Diterbitkan pada 5 Ogos 2025, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –Semakin banyak kanak-kanak prasekolah di Malaysia berdepan dengan masalah kurang berat badan dan tabiat memilih makan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pakar kesihatan.

Laporan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 15.3 peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun mengalami masalah kurang berat badan, manakala 21.2 peratus pula mengalami tumbesaran terbantut.

Bagi menangani isu ini, satu program pendidikan pemakanan secara hibrid telah dilaksanakan dengan pendekatan gabungan pembelajaran fizikal dan digital yang lebih fleksibel untuk ibu bapa.

Program yang dinamakan SNACK ini digerakkan oleh Kumpulan Penyelidikan Universiti Advokasi Gaya Hidup Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Tabika KEMAS di sekitar Kuala Lumpur.

Modul program dirangka dengan pelbagai bentuk pengisian seperti seminar, webinar, video pendek, infografik, sesi bimbingan dalam talian dan aktiviti bersemuka seperti demonstrasi memasak yang melibatkan penyertaan ibu bapa dan kanak-kanak

Pendekatan program ini turut melibatkan komponen psikologi pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

Sesi berkaitan pendekatan psikologi ini dikendalikan oleh ahli psikologi klinikal berpengalaman yang membantu ibu bapa memahami corak tingkah laku makan anak serta cara mengendalikannya dengan berkesan.

Menurut Ketua Penyelidik Program SNACK, YBrs. Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf, pendekatan hibrid yang diperkenalkan ini dilihat lebih praktikal, efisien dan sesuai untuk ibu bapa di kawasan bandar yang sering berhadapan dengan kekangan masa dan mobiliti.

“Kami dapati bahawa gabungan bimbingan secara maya dan sesi bersemuka secara fizikal mendapat sambutan lebih baik daripada ibu bapa untuk mendapat maklumat daripada pakar dalam bidang pemakanan, dietetik dan ahli psikologi,” jelas beliau.

“Saya menyukai sesi pendidikan yang diberikan, ringkas, padat dan senang difahami. Saya kini lebih yakin menyediakan makanan yang sihat dan menarik untuk anak saya,” kata seorang ibu peserta dari Bukit Jalil.

Sesi demonstrasi masakan dengan resipi khas makanan untuk menarik minat kanak-kanak makan dan membantu menaikkan berat badan.
Sesi pendidikan pemakanan secara digital
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi