Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri dan Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK) dengan kerjasama UiTM Technoventure Sdn. Bhd. telah menganjurkan The 15th Seminar on Innovation and Creativity 2025 (SIC-15TH), semalam.
“Masyarakat pada hari ini menjalani kehidupan dalam era yang penuh dengan cabaran dan perubahan seperti perkembangan teknologi yang pesat, perubahan iklim, cabaran ekonomi global dan tuntutan masyarakat yang semakin kompleks, sekali gus memerlukan kita untuk sentiasa bersedia dengan penyelesaian yang kreatif,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor ketika merasmikan SIC-15TH di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa inovasi menjadi keperluan mutlak yang menjadi denyut nadi kepada kemajuan sesebuah negara.
Ujarnya,
Tanpa inovasi, kita akan ketinggalan dan hanya menjadi pengikut kepada negara lain dan kita bukan sahaja mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan adanya inovasi, malah berpotensi menjadi pencetus trend pada peringkat global.
Beliau juga berkata, inovasi memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan pelbagai masalah harian dapat diselesaikan dengan idea baharu yang kreatif.

Katanya,
Apabila inovasi yang dihasilkan dapat dilaksanakan, hal ini membawa perubahan positif yang nyata dengan mempercepatkan perkhidmatan, mengurangkan kos, meningkatkan keselamatan dan seterusnya memberikan manfaat kepada semua lapisan rakyat.
Mengulas tentang kepentingan inovasi kepada warga pendidik, beliau berkata, inovasi juga menjadi nadi penting dalam meningkatkan profesionalisme para pensyarah.
“Dalam dunia akademik, seorang pensyarah bukan hanya berperanan sebagai pendidik di bilik kuliah, malah menjadi penyelidik, perunding dan pembimbing generasi pada masa hadapan,” jelasnya.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri dan Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran atas inisiatif untuk menyemarakkan aktiviti inovasi dalam ekosistem UiTM Cawangan Perlis,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, Puan Nur Syafiqah Rahim dalam ucapan alu-aluan pula berkata, inovasi mempunyai pelbagai nilai tambah yang baik untuk pembangunan kerjaya seorang pensyarah.

Beliau berkata, melalui pelibatan dalam projek inovasi, para pensyarah mendapat pelbagai manfaat, misalnya memperkaya kaedah pengajaran dengan pendekatan terkini; memperluas jaringan kolaborasi akademik dan industri; menghasilkan penerbitan, hak cipta atau paten yang meningkatkan reputasi akademik serta menjadi model peranan kepada pelajar dalam aspek kreativiti, daya tahan dan keberanian mencuba.
“Apabila pensyarah aktif berinovasi, hal ini akan menyuburkan budaya ilmu yang dinamik di universiti, sekali gus membentuk pelajar berfikiran kritis dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia yang sebenar,” kata beliau.



Sebanyak 17 produk berimpak telah diadili dalam SIC-15TH pada kali ini dengan pembentangan secara fizikal di hadapan tiga orang juri, iaitu Mantan Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Latisha Asmaak Shafie; Ketua Pusat Pengajian Pascasiswazah, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nurul Ain Mohd Zaki dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohammad Hafiz Ismail.
SIC-15TH menyaksikan produk Annona Repellent telah dinobatkan sebagai juara, manakala naib juara disandang oleh produk GET: A Novel Solution for Industrial Wastewater Treatment dan produk HELIXPRENEUR mendapat tempat ketiga.

Beberapa produk inovasi yang dipertandingkan dalam SIC-15TH juga telah dikenal pasti untuk dikomersialkan ke pasaran luar.
Turut hadir ialah Pengerusi I SIC-15TH, YBrs. Dr. Muhammad Zharfan Mohd Halizan 2025; Pengerusi II SIC-15TH, Puan Dyia Syaleyana Md. Syukri; Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Muhammad Faiz Pa’suya; Koordinator Unit Penerbitan dan Kecemerlangan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Azliana Ramli; para penyelidik dan pelajar latihan industri universiti berkenaan.