Diterbitkan pada 7 Ogos 2025, 21:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang menambah baik kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di stesen kereta api lama di luar bandar.

Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat (YB) Anthony Loke Sew Fook ketika di Dewan Rakyat berkata, setakat 30 April 2025, kemudahan lif di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Tanjung Malim dan Stesen KTM Batu Gajah telah siap dibina.

Menurut beliau, kerajaan amat prihatin dan sentiasa menitikberatkan aspek kebolehcapaian (aksesibiliti), keterangkuman (inklusiviti) dan kebolehpercayaan dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya bagi kumpulan rentan, termasuklah dalam kalangan OKU.

Ujarnya,

Kemudahan lif di Stesen KTM Padang Besar, Stesen KTM Bukit Ketri, Stesen KTM Kodiang, Stesen KTM Kobah, Stesen KTM Sungkai, Stesen KTM Slim River, Stesen KTM Batang Kali, Stesen KTM Rasa dan Stesen KTM Serendah dalam proses pembinaan, manakala proses perolehan sedang dilakukan bagi Stesen KTM Bagan Serai, Stesen KTM Tapah Road, Stesen KTM Padang Rengas, Stesen KTM Batang Melaka, Stesen KTM Seputeh, Stesen KTM Segambut dan Stesen KTM Petaling.

Beliau juga menyatakan bahawa sebahagian besar daripada terminal dan stesen dalam sistem rel di bandar telah dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU seperti lif OKU, jubin sentuh (tactile paving), tandas OKU dan butang lif bertulisan Braille.

Kata beliau,

Sebagai contoh, kesemua 36 Stesen Transit Laju Massa (MRT) Laluan Putrajaya dan 29 Stesen MRT Laluan Kajang telah dibina dengan ciri mesra OKU sejak awal pengoperasiannya,

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Syerleena Abdul Rashid yang meminta Menteri Pengangkutan untuk menyatakan usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memudahkan akses pengguna OKU dalam menggunakan pengangkutan awam sepertimana di Korea, yakni bahasa isyarat dan tulisan Braille disertakan dalam sistem pengumuman di stesen dan pengangkutan massa.

Dalam perkembangan yang sama, YB Anthony Loke Sew Fook turut menambah kenyataannya bahawa operator pengangkutan rel yang lain juga sentiasa melakukan penambahbaikan dari aspek keperluan OKU di stesen dan terminal sedia ada berdasarkan Laporan Audit Aksesibiliti Pengangkutan Awam yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengangkutan di bawah Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa sistem pengangkutan rel di Malaysia pada masa ini masih belum melaksanakan pengumuman dalam bahasa isyarat secara visual.

Jelasnya,

Sebarang pemakluman berkaitan dengan maklumat terkini tentang perjalanan dan kecemasan sentiasa dipaparkan di papan tanda dan monitor digital di stesen dan pengangkutan rel sebagai panduan kepada semua pengguna termasuklah golongan OKU.

Beliau juga menyatakan bahawa operator perkhidmatan rel sentiasa menyediakan latihan kepada petugas barisan hadapan dalam membantu dan memudah cara keperluan golongan OKU bagi memastikan bantuan yang sewajarnya dapat diberikan kepada mereka secara profesional, empati dan efisien.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi