Diterbitkan pada 5 September 2025, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Dalam usaha untuk memperkasakan budaya sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan generasi muda, Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Sarawak telah diadakan di CIDB Convention Centre Sarawak, Kuching.

Program tersebut telah menghimpunkan lebih daripada 1300 orang peserta dengan penyertaan dari 80 buah sekolah di seluruh negeri Sarawak, sekali gus menzahirkan komitmen masyarakat terhadap pembangunan bakat muda dalam bidang STI.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, program anjuran pihaknya itu kini telah memasuki tahun keempat penganjuran sejak tahun 2022, dengan purata penyertaan tahunan mencecah hampir 1.4 juta.

Kata MOSTI,

Malaysia Techlympics merupakan platform strategik MOSTI untuk membudayakan STI melalui kaedah pembelajaran berasaskan pertandingan interaktif.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Puan Ruziah Shafei dalam ucapannya berkata, pelaksanaan Malaysia Techlympics adalah selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dengan memberikan tumpuan kepada kemahiran masa hadapan seperti kecerdasan buatan, pengekodan, teknologi dron, pengkomputeran awan dan bidang digital lain yang berimpak tinggi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Puan Ruziah Shafei ketika berucap dalam Majlis Perasmian Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Sarawak.

Tambah beliau, MOSTI yakin bahawa pendedahan awal ini mampu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Puan Ruziah Shafei ketika menyempurnakan gimik perasmian majlis.

Ujarnya,

Hingga kini, lebih daripada 2500 orang pelajar dan 89 orang guru dari Sarawak telah menerima manfaat melalui program jangkauan keterangkuman (Outreach), termasuklah latihan Training of Trainers (ToT) secara fizikal dan dalam talian.

Dalam kenyataan itu juga, MOSTI turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak serta semua agensi yang secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penganjuran program tersebut pada kali ini.

Katanya lagi, Malaysia Techlympics akan terus diperluas sebagai wadah penting bagi memperkukuh minat generasi muda terhadap STI, di samping menyemai kreativiti dan inovasi yang bakal menjadi pemacu pembangunan negara.

Kredit Foto: MOSTI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi