Diterbitkan pada 29 Ogos 2025, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Seiring dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keperluan perkhidmatan digital dalam sektor awam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Bengkel Latihan Penyediaan Data Khidmat Nasihat Bahasa (KNB) bagi Pembangunan Bot Sembang DBP pada 26 Ogos 2025 hingga 28 Ogos 2025 di Hotel Royale Chulan.

Bengkel anjuran Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (JBBS), DBP dengan kerjasama Akademi DBP itu dilaksanakan dengan matlamat utama untuk memperkasakan pembangunan teknologi bahasa menerusi pendekatan pemprosesan bahasa tabii atau natural language processing (NLP) dan model bahasa pintar.

Program yang melibatkan 17 orang peserta daripada pelbagai jabatan di DBP itu bermatlamat untuk membangunkan bot sembang berasaskan Model Bahasa Besar (LLM) ChatGPT 4.0 sebagai persediaan untuk talaan halus (fine tuning) dalam pembangunan bot sembang yang efektif, mesra pengguna dan tepat dari segi linguistik.

Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, YBhg. Datuk Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP yang turut hadir dalam program tersebut menyatakan bahawa inisiatif ini dilaksanakan tepat pada masanya dan mampu memperkasakan teknologi bahasa kebangsaan.

Peserta bergambar bersama-sama YBhg. Datuk Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar, Ahli Lembaga Pengelola DBP yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu dikendalikan oleh penceramah dan fasilitator profesional dari Seksyen Data Raya, Bahagian Kementerian Digital, Jabatan Digital Negara, Ts. Meor Mohd Shahrulnizam Meor Sepli bagi berkongsikan ilmu serta panduan teknikal berkaitan dengan struktur dan analisis data berskala besar.

Sesi perkongsian yang disampaikan oleh Ts. Meor Mohd Shahrulnizam Meor Sepli mengenai pemprosesan data menggunakan Model Bahasa Besar.

Beliau turut dibantu oleh dua orang fasilitator berpengalaman, iaitu Ts. Dr. Rusnita Isnin @ Hamdan dan Ts. Haryani Mohd Rasidi yang bertanggungjawab dalam memberikan latihan secara langsung, menyelesaikan masalah teknikal peserta serta membimbing mereka membina komponen bot sembang secara berperingkat.

Peserta bengkel ketika dibimbing dan diberikan tunjuk ajar oleh penceramah dan fasilitator untuk membuat pengekodan dalam penghasilan bot sembang Khidmat Nasihat Bahasa DBP.

Dalam bengkel tersebut, para peserta juga didedahkan kepada pelbagai modul penting dan relevan, misalnya pengantar kepada LLM, kejuruteraan arahan serta kerangka penjanaan capaian terimbuh yang semakin meluas penggunaannya dalam pembangunan aplikasi berasaskan AI.

Bengkel ini bukan sahaja bersifat teori, tetapi turut menekankan aspek praktikal melalui sesi amali menggunakan platform bot sembang Live Helper Chat, selain dibimbing secara langsung untuk membina antara muka bot sembang, mengurus data serta memahami interaksi antara pengguna dengan sistem tersebut.

Selain itu, bengkel berkenaan turut merangkumi pembelajaran teknikal yang menyeluruh termasuklah penggunaan aplikasi seperti Command Prompt (CMD), Python dan XAMPP yang melibatkan MySQL dan Apache serta sesi pengenalan kepada pengekodan asas.

Peserta juga diberikan peluang untuk mengenal pasti dan menyelesaikan ralat dalam kod yang menjadi aspek penting dalam pembangunan sistem yang stabil dan boleh diguna pakai secara langsung.

Pada sesi akhir bengkel, pengujian awal bot sembang KNB yang telah dibina sepanjang tiga hari oleh peserta telah dilakukan bagi menilai fungsinya berdasarkan senario sebenar serta memberikan maklum balas untuk penambahbaikan pada fasa pembangunan seterusnya.

Sementara itu, Pengarah JBBS, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dalam ucapan penutupan bengkel tersebut menyatakan harapan beliau agar penganjuran bengkel seumpama ini akan menjadi titik tolak kepada usaha pemerkasaan teknologi bahasa dalam kalangan warga DBP.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed ketika menyampaikan ucapan penutupan bengkel di Bilik Labu, Aras M, Hotel Royale Chulan, Seremban, Negeri Sembilan.

Ujarnya,

Saya berharap agar dengan pelaksanaan bengkel ini, staf DBP yang terlibat dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk membina sistem khidmat nasihat bahasa yang lebih canggih, responsif dan berkesan, selari dengan keperluan semasa pengguna.

Melalui penganjuran bengkel ini juga, DBP menzahirkan komitmennya untuk terus memanfaatkan teknologi digital dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan linguistik.

Pembangunan bot sembang KNB diharapkan dapat menjadi inisiatif unggul DBP dalam menyediakan rujukan bahasa Melayu yang sahih, pantas dan mudah diakses oleh pengguna dari pelbagai latar belakang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi