Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Kursus Penjagaan Kolam Ikan yang berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Port Dickson anjuran Jom Makcik Sdn. Bhd. memberikan pendedahan kepada asas akuakultur, selain membuka peluang kepada PAWE untuk menjana pendapatan tambahan melalui penternakan ikan secara kecil-kecilan.
Sebanyak 30 orang warga emas telah menyertai kursus yang dianjurkan oleh perusahaan sosial berstatus PEMULA@UKM itu dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia di bawah Dana Perusahaan Sosial Hasanah 2024 (HSEF 2024).

Hasil ternakan ikan tersebut berpotensi digunakan untuk menyokong kos operasi pusat, menganjurkan lebih banyak program untuk warga emas serta menjadi sumber dana kebajikan komuniti.
Sebagai modal awal penternakan, PAWE Port Dickson menerima sumbangan dua buah kolam ikan yang dilengkapi dengan sistem penurasan serta 200 ekor ikan keli hasil HSEF 2024.
Kursus tersebut juga diyakini memberikan impak yang besar terhadap kesejahteraan warga emas dan komuniti, terutamanya dari segi kesihatan mental dan fizikal kerana dapat membantu mengurangkan rasa kesunyian, di samping menyihatkan badan.
Dari sudut ekonomi pula, PAWE Port Dickson berpeluang menjana sumber pendapatan baharu, manakala peserta berpeluang mengembangkan hobi ini menjadi usaha kecil, sekali gus menyumbang kepada kelestarian komuniti dengan mengeratkan hubungan sesama warga emas serta mewujudkan ekosistem sokongan antara wanita, golongan muda dengan warga emas.
Dalam kursus yang dikendalikan oleh Ts. Imran Affandi Baki, pensyarah dari Politeknik Sandakan itu, para peserta diperkenalkan dengan aspek kualiti air, pemakanan ikan, pengurusan kolam serta potensi ekonomi ternakan spesies popular seperti keli, tilapia dan patin.

Dalam sesi perkongsian itu juga, beliau menekankan aspek penjagaan kolam, pemberian makanan dan rutin harian yang sistematik untuk menjamin keberhasilan penternakan ikan, di samping memberikan tunjuk ajar mengenai pemasangan kolam dan kaedah penjagaan ikan keli kepada para peserta.

Program yang turut mendapat suntikan tenaga daripada para pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjalani latihan industri di syarikat Jom Makcik ini telah memberikan nilai tambah dengan menghubungkan warga emas dan generasi muda melalui budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Kerjasama intergenerasi ini terserlah apabila warga emas PAWE Port Dickson bersama-sama pelajar program Terapi Cara kerja UKM berganding bahu untuk menyiapkan projek kolam ikan, sekali gus mencerminkan hubungan yang erat antara kedua-dua generasi tersebut.

Dengan adanya sokongan daripada Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan Malaysia serta kerjasama PAWE Port Dickson, program ini diharapkan dapat dijadikan sebagai model kepada inisiatif yang serupa di seluruh negara.
