Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam bidang penyiasatan jenayah moden, bukti forensik memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha membongkar kebenaran. Antara pelbagai bentuk bukti saintifik yang tersedia, analisis asid deoksiribonukleik (DNA) merupakan kaedah yang paling meluas digunakan.
Hasil analisis DNA lazimnya diyakini ketepatannya dan diterima sebagai bahan bukti sah dalam prosiding mahkamah. Sejak diperkenalkan pada tahun 1980-an, teknologi ini telah banyak membantu pihak berkuasa dalam mengesan suspek, mengesahkan identiti mangsa serta membebaskan individu yang tersalah sabit atau tersalah tuduh dalam sesuatu kes.
Dalam kalangan masyarakat umum, DNA sering difahami melalui konsep cap jari genetik yang dikaitkan dengan identiti seseorang. Walau bagaimanapun, proses untuk mendapatkan, menganalisis dan mentafsirkan bukti DNA melibatkan prosedur yang kompleks serta memerlukan kepakaran yang khusus.
Konsep dan Kaedah Asas Analisis DNA dalam Forensik
DNA merupakan bahan genetik yang wujud hampir dalam setiap sel manusia. Struktur DNA mengandungi kod unik yang menentukan ciri fizikal serta biologi individu.
Dalam bidang forensik, bahagian DNA yang sering digunakan untuk tujuan pengenalpastian ialah kawasan tidak mengekod protein tetapi mengandungi pola berulang yang dikenali sebagai tandem pendek berulang atau short tandem repeats (STRs). Pola STR ini berbeza antara individu dan sangat berguna bagi tujuan pengecaman identiti.
Analisis DNA dalam bidang forensik dilaksanakan melalui beberapa langkah yang teratur, bermula dengan proses ekstraksi DNA. Pada peringkat ini, DNA diasingkan daripada sel dalam bahan bukti seperti darah, air liur, rambut, kulit atau cecair tubuh lain.
Setelah DNA berjaya diasingkan, DNA akan melalui proses kuantifikasi untuk mengukur jumlah DNA yang diperoleh. Langkah ini penting bagi memastikan sampel DNA yang dianalisis mencukupi dan berkualiti.
Seterusnya, proses amplifikasi dijalankan menggunakan teknik tindak balas rantai polimerase atau polymerase chain reaction (PCR). Teknik ini berfungsi untuk menggandakan bahagian STR sehingga jumlahnya mencukupi untuk dianalisis dengan ketepatan tinggi.
Setelah itu, DNA yang telah diamplifikasi melalui proses pemisahan dan pengesanan menggunakan kaedah elektroforesis kapilari. Kaedah ini memisahkan STR mengikut saiz sehingga menghasilkan profil DNA yang jelas.
Langkah terakhir ialah perbandingan profil DNA. Profil yang diperoleh daripada bahan bukti akan dibandingkan dengan profil rujukan, sama ada daripada suspek, mangsa, ataupun pangkalan data DNA yang tersedia. Hasil perbandingan ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti individu yang terlibat atau membuktikan bahawa seseorang tidak berkaitan dengan kejadian yang disiasat.
Pengumpulan, Analisis dan Pentafsiran Bukti DNA oleh Pihak Berkuasa
Pengumpulan bukti DNA di tempat kejadian jenayah menuntut prosedur yang sangat teliti bagi mengelakkan sebarang bentuk pencemaran. Di Malaysia, tugas ini lazimnya dilaksanakan oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlatih untuk melakukan siasatan serta mengambil sampel berkaitan.
Semasa berada di lokasi kejadian, pegawai forensik diwajibkan menggunakan kelengkapan perlindungan diri atau personal protective equipment (PPE) seperti sarung tangan steril, pelitup muka serta peralatan pengambilan sampel yang steril. Setiap bahan bukti yang diperoleh perlu dilabel, dibungkus dan direkodkan mengikut prosedur rantai pengawasan (chain of custody) bagi memastikan integriti bukti tidak terjejas.
Sumber bukti DNA di tempat kejadian boleh hadir dalam pelbagai bentuk, sama ada dalam bentuk cecair tubuh seperti darah, air mani, air liur, peluh, cecair faraj dan air kencing. Selain itu, rambut yang mengandungi akar, sel kulit yang tertinggal pada objek serta tulang atau gigi dalam kes mayat reput turut berpotensi menjadi bahan bukti penting. Misalnya, dalam kes yang melibatkan penggunaan senjata tumpul, sel kulit mangsa atau suspek berkemungkinan ditemukan pada permukaan senjata tersebut.
Sampel yang dikumpul akan dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis. Di Malaysia, analisis ini lazimnya dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM) atau makmal polis yang diiktiraf.
Setelah profil DNA diperoleh, profil tersebut akan dibandingkan dengan profil suspek, mangsa atau pangkalan data DNA yang diselenggarakan oleh PDRM dengan kerjasama JKM. Pangkalan data ini diwujudkan berasaskan Akta Identifikasi DNA 2009 (Akta 699) yang mula dikuatkuasakan pada tahun 2012.
Pentafsiran bukti DNA memerlukan kepakaran dalam bidang biologi molekul dan statistik. Hasil analisis biasanya dinyatakan dalam bentuk kebarangkalian, contohnya “kemungkinan profil DNA ini dimiliki oleh individu lain yang tidak berkaitan ialah 1 dalam 10 bilion”. Angka ini menunjukkan bahawa kebarangkalian dua individu rawak berkongsi profil DNA yang sama adalah amat kecil, sekali gus mengukuhkan nilai bukti DNA dalam siasatan jenayah.
Peranan Bukti DNA dalam Proses Kehakiman
Bukti DNA berfungsi sebagai instrumen penting dalam pelbagai situasi penyiasatan jenayah, khususnya dalam mengaitkan suspek dengan kejadian atau menghubungkan suspek dengan mangsa dan lokasi kejadian. Apabila profil DNA yang diperoleh daripada bahan bukti seperti senjata atau pakaian mangsa sepadan dengan profil suspek, kesepadanan tersebut dapat menguatkan hujah bahawa suspek berada di tempat kejadian atau mempunyai kaitan langsung dengan mangsa.
Selain menghubungkan suspek dengan kejadian, DNA turut digunakan untuk tujuan pengesahan identiti mangsa. Kaedah ini menjadi sangat penting apabila pengenalpastian melalui wajah atau cap jari tidak lagi dapat dilakukan, contohnya dalam insiden bencana besar seperti nahas kapal terbang, tragedi maritim, runtuhan bangunan, banjir besar atau gempa bumi. Dalam keadaan sedemikian, sampel DNA daripada tulang, gigi, atau tisu mangsa boleh dibandingkan dengan DNA ahli keluarga terdekat untuk mengesahkan identiti.
Pada peringkat antarabangsa, teknologi DNA juga memainkan peranan besar dalam membebaskan individu yang tersilap disabitkan kesalahan. Analisis semula terhadap bukti DNA kadangkal membuktikan bahawa profil suspek tidak sepadan dengan pelaku jenayah sebenar, sekali gus menjadi asas kepada pengguguran sabitan.
Dalam kesalahan berat dan kes berprofil tinggi seperti rogol, pembunuhan, penculikan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, DNA sering dikemukakan sebagai bukti utama yang berwibawa dalam mahkamah. Walau bagaimanapun, bukti DNA tetap perlu disokong oleh bahan bukti lain seperti keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau data rekod komunikasi bagi memastikan kesimpulan kehakiman yang menyeluruh dan adil.
Cabaran dan Batasan Penggunaan DNA
Meskipun analisis DNA sering dianggap sebagai piawaian emas (gold standard) dalam bidang forensik, kaedah ini tidak terlepas daripada cabaran, kelemahan dan risiko tertentu. Antara isu utama yang sering dibincangkan termasuklah pencemaran dan ralat dalam analisis, salah tafsir terhadap kebarangkalian padanan DNA serta faktor degradasi yang menyebabkan DNA hilang atau rosak akibat persekitaran, haba atau bahan kimia.
Pencemaran dan ralat makmal boleh berlaku sekiranya prosedur pengumpulan atau analisis tidak mematuhi piawaian, sehingga menyebabkan pencemaran silang (cross contamination) yang berpotensi mengelirukan keputusan. Oleh itu, pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) amat diperlukan untuk memastikan ketepatan hasil analisis.
Walau bagaimanapun, bukti DNA tidak boleh dianggap sebagai penentu mutlak kesalahan atau ketidakbersalahan seseorang. Kebarangkalian padanan perlu ditafsir bersama-sama bukti sokongan lain seperti senjata yang ditemukan di lokasi, rakaman kamera litar tertutup, keterangan saksi, laporan bedah siasat serta bukti forensik lain yang berkaitan dengannya. Salah tafsir terhadap kebarangkalian statistik boleh menimbulkan risiko keputusan kehakiman yang tidak adil.
Di Malaysia, penggunaan bukti DNA tertakluk kepada Akta Identifikasi DNA 2009 yang menetapkan bahawa hanya makmal diiktiraf dibenarkan menjalankan analisis serta menyelia penyimpanan dan penggunaan data DNA. Pusat Analisis Sains Forensik Kimia Malaysia, JKM merupakan antara institusi utama yang melaksanakan tanggungjawab ini.
Walau bagaimanapun, timbul kebimbangan berhubung isu keselamatan maklumat, khususnya potensi penyalahgunaan data atau kebocoran maklumat peribadi. Dari sudut etika, profil DNA mengandungi maklumat genetik yang sangat sensitif dan menimbulkan risiko penggunaan di luar tujuan asal seperti diskriminasi pekerjaan atau penilaian insurans.
Selain aspek perundangan dan etika, terdapat juga batasan saintifik. Profil DNA yang tidak lengkap atau telah terdegradasi boleh mengehadkan keberkesanan analisis, sekali gus menyukarkan proses padanan yang konklusif. Bukti DNA sering ditemukan dalam jumlah yang amat kecil, dikenali sebagai bukti surih yang sangat mudah rosak atau hilang jika pengendalian tidak dilakukan secara berhati-hati.
Antara faktor utama yang mempercepat kerosakan DNA termasuklah suhu persekitaran. Kajian menunjukkan bahawa suhu melebihi 30 darjah Celsius mempercepat degradasi enzimatik dan kimia serta DNA dalam kesan darah merosot dua kali lebih cepat pada suhu 37 darjah Celsius berbanding dengan 20 darjah Celsius. Penyimpanan pada suhu beku -20 darjah Celsius pula dapat memperlahankan proses degradasi, namun tidak menghalangnya sepenuhnya kerana pembentukan kristal ais boleh menyebabkan kerosakan mekanikal pada struktur DNA.
Kelembapan persekitaran turut menyumbang kesan yang besar terhadap kestabilan DNA. Tahap kelembapan melebihi 70 peratus menggalakkan pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria Pseudomonas yang berupaya mencernakan DNA. Pendedahan terus kepada air juga boleh menyebabkan hidrolisis yang memutuskan ikatan fosfodiester pada rangka molekul DNA.
Selain itu, sinaran ultraungu (UV) daripada cahaya matahari berpotensi merosakkan DNA melalui pembentukan dimer timina yang menjadikan urutan DNA sukar dibaca semasa proses PCR. Kajian mendapati bahawa DNA yang terdedah di permukaan luar bangunan atau kawasan terbuka merosot lima kali lebih cepat berbanding dengan sampel yang disimpan dalam ruang tertutup.
Lantaran itu, faktor persekitaran menjadikan proses pengendalian, pengumpulan dan penyimpanan bahan bukti DNA dengan segera serta berhati-hati sebagai langkah yang sangat kritikal. Tindakan ini penting untuk memastikan integriti bukti forensik terpelihara sepanjang proses penyiasatan dan perbicaraan
Kesimpulannya. analisis DNA dalam bidang forensik telah membawa perubahan yang besar dalam landskap penyiasatan jenayah serta proses kehakiman. Teknologi ini membolehkan pihak berkuasa memastikan pelaku sebenar dibawa ke muka pengadilan, sekali gus melindungi individu yang tidak bersalah daripada sabitan yang tidak wajar. Walau bagaimanapun, seperti teknologi lain, penggunaannya menuntut tanggungjawab yang tinggi, berasaskan prinsip saintifik yang ketat serta dilindungi oleh kerangka undang-undang dan etika yang kukuh.
Masyarakat umum juga perlu memahami bahawa bukti DNA hanyalah satu daripada komponen dalam keseluruhan proses penyiasatan. Keadilan hanya dapat dicapai apabila semua bentuk bukti, sama ada saintifik, keterangan saksi atau dokumen sokongan diteliti dan dipertimbangkan secara menyeluruh. Melalui sokongan pendidikan yang berterusan, latihan profesional yang mantap serta undang-undang yang jelas, bukti DNA berpotensi untuk terus menjadi instrumen penting dalam usaha membanteras jenayah sambil memelihara hak asasi dan maruah setiap individu.
Profesor Madya Dr. Noor Hazfalinda Hamzah,
Pensyarah Perubatan,
Program Sains Forensik,
Pusat Kajian Diagnostik Teraputik dan Penyiasatan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.