Diterbitkan pada 1 September 2025, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Taiping – Komuniti orang kurang upaya (OKU) semakin mendapat pengiktirafan melalui perusahaan berasaskan komuniti yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah menjadi wadah pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang potensi mereka.

Anak Kita, sebuah perusahaan komuniti OKU yang diasaskan oleh Cikgu Intan Hazlina Shamsul Badri pada tahun 2020, tampil dengan identiti baharu apabila melancarkan logo terkininya, baru-baru ini.

Pelancaran tersebut berlangsung bersempena dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU di Taiping Mall yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong, Yang Berhormat (YB) Ong Seng Guan.

Logo ini dihasilkan hasil kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kepakaran YBrs. Profesor Dr. Salmi Mohd Isa dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan dan YBrs. Dr. Khauthar Ismail dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh.

Rekaan berkenaan disumbangkan secara profesional melalui geran dalaman Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) yang menekankan aspek pemasaran dan sensitiviti budaya.

Menurut YBrs. Profesor Dr. Salmi Mohd Isa, penjenamaan semula ini penting bagi meningkatkan keterlihatan Anak Kita di mata masyarakat dan memperkukuh kredibilitinya untuk menarik lebih banyak rakan kerjasama serta pelanggan.

Gambar bersama peserta yang berjaya menamatkan modul TVET OKU di bawah seliaan Anak Kita.

YBrs. Dr. Khauthar Ismail pula menegaskan bahawa logo tersebut membawa makna yang lebih mendalam kerana menjadi lambang kebersamaan, aspirasi dan harapan komuniti OKU.

Sokongan daripada institusi pendidikan tinggi ini menyerlahkan peranan akademia dalam memperkukuh ekosistem sosial, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan keempat yang menekankan akses pendidikan berkualiti dan peluang pembelajaran sepanjang hayat tanpa diskriminasi.

Kerjasama tersebut membuktikan bahawa gabungan kepakaran akademik dan aspirasi komuniti mampu menghasilkan nilai tambah yang melangkaui batas bilik kuliah.

Melalui identiti baharu ini, Anak Kita bertekad membina peluang ekonomi, menyemai solidariti, menongkah stigma dan mengangkat martabat komuniti OKU pada peringkat tempatan serta nasional.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi