Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 18:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan telah selesai menjalankan kajian kebolehlaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga rendah karbon untuk jangka masa panjang di negara ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kajian prakebolehlaksanaan tenaga nuklear yang dijalankan bermula Jun 2024 hingga Disember 2024 menunjukkan keputusan yang positif.

Menurut beliau,

Kajian itu merumuskan bahawa penggunaan tenaga nuklear adalah berdaya maju untuk dilaksanakan dari segi teknikal dan berpotensi menjadi pilihan jangka masa panjang yang sesuai untuk campuran tenaga negara.

Katanya lagi,

Dalam kajian yang sama, sebanyak 24 penemuan utama dan 22 syor strategik telah dikenal pasti dan harus dilaksanakan untuk mencapai hasrat negara bagi memperkenalkan tenaga nuklear dalam campuran tenaga negara.

Berdasarkan perolehan dapatan positif itu, beliau juga menyatakan bahawa kerajaan kini sedang meneliti laluan pelaksanaan yang sesuai untuk fasa yang seterusnya dalam hal yang berkaitan dengan penggunaan tenaga nuklear, selaras dengan piawaian antarabangsa dalam aspek keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan nuklear.

Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan yang dikemukakan oleh YB Tuan Haji Muhammad Ismi Mat Taib (PN–Parit) yang meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan sama ada sebarang kajian komprehensif dilakukan berkenaan dengan penggunaan tenaga nuklear pada masa akan datang.

Tambah beliau,

Untuk menyokong fasa seterusnya dalam penggunaan nuklear, kerajaan sedang melaksanakan Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPower) sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur tenaga nuklear negara, menjalin kerjasama strategik serta memperkukuh rangka kerja perundangan dan kawal selia.

Jelasnya, hal tersebut turut merangkumi tindakan penilaian tapak, strategi kerjasama dengan pihak berkepentingan dan meningkatkan pembangunan modal insan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi