Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 2 Ogos 2025, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Reformasi perkhidmatan kesihatan negara menjadi sebahagian daripada keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan sebanyak RM 40 bilion, iaitu 6.55 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan bagi hala tuju sektor itu dalam tempoh lima tahun mendatang.

Peruntukan tersebut merangkumi pelaksanaan mekanisme kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan tanggungan sendiri oleh rakyat (out of pocket expenses) untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Ujar Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan rancangan berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis, sistem kesihatan awam negara kini semakin terbeban dengan pelbagai cabaran semasa.

Jelas beliau, antara isu yang dihadapi termasuklah inflasi perubatan, peningkatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit (NCD) serta penuaan populasi yang memberikan tekanan kepada sistem sedia ada.

“Reformasi kesihatan ialah ikhtiar penting kerajaan untuk memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan akses penjagaan kesihatan yang lebih meluas serta terangkum,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaannya turut bertujuan memberikan pilihan perkhidmatan kesihatan kepada pengguna, selain terus memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mampu bayar.

“Bagi meningkatkan keterjaminan bekalan perubatan, pembuatan ubat domestik akan digalakkan serta penggunaan ubat generik oleh sektor awam dan swasta akan ditingkatkan,” ujarnya.

Sebagai ketegasan kerajaan dalam menangani risiko kesihatan, beliau memaklumkan bahawa cukai prokesihatan akan diperluas daripada gula kepada produk tembakau, vape dan alkohol.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan cukai berkenaan bukan sekadar untuk hasil, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan NCD yang kian membimbangkan.

Selain itu, projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik kerajaan, termasuk yang daif akan dilaksanakan secara lebih giat, termasuklah projek Hospital Tuanku Ja’afar 2 (Negeri Sembilan), Hospital Sultanah Aminah 2 (Johor), Pusat Kanser Wilayah Utara (Kedah), Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (Sabah) dan Pusat Kanser Sarawak.

“Rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk menangani isu keperluan sumber manusia.

“Ikhtiar ini merangkumi latihan praperkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan,” katanya.

Pengurusan rekod kesihatan juga akan diperkukuh sebagai asas kepada pendigitalan sistem kesihatan bagi meningkatkan kebolehkendalian maklumat merentas kemudahan kesihatan.

“Hal ini akan menyumbang kepada penjanaan analitik kesihatan berimpak tinggi yang diperkasakan dengan kecerdasan buatan sebagai usaha mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan rakyat,” tegasnya.

Untuk rekod, peruntukan sektor kesihatan dalam RMK13 telah meningkat sebanyak RM9.5 bilion atau 31 peratus berbanding dengan peruntukan dalam RMK12 sebelum ini, iaitu RM30.5 bilion.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi