Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Menyedari akan situasi kritikal peningkatan jangkitan denggi yang berlaku di Malaysia saban tahun, Universiti Malaya (UM) bersama-sama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan menjalinkan kolaborasi penyelidikan berimpak tinggi bagi memantau populasi nyamuk aedes serta mengkaji tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya denggi di Perlis.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jutaan kes jangkitan denggi berlaku di seluruh dunia pada setiap tahun, manakala di Malaysia sahaja, puluhan ribu kes direkodkan dengan kawasan tropika yang panas dan lembap menjadi habitat ideal nyamuk aedes.

Ovitrap digunakan untuk memerangkap telur nyamuk yang diletakkan di beberapa kawasan terpilih di Perlis.

Kajian dijalankan dengan menggunakan ovitrap, iaitu sejenis perangkap telur nyamuk yang digunakan dalam kajian entomologi dan terbukti berkesan dalam mengesan kehadiran telur nyamuk aedes di kawasan berisiko.

Kolaborasi antara para penyelidik dari UM dan UiTM Cawangan Perlis dalam mengumpulkan data saintifik populasi nyamuk aedes di Perlis.

Beberapa lokasi utama seperti Arau, Chuping, Kangar, Kuala Perlis dan Kaki Bukit telah dikenal pasti sebagai tapak pemantauan dan lokasi kajian.

Data yang diperoleh akan digabungkan dengan soal selidik sosial untuk menilai pengetahuan, sikap dan amalan masyarakat terhadap pencegahan denggi.

Pada masa yang sama, Seminar Kesedaran Aedes dan Denggi turut dianjurkan di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis dengan menampilkan pakar entomologi perubatan UM, YBrs. Dr. Chen Chee Dhang.

YBrs. Dr. Chen Chee Dhang ketika menyampaikan ceramah di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Dalam sesi ceramahnya, beliau menjelaskan bahawa nyamuk mempunyai kitaran hidup sebanyak empat peringkat iaitu telur, larva, pupa dan dewasa.

“Keseluruhan kitaran hidup ini berlaku di dalam air dan boleh selesai dalam tempoh kurang daripada seminggu, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan mempunyai kelembapan yang tinggi,” katanya.

Ujarnya lagi, faktor persekitaran tersebut turut mempengaruhi kadar replikasi virus denggi di dalam badan nyamuk, sekali gus menjadikan penularan lebih pantas di kawasan tropika.

YBrs. Dr. Chen Chee Dhang juga menerangkan tiga kumpulan utama nyamuk aedes yang wujud di Malaysia, iaitu Aedes aegypti, Aedes albopictus dan Aedes niveus.

Aedes aegypti yang dominan di kawasan bandar dianggap sebagai vektor paling berbahaya kerana hubungannya yang rapat dengan manusia, manakala waktu aktifnya adalah sekitar pukul 6.00 pagi hingga 9.00 pagi serta 4.00 petang hingga 8.00 petang.

“Kanak-kanak yang berumur antara dua tahun hingga 13 tahun paling terdedah kepada jangkitan denggi kerana mereka kerap berada di luar rumah pada waktu ini, selain sistem imunisasi mereka yang lebih rendah,” ujar YBrs. Dr. Chen Chee Dhang.

YBrs. Dr. Chen Chee Dhang menguji tahap pemahaman asas para peserta tentang fakta dan mitos nyamuk aedes dan denggi.

Dari segi kawalan, beliau mencadangkan penggunaan larvasid Abate® yang disyorkan oleh WHO sebagai kaedah yang lebih berkesan berbanding dengan kaedah tradisional menabur garam.

“Abate® dapat mengawal pertumbuhan larva di dalam air yang bertakung antara dua bulan hingga tiga bulan dengan kesan minimum pada organisma lain,” katanya.

Namun demikian, beliau turut memberikan amaran tentang bahaya kerintangan racun serangga kerana penggunaan berterusan racun dengan bahan aktif yang sama boleh menyebabkan populasi aedes membina rintangan genetik.

Tegasnya,

Pastikan anda membaca label ramuan aktif pada produk racun serangga sebelum membuat pembelian supaya keberkesanan kawalan tidak terjejas.

Sesi soal jawab antara para penyelidik yang hadir dengan YBrs. Dr. Chen Chee Dhang.

Selain penggunaan bahan kimia, beliau turut mengingatkan kepada masyarakat agar mengamalkan langkah pencegahan kendiri seperti memakai pakaian yang cerah dan menutup anggota badan, menggunakan kelambu, memasang skrin di tingkap, tidur dengan menggunakan jaring nyamuk serta menghapuskan tempat pembiakan air bertakung di dalam dan di luar rumah.

Ujarnya,

Penghapusan tempat pembiakan nyamuk adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya pihak berkuasa, dan kesedaran serta tindakan kolektif masyarakat merupakan usaha utama untuk melawan jangkitan denggi.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim dalam ucapannya menegaskan bahawa kolaborasi antara dua universiti ini membuktikan penyelidikan boleh diterjemahkan kepada manfaat masyarakat.

YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim ketika berucap di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

“Nyamuk aedes bukan sahaja isu biologi, tetapi isu masyarakat, yakni penyelidikan ini memberikan data saintifik yang penting, namun yang lebih utama ialah bagaimanakah hasil kajian dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk bertindak?” katanya sambil menegaskan bahawa denggi tidak mengenal sempadan dan usaha untuk memeranginya memerlukan ilmu, kesedaran dan tanggungjawab bersama.

Tambah beliau, kolaborasi antara UM dengan UiTM Cawangan Perlis juga perlu dikekalkan serta diperkukuh kerana gabungan kepakaran inilah yang mampu menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

Mengulas lanjut, UiTM Cawangan Perlis sentiasa memberikan komitmen yang tinggi untuk meneruskan usaha sebegini dalam menurunkan kes denggi melalui integrasi sains, kerjasama akademik dan kesedaran masyarakat.

Pada masa yang sama, Pengarah Program, YBrs. Dr. Roziana Mohamed Hanaphi menjelaskan bahawa objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkukuh jalinan kolaborasi penyelidikan antara UiTM Cawangan Perlis dengan UM, khususnya dalam bidang entomologi perubatan dan pengawalan vektor.

Ujar beliau,

Pelaksanaan projek komuniti bersama yang melibatkan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis dan EntomoBio Research Laboratory, UM membolehkan masyarakat menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam memerangi denggi.

Sesi kolaborasi tersebut melibatkan penyelidik dari UM, iaitu YBrs. Dr. Lee Kian Mun; YBrs. Dr. Nurul Ashikin Abdullah; Puan Dhania Abdul Rahim; Encik Abdul Aziz Mohd Khazahir; Encik Muhammad Irfan Zaim Yazrin dan Encik Emerald Kieth Anak Menai, manakala penyelidik dari Unit Biologi, UiTM Cawangan Perlis terdiri daripada YBrs. Dr. Roziana Mohamed Hanaphi; YBrs. Dr. Nur Maisarah Sarizan; YBrs. Dr. Khairunnisa Ahmad Kamil; Puan Zainab Razali; Puan Nor Atikah Husna Ahmad Nasir; Puan Nur Syafiqah Rahim; Puan Sarina Mohamad; Encik Muhammad Syukri Noor Azman dan Encik Muhammad Azhar Zulkffle.

Turut hadir ialah barisan para pensyarah, mahasiswa, penyelidik dan tetamu undangan lain.

Dari kiri: YBrs. Dr. Chen Chee Dhang, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim dan YBrs. Dr Roziana Mohamed Hanaphi semasa sesi penyampaian cenderamata.
Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi