Diterbitkan pada 6 Ogos 2025, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila mencatatkan sebanyak 62 386 permohonan menerusi Sistem UPUOnline sehingga Mei 2025.

UTeM berjaya membuktikan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang TVET.

Naib Canselor UTeM, YBrs. Profesor Datuk Ts. Dr .Massila Kamalrudin berkata, angka berkenaan adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dan jumlah itu mencerminkan trend peningkatan minat terhadap pengajian tinggi berteraskan TVET dalam kalangan pelajar di Malaysia.

Naib Canselor UTeM, YBrs. Profesor Datuk Ts. Dr .Massila Kamalrudin.

Menurut beliau, data ini juga menunjukkan TVET semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar dan ibu bapa yang melihat masa depan cerah dalam bidang teknikal dan vokasional.

Daripada jumlah keseluruhan permohonan itu, 24 575 adalah daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala selebihnya, iaitu 37 812 permohonan adalah daripada lepasan STPM, matrikulasi, diploma dan setaraf.

“Data ini menunjukkan minat yang mendalam terhadap program lanjutan teknikal yang bukan hanya terbatas kepada lepasan sekolah menengah semata-mata,” katanya lagi.

Menurut Dr Massila, TVET kini bukan lagi pilihan kedua, malah telah menjadi fenomena baharu dalam landskap pendidikan negara apabila pelajar dan ibu bapa kini sedar akan peluang kerjaya luas dan stabil yang ditawarkan dalam bidang tersebut.

Tambahnya lagi, pertumbuhan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor industri turut menjadi pemangkin kepada lonjakan permohonan ke program TVET di UTeM dan institusi pengajian tinggi lain.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan UTeM sebagai Universiti TVET Terbaik di Malaysia menjadi antara faktor utama penarik kepada para pelajar di samping reputasi cemerlang universiti itu pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang telah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan.

“Kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) UTeM 2024 yang mencecah 98.1 peratus serta kejayaan meraih anugerah Employers’ Choice of University Award membuktikan kualiti dan kepercayaan industri terhadap graduan kami,” katanya.

YBrs. Profesor Datuk Ts. Dr .Massila Kamalrudin turut menyatakan bahawa pelaksanaan Pelan Strategik 2023–2025 UTeM dengan Teras 1: Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya menjadi hala tuju yang jelas dan progresif bagi menjadikan UTeM sebagai pusat kecemerlangan TVET negara.

“UTeM kini terus komited memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, sejajar dengan agenda negara ke arah pemodenan industri dan kemajuan teknologi,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi