Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 21:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) sekali lagi menganjurkan Program Mobiliti Tropic Nature and Heritage 2025 yang mempertemukan pelajar antarabangsa untuk mendalami ilmu alam semula jadi serta warisan budaya Malaysia.

Program ini menghimpunkan seramai 23 pelajar antarabangsa yang terdiri daripada tujuh pelajar Chiba University, Jepun dan 16 pelajar Liverpool John Moores University (LJMU), United Kingdom.

Sepanjang dua minggu penganjuran, peserta terlibat dalam siri aktiviti akademik, kebudayaan dan lawatan lapangan yang dirancang khusus bagi memperluas kefahaman mereka tentang kepelbagaian geologi, sejarah dan pemuliharaan warisan tropika negara.

Pada minggu pertama, pendedahan dimulakan dengan bengkel tarian tradisional di Pusat Kebudayaan UKM (PUSKEB) yang memperkenalkan peserta kepada tarian zapin dan joget sebagai antara seni persembahan Melayu yang masih diamalkan.

Pengalaman budaya tersebut disusuli lawatan ke Perbadanan Putrajaya bagi meneliti inisiatif perancangan bandar moden selain mengunjungi Masjid Putra yang menjadi mercu tanda seni bina Islam negara.

Kesedaran tentang pertanian pula diperoleh melalui kunjungan ke Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) yang menampilkan amalan tanaman herba, penghasilan madu kelulut serta pengurusan ladang nanas, termasuklah varieti MD2 yang terkenal dalam pasaran global.

Peserta Program Tropic Nature and Heritage 2025 bergambar kenangan di MAEPS, Serdang semasa lawatan ke ladang nanas dan kawasan ternakan madu kelulut.

Lawatan ke Kuala Lumpur melengkapkan pengenalan awal dengan pendedahan kepada tarikan ikonik seperti Pasar Seni dan Menara Berkembar Petronas, sebelum peserta menghadiri kuliah pakar UKM mengenai teori geologi, sejarah dan pemuliharaan sebagai persiapan ke Langkawi.

Minggu kedua membawa peserta ke Langkawi bermula 11 Ogos 2025 untuk menyusuri paya bakau di Kilim Karst Geoforest Park, sebuah tapak UNESCO Global Geopark yang memperlihatkan ekosistem bakau, formasi batu kapur jutaan tahun serta habitat hidupan liar.

Perjalanan lapangan diteruskan ke Machinchang Cambrian Geoforest Park yang menampilkan landskap geologi berusia lebih 550 juta tahun, di mana peserta menaiki kereta kabel untuk menikmati panorama pulau sambil memahami proses pembentukan bumi.

Kunjungan ke Telaga Tujuh pula melengkapkan siri penerokaan alam semula jadi Langkawi yang terkenal dengan keindahan serta nilai geologinya.

Selain aspek geografi, program ini turut memberi ruang kepada peserta berinteraksi dengan murid sekolah tempatan melalui aktiviti pendidikan bagi memupuk minat terhadap ilmu, pengantarabangsaan dan kelestarian.

Pengalaman mereka diperluas dengan aktiviti “Life As a Farmer” di sawah padi yang memberi peluang merasai kehidupan sebagai pesawah dan memahami tradisi pertanian masyarakat setempat.

Keseluruhan pengalaman diperkukuh melalui pembentangan akademik mengenai pengaruh alam sekitar terhadap tamadun manusia sebelum peserta berpeluang bersantai di Pantai Cenang.

Acara kemuncak program diraikan dengan majlis makan malam perpisahan yang berlangsung di Langkawi sebagai penutup tirai mobiliti ini.

Koordinator program, Profesor Madya Dr. Tanot Unjah bersama-sama Timbalan Pengarah UKM Global yang turut mengiringi peserta berkongsikan bahawa pelibatan pelajar antarabangsa dalam program sebegini bukan sahaja memberikan pengalaman transformatif, malah mengeratkan lagi hubungan akademik antara UKM dengan Chiba University dan LJMU.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi