Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila menyebut tentang hutan, apakah yang terbayang dalam fikiran anda? Bagi sebahagian orang, mereka mungkin berpandangan bahawa hutan merupakan sebuah lokasi perkelahan yang sejuk dan damai. Ada juga yang berpendapat bahawa hutan mungkin dilihat sebagai belantara misteri yang sarat dengan kisah legenda.
Namun demikian, pada hakikatnya, hutan lebih daripada sekadar pemandangan hijau yang menenangkan. Hutan merupakan sistem kehidupan yang kompleks dan penting untuk kelangsungan manusia serta hidupan liar.
Hutan berfungsi sebagai paru-paru dunia, menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen yang dihirup oleh manusia pada setiap hari. Hutan juga membantu untuk menstabilkan iklim, mengawal hakisan tanah dan menjadi tempat tinggal kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan.
Malaysia sangat bertuah kerana memiliki hutan hujan tropika yang tertua di dunia dan kaya dengan biodiversiti yang sukar ditandingi. Walau bagaimanapun, khazanah alam ini semakin terancam akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal dan pembangunan pesat.
Dalam dunia moden pada hari ini, pengurusan hutan secara lestari amat penting. Masyarakat tidak boleh sekadar mengambil hasil hutan tanpa memikirkan kesannya. Di sinilah konsep Pembalakan Berimpak Rendah atau Reduced Impact Logging (RIL) serta pensijilan hutan Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) untuk Pengurusan Hutan Mampan (SFM) memainkan peranan. Matlamatnya jelas, iaitu untuk memastikan kegiatan ekonomi seperti pembalakan dapat diteruskan tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem hutan.
Secara asasnya, pembalakan merupakan proses menebang pokok untuk kegunaan sebagai sumber kayu. Namun demikian, tidak semua teknik pembalakan adalah sama.
Kaedah tradisional sering meninggalkan kesan yang buruk. Tanah menjadi terhakis, cerun berisiko runtuh dan sungai dipenuhi dengan lumpur. Bayangkan seseorang itu mahu memetik sebiji mangga tetapi mematahkan dahan dan merosakkan seluruh pokoknya hanya untuk mendapatkan buah tersebut. Itulah gambaran kesan daripada aktiviti pembalakan berimpak tinggi.
Sebaliknya, RIL ialah kaedah yang lebih sistematik dan teliti. Pokok yang hendak ditebang dikenal pasti dengan lebih awal, laluan jentera dirancang supaya tidak mengganggu kawasan sensitif dan proses penebangan dilakukan dengan cara yang mengurangkan kerosakan pada pokok lain. Kaedah ini memerlukan perancangan rapi, termasuklah pemetaan bentuk muka bumi, sempadan kawasan pembalakan serta zon penampan sungai atau riparian.
Malaysia turut mengamalkan pensijilan hutan MC&I, iaitu set kriteria dan indikator yang memastikan sesuatu kawasan hutan diurus secara mampan. Selain melihat kawalan pembalakan, pensijilan ini turut mengambil kira hak masyarakat orang asal, perlindungan spesies terancam dan pemeliharaan kawasan tadahan air. Hutan yang mendapat sijil MC&I diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai kawasan yang diurus dengan bertanggungjawab.
Antara cabaran utama dalam mengawal pembalakan termasuklah keluasan hutan itu sendiri. Hutan bersaiz ratusan hektar adalah mustahil untuk diperiksa pada setiap sudut hanya dengan berjalan kaki oleh pegawai penguat kuasa. Di sinilah kepentingan teknologi dron yang membuka lembaran baharu dalam pemantauan dan penguatkuasaan. Kini, dron atau pesawat udara tanpa pemandu bukan lagi sekadar alat hiburan atau rakaman video.

Dalam bidang perhutanan, dron digunakan untuk mengambil gambar di udara beresolusi tinggi dan menghasilkan peta ortofoto, iaitu foto udara yang diselaraskan seperti peta sebenar. Teknologi ini membolehkan pegawai hutan melihat kawasan pembalakan dari sudut pandang atas, seolah-olah mereka sendiri sedang terbang di udara. Melalui data ini, mereka dapat mengesan kawasan yang terjejas, memeriksa sempadan lesen dan mengenal pasti sama ada kawasan perlindungan seperti zon sungai atau cerun curam telah diceroboh.
Terdapat kajian dijalankan di Kompartmen 82, Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah, iaitu hutan simpan kekal yang menjadi antara sumber air utama di utara Semenanjung Malaysia. Kajian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ini melibatkan kawasan seluas 65 hektar. Dron digunakan untuk mendapatkan imej ortofoto dan analisis digital surface model (DSM) pada tiga fasa berbeza, yakni sebelum, semasa dan selepas aktiviti pembalakan dijalankan.

Hasil kajian yang diperoleh amat memberangsangkan. Analisis menunjukkan bahawa hanya 18 peratus hingga 20 peratus kawasan terjejas akibat aktiviti pembalakan, sejajar dengan matlamat RIL yang mengekalkan sekurang-kurangnya 70 peratus litupan kanopi. Zon riparian kekal tidak terganggu, sekali gus membuktikan bahawa kawasan berhampiran dengan sungai dipelihara. Cerun curam juga tidak menunjukkan tanda kerosakan akibat aktiviti jentera menandakan laluan operasi telah dirancang dengan teliti.


Antara kejayaan utama di Kompartmen 82 termasuklah penggunaan kaedah log fisher. Kaedah ini menekankan penggunaan kabel atau jentera khas untuk menarik kayu keluar tanpa membina banyak jalan hutan yang baharu. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah mengurangkan kesan kerosakan pada tanah dan tumbuh-tumbuhan. Jabatan Perhutanan Negeri Kedah juga mewajibkan pembalak di Hutan Simpan Ulu Muda menggunakan kaedah ini bagi memastikan amalan RIL benar-benar dilaksanakan.

Penemuan ini memberikan isyarat bahawa pengurusan hutan di Malaysia mampu bergerak ke arah yang lebih moden dan berkesan. Gabungan teknologi dron dan amalan pembalakan berimpak rendah bukan sahaja mempercepat proses pemantauan, malah memberikan data yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk jangka masa panjang. Hutan ibarat buku terbuka yang menyimpan kisah jutaan tahun evolusi alam. Buku ini perlu dibaca, difahami dan dilindungi.
Dengan adanya bantuan teknologi seperti dron dan pendekatan berhemah seperti RIL, manusia dapat membangunkan sektor perhutanan tanpa mengorbankan kelestarian alam. Kajian yang dijalankan di Hutan Simpan Ulu Muda membuktikan bahawa sains boleh menjadi senjata penting dalam melindungi bumi. Kini, dron menjadi “mata” langit yang mendedahkan kebenaran bahawa manusia mampu memajukan alam, di samping mengekalkan keindahan dan keseimbangannya untuk manfaat generasi akan datang.
Azharizan Mohamad Norizan, Pegawai Penyelidik, Program Hutan Asli, Cawangan Pengurusan Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.
Zainuddin Jamaluddin, Pengarah, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Mohd Mustakim Semail, Penolong Pengarah, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Mohd Asri Yusof, Timbalan Pengarah Kanan (Operasi), Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.
Khairul Iman Zulkefly, Penolong Pegawai Penyelidik, Program Hutan Asli, Cawangan Pengurusan Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.