Diterbitkan pada 15 Ogos 2025, 19:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Chelmsford – Tiga orang penyelidik dari Malaysia telah berjaya memperoleh geran perjalanan South Asia Ageing Network (SAAgeNet) Research Fellow Knowledge Exchange/Training Visit berjumlah RM30,000.00 yang dianjurkan di Anglia Ruskin University (ARU), United Kingdom, sekali gus memperkukuh jaringan global dengan pakar antarabangsa.

Bengkel intensif yang ditaja oleh UK Research and Innovation (UKRI) itu menghimpunkan sebanyak 40 orang felow penyelidik dari Malaysia, Pakistan, Bangladesh, India, Nepal dan United Kingdom.

Sekitar sesi latihan “knowledge exchange” yang menggabungkan pembentangan penyelidikan, perancangan kolaborasi dan pengenalan kaedah pengeluaran bersama (coproduction) untuk pelibatan komuniti.

Peserta dari Malaysia terdiri daripada YBrs. Profesor Madya Dr. Ashril Yusof dan YBrs. Dr. Khong Teng Keen dari Universiti Malaya serta YBrs. Dr. Mohd Azzuan Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang membawa kepakaran dalam bidang sains kesihatan, penuaan sihat dan pemakanan berasaskan komuniti untuk dikongsikan bersama-sama rakan penyelidik antarabangsa.

Menurut YBrs. Dr. Mohd Azzuan Ahmad, penyertaan dalam program ini mampu memperluas kerjasama global, memberikan pendedahan kepada model latihan penyelidikan yang berintegrasi antara akademia, sektor awam, komuniti dan industri, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang penuaan sihat dan kesihatan planet.

Kemuncak program berlangsung pada 13 Ogos 2025 hingga 15 Ogos 2025 di Writtle Campus, satu daripada kampus ARU yang terkenal dengan persekitaran hijau seluas lebih daripada 250 ekar, lengkap dengan kemudahan pusat sains kesihatan, kelestarian kesejahteraan serta kemudahan riadah seperti tasik dan trek flora yang unik, sekali gus menyediakan suasana yang kondusif bagi mengadakan sesi perbincangan, perancangan projek dan penghasilan idea penyelidikan inovatif.

Pemandangan Writtle Campus yang menjadi lokasi utama latihan, lengkap dengan ladang komuniti dan kemudahan pusat pendidikan makanan yang menyokong penyelidikan berorientasikan kelestarian.

Sepanjang bengkel SAAgeNet berlangsung, latihan yang diberikan memberikan fokus kepada pertukaran pengetahuan dan pembinaan rangkaian penyelidikan bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang penuaan sihat dan cabaran kesihatan sejagat berkaitan dengan perubahan iklim.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah sesi perbandingan cabaran kesihatan populasi warga emas di Asia Selatan dan United Kingdom serta latihan kaedah pengeluaran bersama (coproduction) untuk pelibatan awam dalam penyelidikan, perancangan projek bersama dalam tema kesihatan planet, ekonomi kitaran dan intervensi gaya hidup berasaskan herba seperti Phytomedicine.

Pada masa yang sama, para peserta turut didedahkan kepada perkongsian penyelidikan oleh rangkaian Food4Years dan Cognitive Frailty Interdisciplinary Network, di samping membentangkan perspektif negara masing-masing dalam sesi “Country Perspectives” yang menyentuh isu seperti penuaan sihat, pemakanan lestari, penggunaan herba berantioksidan, diet untuk mengurangkan kerapuhan dan kesan perubahan persekitaran terhadap corak pemakanan dalam kalangan warga emas.

Tidak ketinggalan, latihan tersebut turut memberikan penekanan kepada strategi pembinaan konsortium untuk permohonan geran penyelidikan antarabangsa.

Bagi Malaysia, penyertaan berkenaan bukan sahaja meningkatkan keupayaan penyelidik tempatan dalam mendapatkan pembiayaan luar, malah berupaya membangunkan penyelidikan yang berimpak tinggi.

ARU yang menjadi tuan rumah merupakan universiti awam bertaraf global, terkenal dengan pendekatan penyelidikan berorientasikan komuniti serta komitmen terhadap kelestarian yang terbukti melalui pengurusan kampus hijau yang menyokong pendidikan, penyelidikan dan pelibatan masyarakat.

Dengan adanya reputasi kukuh dalam bidang kesihatan, kelestarian dan inovasi, ARU menyediakan platform strategik bagi menjalin kerjasama akademik untuk jangka masa panjang.

Pelibatan Malaysia dalam latihan ini memberikan pelbagai manfaat strategik termasuklah pemindahan ilmu melalui akses kepada amalan terbaik penyelidikan antarabangsa; pembentukan rangkaian global yang melibatkan pelbagai disiplin dan negara; peluasan peluang memperoleh dana penyelidikan luar negara serta pengukuhan bukti saintifik untuk menyokong dasar kesihatan awam dan pembangunan komuniti mesra warga emas.

Latihan ini juga membuktikan bahawa kolaborasi rentas negara dan disiplin adalah kunci bagi menangani isu kompleks seperti penuaan populasi dan kesihatan planet.

Dengan sokongan UKRI dan rangkaian SAAgeNet, Malaysia kini berada pada landasan yang lebih kukuh untuk membangunkan penyelidikan yang relevan, berimpak dan memberikan manfaat terus kepada masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi