Diterbitkan pada 9 Ogos 2025, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Dalam dunia yang semakin moden dan bergantung pada makanan yang diproses, aspek keselamatan makanan semakin mendapat perhatian dalam media massa.

Pensyarah dalam bidang biologi dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Puan Nur Syafiqah Rahim merangkap Ketua Juri Pertandingan Mereka Poster Kreatif bersempena dengan Hari Keselamatan Makanan Sedunia pada peringkat UiTM Cawangan Perlis ketika ditemu ramah oleh penulis berkata, masih banyak pengguna yang tidak menyedari bahawa pilihan makanan harian mereka sebenarnya boleh menjadi punca kepada pelbagai penyakit kronik, termasuklah kanser.

Puan Nur Syafiqah Rahim ketika ditemu ramah oleh penulis.

Dari sudut biologi, beliau menyatakan bahawa keselamatan makanan merujuk makanan yang bebas daripada sebarang bahan atau mikroorganisma berbahaya seperti bakteria, virus, parasit, kulat atau bahan toksik.

Ujar beliau,

Keselamatan makanan bukan sekadar isu dapur atau kebersihan, malah menjadi benteng pertahanan pertama kepada kesihatan awam.

Menurutnya lagi, keselamatan makanan yang terjamin akan menyokong kestabilan ekonomi, sekali gus memastikan kelangsungan import dan eksport produk makanan antara pelbagai negara serta menampung keperluan populasi dunia yang semakin bertambah.

Lebih membimbangkan, beliau memaklumkan bahawa pencemaran makanan atau penggunaan bahan tambahan tertentu berisiko mempengaruhi kesihatan genetik seseorang.

Jelasnya,

Bahan kimia tertentu bersifat karsinogenik boleh mengganggu sistem genetik di dalam badan, menyebabkan mutasi asid deoksiribonukleik (DNA) serta mengganggu kitaran hormon yang akhirnya mengaktifkan pertumbuhan sel kanser.

Beliau turut menyenaraikan beberapa bahan di dalam makanan yang telah dikenal pasti menyumbang kepada risiko kanser, misalnya elemen nitrat dan nitrit di dalam daging yang diproses, yang boleh berubah menjadi nitrosamina, iaitu sebatian kimia karsinogenik.

Selain itu, pengawet sintetik seperti hidroksianisol berbutil dan hidroksitoluen berbutil, pewarna tiruan, akrilamida yang terbentuk semasa menggoreng makanan pada suhu tinggi, aflatoksin daripada kulat di dalam bijirin serta kekacang adalah antara bahan yang perlu dielakkan.

Pemerhatian terhadap sel kanser esofagus menunjukkan bahawa amalan pemakanan yang tidak selamat berpotensi meningkatkan risiko kanser.

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan bahawa bukan hanya kandungan makanan yang memberikan risiko, tetapi cara penyediaan dan penyimpanan makanan turut mempengaruhi seseorang itu menghidap kanser.

Tegasnya,

Penyimpanan yang tidak betul boleh menyebabkan pertumbuhan kulat atau bakteria, misalnya teknik memasak seperti menggoreng terlalu lama berupaya menghasilkan bahan toksik seperti akrilamida.

Tambah beliau, penggunaan bekas plastik yang tidak sesuai untuk memanaskan makanan juga berpotensi menyebabkan pencemaran kimia yang berbahaya.

Beliau berpandangan bahawa masyarakat perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan makanan yang dimakan setiap hari dengan membaca label pada makanan dan mengelakkan bahan tambahan yang berisiko, selain memastikan kebersihan semasa memasak dan mengikut prinsip first in, first out agar makanan tidak tamat tempoh tanpa disedari.

Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan biologi sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap isu ini.

Beliau juga percaya bahawa apabila pelajar memahami proses biokimia di dalam badan dan kesan bahan karsinogen terhadap sel, mereka akan lebih cenderung membuat pilihan makanan yang lebih bijak dan berdasarkan ilmu, bukan sekadar trend ataupun iklan.

Ujar beliau,

Pelajar perlu didedahkan kepada mekanisme penyakit, terutamanya kanser yang berpunca daripada mutasi DNA kerana apabila mereka memahami mikrobiologi makanan, toksikologi dan metabolisme bahan kimia, maka pemikiran kritikal mereka akan lebih berkembang, sekali gus mengubah cara mereka melihat makanan.

Eksperimen ke atas sel kanser di dalam inkubator menekankan keperluan keselamatan makanan sebagai langkah pencegahan awal.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai untuk mengutamakan makanan yang segar dan mengurangkan pengambilan makanan yang diproses serta mengelakkan pembelian makanan yang tidak dibungkus atau tidak diketahui sumbernya.

Katanya lagi,

Simpan makanan sejuk di bawah empat darjah Celsius dan memasak makanan dengan suhu yang secukupnya serta mengelakkan teknik memasak yang menghasilkan toksin seperti membakar sehingga hangus.

Beliau juga menegaskan agar kebersihan ketika memasak haruslah diutamakan seperti mencuci tangan serta memastikan peralatan dan permukaan tempat menyediakan makanan adalah bersih.

Proses penjurian bagi Pertandingan Mereka Poster Kreatif dijalankan secara dalam talian yang diketuai oleh Puan Nur Syafiqah Rahim dan dibantu oleh Puan Dyia Syaleyana Md Shukri dari Fakulti Sains Gunaan (bidang kimia) dan Puan Nor Atikah Husna Ahmad Nasir dari Fakulti Sains Gunaan (bidang mikrobiologi).

Juara bagi Pertandingan Mereka Poster Kreatif menjadi milik Puan Alyaa Najihah Imran.
Peserta menunjukkan poster yang direka bersempena dengan Hari Keselamatan Makanan Sedunia di Dewan Kuliah 4, UiTM Cawangan Perlis.

Hari Keselamatan Makanan Sedunia dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan makanan dan menggalakkan tindakan bagi mencegah, mengesan dan mengurus risiko keselamatan makanan.

Kredit Foto: Puan Nur Syafiqah Rahim.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi