperti pencemaran sumber, pertumbuhan penduduk, kos operasi rawatan yang tinggi dan kesan perubahan iklim terus wujud. Untuk mengatasi hal ini, pendekatan lestari seperti teknologi penjimatan, kitar semula air dan penggunaan sumber alternatif perlu diperkembangkan.
Integrasi Perspektif Islam dengan Teknologi Kejuruteraan Air
Dalam konteks moden, teknologi kejuruteraan air berperanan memastikan ketersediaan sumber yang selamat melalui rawatan, pengagihan dan pemuliharaan. Integrasi antara prinsip Islam dengan teknologi ini membolehkan usaha kejuruteraan air tidak hanya berfokuskan keberkesanan teknikal tetapi turut berpaksikan maqasid syariah serta prinsip kebersihan, kesederhanaan dan kelestarian.
Teknologi rawatan air moden seperti penapisan membran, osmosis songsang dan rawatan biologi dapat dilihat sebagai manifestasi ikhtiar manusia untuk memenuhi tuntutan syariat. Proses ini memastikan air yang digunakan menepati ciri air mutlak menurut fiqh, sekali gus menyempurnakan ibadah umat Islam.
Pada masa yang sama, Islam menuntut penggunaan air secara sederhana dan melarang pembaziran. Prinsip ini seiring dengan inovasi teknologi terkini seperti smart water management, pengumpulan air hujan dan sistem kitar semula yang menekankan kecekapan serta pengurangan ketirisan. Integrasi ini menunjukkan bahawa Islam dan teknologi berkongsi matlamat dalam menjaga nyawa, kesihatan awam serta keseimbangan ekosistem.
Selain aspek teknikal, integrasi Islam dengan kejuruteraan air turut merangkumi keadilan sosial dan pembangunan masyarakat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa manusia berkongsi tiga perkara iaitu air, rumput dan api menekankan akan hak asasi terhadap akses air bersih. Teknologi moden mampu menyokong prinsip ini melalui sistem agihan yang cekap untuk semua lapisan masyarakat, termasuklah golongan pedalaman dan miskin. Konsep wakaf air yang diamalkan sejak zaman klasik juga boleh diperluaskan dengan membiayai loji rawatan mini atau sistem penapisan mesra alam bagi manfaat awam.
Keseluruhannya, integrasi perspektif Islam dengan teknologi kejuruteraan air membuktikan bahawa agama dan sains saling melengkapi. Islam menyediakan asas etika dan kerohanian, manakala teknologi memberikan penyelesaian saintifik yang praktikal. Gabungan kedua-duanya melahirkan pengurusan air yang bersih, adil, lestari serta menepati tuntutan syariah demi kesejahteraan umat dan kelestarian alam.
Mohd Azmani Firdaus Abd Razak Husin, Abdul Alief Irfan Abdul Khalim Khapi dan Nur Maryam Norazam,
Pusat Pengajian Pascasiswazah,
UiTM Cawangan Johor,
Kampus Pasir Gudang.