Diterbitkan pada 13 September 2025, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Program berprestij, The 7th International Innovation, Design and Articulation 2025 (7th i-IDeA 2025) yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah memasuki edisi ketujuh, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti ini dalam memupuk budaya inovasi, menyerlahkan kreativiti inovator, memperkasakan pengembangan ilmu pengetahuan dan memperkukuh kerjasama pada peringkat nasional dan global.

Pertandingan inovasi tersebut telah berlangsung pada 9 September 2025 hingga 11 September 2025 di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Acara dwitahunan tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail yang mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor dalam Majlis Perasmian Penutup pada 11 September 2025.

Dalam ucapannya, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail menegaskan bahawa i-IDeA 2025 kali ke-7 itu bukan sekadar pertandingan semata-mata, sebaliknya merupakan platform strategik berteraskan inovasi yang membuka ruang penemuan dan perkongsian ilmu.

YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail ketika berucap di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Melalui penganjuran program ini, para pelajar, penyelidik dan ahli profesional diperkasakan untuk menterjemahkan idea baharu kepada penyelesaian yang memberikan impak bermakna kepada masyarakat.

Tambah beliau, program tersebut juga mencerminkan aspirasi UiTM Cawangan Perlis untuk terus muncul sebagai pusat kecemerlangan dalam inovasi dan pembangunan bakat, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem inovasi negara.

Ujarnya lagi,

Tema program, iaitu “Empowering Research, Innovation Ideas and Entrepreneurship Towards Sustainable Economy”  menekankan keperluan mendesak untuk memanfaatkan penyelidikan dan inovasi bukan sahaja bagi memperkukuh kemajuan akademik, malah sebagai pemangkin keusahawanan yang mampu membentuk ekonomi yang berdaya tahan dan mampan.

Beliau turut menekankan bahawa dalam dunia yang saling berhubung pada masa ini, kemampanan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak.

Katanya,

Dengan memperkasakan penyelidik dan inovator, kita berhasrat untuk melahirkan penyelesaian yang mampu menangani cabaran global, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim meluangkan masa meninjau produk inovasi yang dihasilkan oleh para peserta di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Sementara itu, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur 7th i-IDeA 2025, Puan Nur Syafiqah Rahim menyatakan bahawa kerjasama antara pihak akademia dengan industri amat penting bagi menterjemahkan hasil penyelidikan kepada aplikasi dunia sebenar yang memberikan manfaat kepada masyarakat serta merancakkan pembangunan ekonomi negara.

Puan Nur Syafiqah Rahim ketika menyampaikan ucapan di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Katanya, penganjuran program ini membuka peluang yang luas untuk komersialisasi dan jalinan kerjasama strategik, sekali gus menghubungkan para inovator dengan pihak industri dan agensi kerajaan.

Kata beliau,

Usaha ini diyakini mampu mempercepat proses daripada pembentukan idea sehingga memberikan impak sebenar serta memastikan inovasi tidak hanya terhenti di makmal, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Pertandingan inovasi 7th i-IDeA 2025 telah menyediakan tiga program bercorak pertandingan inovasi yang terdiri daripada Crown, Crystal dan ComiiC yang menarik penyertaan dari peringkat sekolah rendah hingga peringkat profesional.

Kemeriahan para peserta membentangkan hasil kajian dan produk masing-masing di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.
Peserta acara Crystal yang terdiri daripada pelajar sekolah semasa menyediakan bahan pembentangan menarik di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.
Para peserta ComiiC ketika membentangkan produk inovasi secara dalam talian.

Pertandingan tersebut juga menyediakan pelbagai anugerah menarik seperti Anugerah Emas, Perak dan Gangsa; Anugerah Khas dan Anugerah Berlian serta Anugerah Pembentangan Terbaik dan Inovasi Terbaik yang dipilih oleh rakan strategik.

Pembentangan produk inovasi berasaskan mangga harum manis dalam acara Crown adalah antara sesi yang menarik perhatian.
Pembentangan produk inovasi berasaskan gamifikasi dalam pendidikan mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Sejumlah 227 produk inovasi telah berjaya dibentangkan oleh para peserta serta sebanyak 39 rakan strategik dan penaja turut menyertai program ini.

Antara rakan strategik dan penaja yang turut hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan 7th i-IDeA 2025 ialah ADTEC JTM Kampus Taiping; Institut Kemahiran MARA, Sik; Universiti Malaysia Sarawak; McDonald’s Arau DT; 2M World Sdn. Bhd.; UiTM Cawangan Pulau Pinang; CHEMBIO Technology Sdn. Bhd.; Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Selangor; ADTEC JTM Kampus Kangar; Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP); Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Teknologi (UNIMAP); Centre of Excellent Micro System Technology, MICTEC (UNIMAP); Aafiyat Marketing Sdn. Bhd. dan The Malaysian Solid-State Science and Technology Society (MASS).

Program 7th i-IDeA 2025 turut menarik perhatian para peserta dari luar negara seperti Thailand dan Indonesia serta para peserta dalam negara dari pelbagai negeri.

Program 7th i-IDeA 2025 berjaya menarik penyertaan dari luar negara.
Barisan juri ketika menyertai taklimat yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Roziana Mohamed Hanaphi di Bilik Latihan Pentadbiran, UiTM Cawangan Perlis.

Turut menyertai Majlis Perasmian Penutupan 7th i-IDeA 2025 ialah Ketua Juri 7th i-IDeA 2025, YBrs. Profesor Madya Dr. Haji Khamirul Amin Matori; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perlis, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh; Pengerusi I, YBrs. Dr. Ang Lee Sin; Ketua Pengarah Crown, YBrs. Dr. Rozilah Rajmi; Ketua Pengarah Crystal, YBrs. Dr. Mohammad Saifulddin Mohd Azami dan Ketua Pengarah ComiiC, YBrs. Dr. Syaimak Ismail serta tetamu undangan lain.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi